Aktivis – Apakah Solusi Isu Selatan Thai Menepati Islam?
Oleh: Aliya Ab Aziz
Ustazah Zaharah mempersoalkan sama ada tuntutan autonomi dan perundingan damai dalam kerangka sistem sedia ada merupakan penyelesaian yang menepati kaedah Islam.
“Persoalan yang harus ditanya, adakah tuntutan autonomi atau perundingan damai di bawah kerangka kerajaan Thailand yang juga diusulkan oleh kerajaan Malaysia itu merupakan satu penyelesaian ataupun solusi yang menepati tariqah ataupun jalan, method yang telah ditunjukkan oleh Islam?” soalnya dalam pembentangan bertajuk Perjanjian 1909, Sempadan, Luka dan Khilafah dalam program Open Cirlce Muslimah pada 4/10/2026 (Ahad).
Satu Wilayah, Satu Akidah
Dalam mengemukakan penyelesaian menurut perspektif Islam pula, Zaharah menegaskan bahawa hubungan umat Islam tidak ditentukan oleh sempadan negara, sebaliknya berasaskan akidah.
Merujuk kepada hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang mengumpamakan orang Mukmin seperti satu tubuh, beliau mengajak peserta berfikir, “Bagaimana tangisan mereka itu adalah tangisan kita, penderitaan mereka itu adalah penderitaan kita. Kita nak menterjemahkan apa maksud hadis itu?”
Atas dasar itu juga, beliau berpandangan bahawa seluruh wilayah umat Islam pada asasnya merupakan satu kesatuan dan perlu berada di bawah satu pemerintahan.
“Kesemua wilayah umat Islam adalah wilayah yang satu dan wajib bersatu di bawah satu pemerintahan,” katanya.
Tegasnya lagi, tanggungjawab melindungi umat yang tertindas terletak di bahu pemimpin umat. Oleh itu, “Memang kena adanya seorang pemimpin yakni khalifah yang akan melaksanakan segala tugasan ini untuk membebaskan seluruh wilayah di selatan Thailand dan seluruh dunia.” Ulasnya ketika menerangkan hadis Nabi SAW yang menyifatkan imam sebagai perisai tempat umat berlindung.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyelesaian yang perlu dicari mestilah berasaskan kesatuan umat menurut Islam, bukan selainnya.
“Penyelesaian wilayah tadi itu bukannya melalui bingkai tuntutan ekonomi atau mewujudkan satu negara bangsa ataupun asas dasar assabiyah,” tegasnya.
Perpecahan umat kepada komponen-komponen kecil, menurutnya, turut memberi kesan terhadap bahasa, identiti dan hubungan sesama Muslim.
“Kita ni dipecah-dibelah supaya kita menjadi komponen-komponen yang kecil, dipisahkan dengan sempadan yang mereka reka, geopolitik yang diubahkan, kemudian bahasa yang telah dilenyapkan, identiti yang dilenyapkan sampai umat Islam itu sendiri dah tak kenal saudara mereka, dah tak kenal identiti mereka,” katanya.
Sambungnya lagi, keadaan itu menuntut umat Islam membina semula kefahaman terhadap sejarah dan kedudukan saudara seagama, bukan bertindak secara melulu.
“Apa yang kita boleh buat macam hari ni, kita belajar, kita faham,” ajaknya.
Beliau berkata, kefahaman yang benar terhadap sejarah dan geopolitik akan mengubah cara pandang umat Islam ketika melihat keadaan masyarakat Muslim di selatan Thailand.
Jelasnya, “Bila dia pergi ke sana, ataupun nanti dia akan menyampaikan kepada sahabat dia yang lain, dia dah ada satu pemikiran yang benar. `Oh, rupanya saudaraku kat sini ni, dia macam ni, sebab ceritanya macam ni’,” tutupnya.
#OneUmmah #SejarahUmatIslam #IbrahSejarah #TanahMelayu #GeopolitikUmat