Enam Potensi Umat Islam Perlu Disatukan Kembali
Oleh: Aliya Ab Aziz
Ketika menghuraikan tentang enam potensi umat Islam yang perlu disatukan kembali, Farisha Aris menyatakan potensi besar pertama yang boleh menjadi sumber kekuatan umat Islam ialah Islam sebagai ideologi yang menjadi asas kukuh dalam mengatur kehidupan manusia secara menyeluruh.
“Islam tu sebagai ideologi, itu adalah satu asas kekuatan yang teguh, yang kukuh. Islam bukan hanya agama ritual semata-mata, tapi menjadi sistem kehidupan yang sempurna, maksudnya boleh mengatur segala aspek kehidupan,” kata Aktivis Muslimah HTM tersebut program Open Circle Muslimah bertajuk Krisis Hormuz: Kelebihan atau Kelemahan, pada 17/10/2026 (Sabtu).
Beliau menambah, “Ketika adanya kekhilafahan, umat Islam dalam keadaan terbela dan sejahtera disebabkan oleh mengambil Islam itu sebagai ideologi yang sempurna, mengambil Islam secara kaffah.”
Potensi kedua, jelas Farisha, ialah ukhuwah Islamiah atau kesatuan umat yang menurutnya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya akibat ikatan negara bangsa dan nasionalisme.
“Itulah yang menjadi permasalahan sekarang. Umat Islam ni sangat sukar untuk bersatu. Masing-masing menjaga negara masing-masing tanpa menghiraukan saudara seakidah di tempat lain. Padahal itu adalah potensi sangat besar, ukhwah itu kena diwujudkan,” tegasnya.
Selain itu, jumlah populasi Muslim yang besar turut dilihat sebagai potensi ketiga.
“Satu lagi adalah sumber daya manusia ataupun populasi Muslim ni sangat ramai. Banyak yang boleh dimanfaatkan daripada tenaga kerja produktif untuk kepentingan kaum Muslimin,” jelasnya.
Potensi keempat pula ialah kedudukan geopolitik negara-negara Muslim yang merangkumi laluan maritim dan kawasan strategik yang menjadi tumpuan perdagangan dunia.
“Geopolitik yang menguasai jantung dunia. Selat-selat, terusan, tempat-tempat laluan maritim, tempat strategik dan juga laluan yang semua orang tertumpu di situ, dan sebenarnya kalau umat Islam boleh menguasainya, maka itu memberi manfaat yang besar kepada kaum muslimin,” katanya.
Farisha seterusnya meletakkan sumber alam sebagai potensi kelima yang boleh membantu negara-negara Muslim mencapai kemandirin.
“Sumber alam pun ini juga potensi yang ada pada kaum Muslimin yang boleh menyebabkan kaum Muslimin ni boleh mandiri dari segi ekonomi, kekuasaan. Kita boleh buat sendiri semua, contoh bekalan makanan. Maksudnya, boleh tidak bergantung kepada dunia luar ataupun kepada penjajah ataupun kepada Barat,” ujarnya.
Beliau mencontohkan pentingnya kemandirian dengan melihat dari situasi Iran. Menurutnya, “Iran pernah menghadapi sekatan ekonomi daripada AS. Tapi disebabkan mereka ni berusaha untuk berdiri sendiri. Maksudnya, bila ada sekatan, ia masih boleh hidup.”
Beliau mengajak peserta berfikir, seandainya Iran bergantung sepenuhnya kepada negara luar, maka hal itu akan menjadi permasalahan besar baginya ketika memghadapi perlawanan dengan AS.
Potensi yang terakhir yang diungkapkan adalah faktor kekuatan ketenteraan.
Beliau menerangkan, “Kekuatan ketenteraan gabungan, negara-negara kaum Muslimin ini kalau sekarang kita tengok memang ada kekuatan dari segi ketenteraan, Mesir, Iran sendiri, Pakistan dan beberapa negara lain juga yang memang ada kekuatan, namun tidak disatukan sebagai kekuatan bersama.”
Bagaimanapun, Farisha menegaskan bahawa kewujudan semua potensi itu belum mencukupi sekiranya umat Islam terus berpecah dan kekuatan tersebut tidak dimanfaatkan secara bersama.
“Jadi inilah yang sepatutnya kita lakukan, umat Islam lakukan, iaitu kekuatan umat Islam tu mesti dikembalikan sebab memang dah ada. Kekuatan tu dah ada tapi tidak dimanfaatkan,” tegasnya. []
#PotensiUmatIslam #AyuhUmatBangkit #KesatuanUmmah