Aktivis Ungkap Empat Bahaya Generation Gap
Oleh: Aliya Ab Aziz
Hidayah Muhammad mengingatkan bahawa jurang generasi atau generation gap boleh membawa empat bahaya kepada generasi Muslim.
“Untuk bahaya generation gap ni dia ada empat. Pertama, berlakunya krisis identiti sehingga membawa kepada hilang tujuan hidup ataupun makna hidup di kalangan generasi ataupun pemuda Muslim,” katanya dalam program Open Circle Sahabat Muslimah Siri: Muda & Teguh | Episod 2 bertajuk Muda Bukan Alasan Hilang Arah, pada 7/11/2026 (Sabtu)
Aktivis Muslimah HTM itu mengaitkan krisis tersebut dengan pengaruh pemikiran individualisme yang menekankan kebebasan seseorang menentukan kehidupan berdasarkan kemahuan sendiri.
“Setiap orang tu dia berhak menentukan hidup dia sendiri. Setiap orang berhak untuk menentukan apa dia suka, apa dia nak berlandaskan kemahuan,” jelasnya.
Bahaya kedua ialah jurang antara generasi muda dan tua yang semakin melebar sehingga boleh menjejaskan kesinambungan teladan serta hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak.
“Jurang itu akan semakin melebar jika kita tidak mengambil peranan untuk memahami konsep generation gap ataupun jurang antara generasi. Keadaan ini akan memutuskan rantaian keteladanan sehingga teguran ibu bapa dianggap tidak relevan,” ujarnya.
Seterusnya, pembahagian dan pelabelan generasi turut akan membuka ruang kepada golongan muda menjadi sasaran pasaran produk kapitalis.
Hidayah mengungkapkan, “Yang ketiga, dia menjadi pasaran produk kapitalis dan akan mendorong gaya hidup konsumtif dan juga hedonisme di kalangan generasi.”
Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa perkembangan teknologi dan media sosial memainkan peranan dalam membentuk karakter generasi.
“Bila dia hidup zaman digital teknologi, maka yang memicu karakter ataupun yang memicu adanya jurang tadi, sehingga membentuk mereka punya karakter tu adalah media sosial ataupun teknologi itu sendiri,” terangnya.
Bahaya keempat pula ialah kecenderungan generasi muda untuk bersikap pragmatik dan mengikuti trend.
“Setiap trend ataupun gaya hidup terbaru tu akan ikut. Habis lagi trend yang lama, ada trend baru, orang akan ikut. Sehingga dia mengenepikan nilai-nilai Islam,” katanya.
Beliau kemudian menghuraikan tiga kesan yang menurutnya dapat dilihat dalam kehidupan generasi Muslim, iaitu hilang arah, hilang identiti dan hilang makna.
Terkait hilang identiti, katanya, “Gaya hidup Barat itu menjadi ikutan dan dianggap moden sehingga meninggalkan identiti kita sebagai seorang Muslim.”
Dalam hal kehilangan makna pula, Hidayah mempersoalkan kecenderungan seseorang menerima label generasi seolah-olah sifat dan tingkah lakunya mesti ditentukan oleh kelompok umur tersebut.
“`Oh iyalah aku generasi ni, jadi aku kena macam ni’. Kalau generasi tu dia kena macam tu, dia tak boleh keluar daripada label tu,” ujarnya.
Seterusnya, beliau menghubungkan kepentingan memberi perhatian kepada generasi muda.
“Generasi muda tu adalah satu generasi, satu fasa di mana dia adalah penerus peradaban,” tegasnya. []
#generationgap #juranggenerasi #generasimuslim #ayuhumatbangkit #kembalikanidentitimuslim