Falsafah Barat dan Islam Berbeza dalam Melihat Jurang Generasi
Oleh : Aliya Ab Aziz
Aktivis Muslimah HTM, Hidayah Muhammad menjelaskan bahawa falsafah Barat dan Islam mempunyai pendekatan berbeza dalam melihat jurang generasi.
“Pemikiran Islam tu dibangun dengan dua prinsip yang sangat bertentangan dengan model Barat. Yang pertama, masyarakat Islam tu menolak individualisme. Manusia tu adalah sebahagian daripada umat,” katanya dalam program Open Circle Sahabat Muslimah Siri: Muda & Teguh | Episod 2 bertajuk Muda Bukan Alasan Hilang Arah, pada 7/11/2026 (Sabtu).
Menurutnya, falsafah Barat menekankan individualisme yang memberikan keutamaan kepada kebebasan seseorang dalam memenuhi kehendak peribadi berbanding tanggungjawab bersama.
“Individualisme ni dia menekankan kebebasan individu, maksudnya setiap orang tu dia berhak bebas memenuhi keperluan peribadinya daripada tanggungjawab kolektif. Maksudnya dia fikirkan diri sendiri,” jelasnya.
Beliau mengaitkan pemikiran tersebut dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak mahu mengambil tahu urusan orang lain, termasuk penderitaan umat Islam di tempat lain.
Hidayah memberikan contoh, “Bila isu Palestin, ada golongan-golongan yang tak nak ambil tahu. Itu bukan negara dia, itu bukan saudara dia, itu bukan berkaitan dengan diri dia. Yang dia tahu adalah kepentingan peribadi.”
Berbeza dengan pendekatan tersebut, Hidayah menyatakan bahawa Islam meletakkan setiap individu sebagai sebahagian daripada umat yang saling berkait.
Tambahnya lagi, “Adanya tanggungjawab bersama dan saling peduli.”
Beliau mengambil perumpamaan sebuah kapal dalam hadis Rasulullah SAW, apabila sekumpulan penumpang di bahagian bawah mahu menebuk kapal bagi mendapatkan air tanpa perlu melalui penumpang di bahagian atas. Sekiranya tindakan itu tidak dicegah, maka seluruh penumpang akan tenggelam.
“Individu tu dia akan mempengaruhi seluruh masyarakat dan kebebasan peribadi tu dia tidak akan dapat mengatasi kesejahteraan,” jelasnya mengaitkan bagaimana tindakan seseorang boleh memberi kesan kepada orang lain.
Perbezaan kedua pula menurutnya, terletak pada penentuan nilai. Falsafah Barat melihat sesuatu nilai boleh berubah mengikut perkembangan zaman, budaya dan trend masyarakat.
“Yang kedua adalah relativiti nilai, macam mana nilai itu berubah mengikut trend dan juga budaya. Maksudnya dia tak bersifat tetap,” jelasnya.
Sebaliknya, “Dalam Islam nilai itu ditentukan oleh wahyu, al-Quran dan juga hadis. Maksudnya nilai-nilai seperti kesopanan, hormat ibu bapa, akhlak yang baik tu semua tu adalah kewajipan dan dia tak tertakluk kepada tafsiran setiap generasi.”
Bagaimanapun, Hidayah menjelaskan bahawa Islam tetap mengiktiraf perbezaan usia, cita rasa, budaya dan penggunaan teknologi selagi perbezaan tersebut tidak mengubah asas akidah dan batasan moral.
“Perbezaan generasi tu memang wujud dan Islam iktiraf, tapi hanya dalam perkara-perkara yang bersifat fleksibel,” katanya.
Beliau merumuskan bahawa perbezaan usia dalam Islam tidak sepatutnya menjadi asas pertentangan, sebaliknya ruang untuk generasi yang berbeza saling melengkapi.
“Wujud dalam Islam tu perbezaan, tapi dia bukan konflik, tapi dia adalah variasi generasi, pelbagai kepelbagaian untuk saling menghormati,” simpulnya. []
#generationgap #juranggenerasi #generasimuslim