Kita Berada Pada Zaman Fihi Alfitan, Bukan Zamanul Fitan
Oleh: Rahmah
Dalam menanggapi hadis-hadis akhir zaman, Mudir Mahad Khaadimussunnah, Ustaz Yuana Ryan Tresna mengutip syarah hadis yang menyatakan bahawa kita berada pada zaman fihi alfitan, bukannya zamanul fitan.
“Syeikh Yasin bin Ali mempunyai kitab berjudul Min Ahkamil Amri Bilmakruf wa Nahyil Munkar, seorang ulama hadis dari Universiti Zaitunniah di Tunisia mengatakan hari ini kita bukan berada pada zaman fitnah tetapi pada zaman yang di dalamnya ada fitnah,” ujarnya di saluran YouTube @InstitutMuslimahNegarawan, Perang Iran: Antara Geopolitik Negeri-Negeri Teluk dan Fitnah Akhir Zaman, Selasa (10/3/2026).
Beliau mencontohkan petikan daripada Kitab Hadis Jami’ at-Tirmidhi, iaitu merujuk kepada hadis-hadis Nabi yang berbicara tentang fitnah-fitnah besar yang berlaku pada umat khususnya menjelang akhir zaman manusia.
“Manusia diuji dengan ujian yang sangat besar terhadap agama yang secara umumnya membahas kerosakan akhlak, perubahan sosial politik umat, konflik peperangan antara kaum Muslimin, munculnya tokoh-tokoh akhir zaman, ada Dajjal, al Mahdi, Nabi Isa, Yakjuj Makjuj begitu,” katanya.
Menurutnya, pemetaan yang benar dalam pembahasan hadis-hadis akhir zaman ini akan dapat menghindari hal-hal yang sangat abstrak dan wujudnya optimisme untuk melandasi aktiviti umat hingga umat berjaya meraih kepimpinan geopolitik hari ini.
“Hadis-hadis akhir zaman itu sesungguhnya mesti dipetakan dengan sangat tepat agar menjadi navigasi umat tadi sebagai acuan dalam meraih kepemimpinan geopolitik umat hari ini dan ke depan,” jelasnya.
Beliau melanjutkan bahawa di dalam hadis sahih ada disebutkan bahawa pada zaman berlakunya fitnah (zamanul fitan), sikap menahan diri dan tidak terlibat dalam fitnah adalah lebih baik daripada terjun di dalamnya. Pelbagai ujian, kekacauan, penyimpangan dalam masyarakat iaitu fitnah besar yang membingungkan akan berlaku. Kebenaran dan kebatilan bercampur dan terjadi pertumpahan darah sehingga sukar mengetahui mana pihak yang benar dan sebaliknya.
“Ketika terjadi zaman fitnah itu banyak disebutkan kita dituntut untuk menjaga iman, agama, menjauhi konflik, kemudian memperbanyak ibadah, berdiam di rumah. Itu zaman fitnah seperti Nabi mengatakan duduk itu lebih baik daripada berdiri, berdiri itu lebih baik daripada berjalan. Jadi statik begitu. Tidak boleh ke mana-mana. Itu dalam situasi yang kekacauannya sangat luar biasa. Jadi tidak perlu ikut campur. Itu hadis sahih riwayat Bukhari Muslim,” jelasnya.
Namun, beliau mengatakan hal ini berbeza dengan keadaan yang dihadapi hari ini iaitu zaman yang di dalamnya ada fitnah (fihi alfitan). Menurutnya, sikap yang benar dalam keadaan ini bukanlah menjauhi tetapi melakukan usaha seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul SAW.
“Ketika zaman fihi alfitan, umat masih boleh membezakan mana benar dan mana yang salah. Maka, sikap yang benar bukanlah menjauhi, tetapi melenyapkan kebatilan dan menegakkan kebenaran. Bukan diam, tetapi menegakkan kebenaran, melenyapkan kebatilan, amar makruf nahi mungkar, menyebarkan ilmu, meluruskan pemikiran yang salah, muhasabatul hukkam, sabar dalam dakwah,” lanjutnya.
Daripada penelitian hadis-hadis akhir zaman, beliau berpendapat bahawa umat Islam berada di zaman fihi alfitan dan bukannya zamanul fitan. “Kalau kita lihat peta navigasi umat itu hari ini, kita berada pada zaman yang di dalamnya banyak fitnah, belum masuk ke zamanul fitan, zaman fitnah belum,” tuturnya.
Beliau menyimpulkan pentingnya meneliti perbezaan hal ini agar dapat menyikapi perintah Nabi dengan benar. “Harus kita teliti di mana zamanul fitan, mana yang zaman fihi alfitan. Itu dua hal yang berbeza kerana perintah Nabi pada dua hal ini juga berbeza,” simpulnya.
Sumber: https://www.youtube.com/live/HFkheVt9ocA?si=5m12ptso9V8i3N4A
#AkhirZaman #HadisAkhirZaman #NavigasiUmat #Dakwah #PolitikIslam #GeopolitikUmat