Muslimah Sebahagian daripada Umat, Maka Perlu Peduli Urusan Umat
Oleh: Aliya AA
Aktivis Muslimah HTM, Puan Norhafizah Abdul Rahman menegaskan bahawa sebagai sebahagian daripada umat, peranan seorang muslimah tidak terhenti sebagai ibu, isteri atau anak, sebaliknya turut merangkumi urusan kepada umat secara keseluruhan.
“Kita bukan sekadar seorang ibu, kita bukan sekadar seorang isteri dan kita juga bukan sekadar seorang anak, tapi kita juga adalah sebahagian daripada umat. Dan kerana kita adalah sebahagian daripada umatlah, maka apa yang berlaku kepada umat ini juga merupakan urusan kita,” katanya dalam program Talkshow Being an Amazing Ummah Today yang berlangsung di Perak pada 24/8/2026 (Isnin).
Norhafizah berkata keadaan pemikiran umat yang semakin materialistik dan individualistik menuntut muslimah supaya tidak menganggap politik serta persoalan umat sebagai perkara yang berada di luar ruang tanggungjawab mereka.
“Untuk kita peduli, nak tak nak memang kita kena tahu apa yang sedang berlaku untuk kita mainkan peranan dalam menyelesaikan masalah,” jelasnya.
Beliau turut membezakan antara sekadar mengetahui sesuatu isu dengan benar-benar memahaminya, termasuk mengingatkan masyarakat supaya tidak hanya bergantung kepada tajuk berita kerana ia boleh menimbulkan salah faham.
Beliau memberikan contoh, “Itu yang berita cerita pasal botol minuman ada dadah, mengandungi dadah, terus sampaikan kat orang, `jangan minum air ni, air ni ada dadah’. Padahal sebenarnya polis nak cerita rampasan dadah yang ada dalam botol minuman, disorokkan dalam botol minuman, bukan air tu.”
Relevannya dengan konteks kesedaran geopolitik, Hafizah menjelaskan umat perlu ada pemahaman dan kesedaran geopolitik yang benar.
“Geopolitik adalah bagaimana kedudukan sesebuah negara, sumber kekayaan, kekuatan dan kepentingannya mempengaruhi tindakan serta hubungan politik antara negara. So bila kita sebut je politik, janganlah dalam kepala kita tu ada rasa berat,” jelasnya.
Sambungnya, “Kita sekarang berada zaman yang beruntung sebenarnya sebab kita banyak sumber untuk kita dapatkan, ada banyak benda yang kita boleh dapat kalau kita gunakan teknologi tu dengan betul.”
Kesedaran geopolitik menurut beliau, perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar mengetahui apa yang berlaku dengan mula mempersoalkan punca sesuatu peristiwa, pihak yang mempunyai kepentingan serta bagaimana Islam melihat persoalan tersebut.
“Jadi kita bergerak daripada sekadar membaca berita kepada membaca apa yang berada di belakang berita, mengorek lagi cerita yang berlaku di balik layar, bukannya pada tajuknya ataupun pada surface sahaja,” jelasnya.
Setelah belajar memahami sesuatu isu, ia berkata, “Kita kena bawa kesedaran itu masuk ke dalam keluarga, cakap dengan anak-anak tentang umat.”
Beliau menegaskan bahawa membawa kesedaran ke dalam keluarga bukan bermaksud mengabaikan masyarakat setempat, tetapi memperluaskan kepedulian supaya turut merangkumi keadaan umat Islam di luar lingkungan sendiri.
“Kita tak nak anak kita tu membesar dengan seorang yang hanya pandai jawab soalan peperiksaan je. Kita nak anak kita juga pandai bertanya tentang dunia,” ujarnya.
Dalam mengembangkan kesedaran kepada masyarakat pula, Norhafizah berkata apa yang telah difahami boleh disampaikan melalui perbualan, penulisan, program keilmuan serta usaha amar makruf nahi mungkar.
“Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar,” katanya membacakan maksud Surah at-Taubah ayat 71 sebagai peringatan bahawa tanggungjawab terhadap masyarakat tidak dikhususkan kepada lelaki, sebaliknya turut dipikul oleh wanita yang beriman.
Sebagai penutup, beliau menitipkan pesanan agar para hadirin pulang dengan perubahan cara berfikir bahawa penggerak ummah tidak lahir daripada muslimah yang hanya sibuk dengan diri sendiri, sebaliknya, juga perlu memikirkan keadaan umat.
“Kita memang kena mesti menjadi isteri yang baik, mesti menjadi ibu yang baik, orang yang taat dengan agama, sebagainya. Tetapi jangan berhenti setakat itu sahaja, kerana di luar rumah, di luar kita ni, ada umat yang sedang menunggu perubahan. Ada umat yang perlukan kita, untuk kita fikirkan cara, solution macam mana nak membebaskan mereka daripada masalah-masalah,” tegasnya memperingatkan.
#amazingummah #khairuummah #peduliummah #berfikirislami