Tanggungjawab Hijab Bukan Terletak pada Individu Sahaja
Oleh: Aliya Ab Aziz
Ketika merespons isu larangan berhijab di Azerbaijan, Syafinaz Safar menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga hijab tidak hanya terletak pada individu Muslimah, sebaliknya turut melibatkan masyarakat dan negara.
“Pemakaian hijab, menutup aurat ni adalah tanggungjawab diri sendiri, individu yang sudah ditaklifkan dengan beban hukum ke atas kita. Masyarakat sekeliling pun kena juga menjalankan ataupun memberi galakan lagi untuk berhijab. Tapi bila negara pula yang mengambil tanggungjawab ni, ia akan memberi impak yang lebih berkesan,” kata aktivis Muslimah HTM itu dalam program Open Circle Muslimah Online bertajuk Larangan Berhijab: Kesan Sekularisme ke atas Muslimin pada 24/10/2026 (Sabtu).
Menurutnya, apabila negara mengambil tanggungjawab tersebut dengan serius, dasar yang dilaksanakan boleh memberi kesan secara langsung terhadap pemakaian hijab dalam kalangan Muslimah.
“Kalau negara tu yang ambil tindakan, ambil tanggungjawab dengan serius, maka pemakaian hijab tu boleh jadi satu kebenaranlah (izin yang sah). ‘Boleh pakai hijab sebab apa?’ ‘Negara suruh’,” katanya bagi menggambarkan impak perintah negara terhadap ketaatan berhijab.
Dalam menjelaskan tanggungjawab pemerintah, Syafinaz turut menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan dalam menjaga maruah Muslimah.
“Sebagai seorang Islam, kita hendaklah menjadikan Rasulullah sebagai teladan utama kita,” katanya sambil merujuk sirah baginda sebagai seorang pemimpin.
Menurut Syafinaz, peristiwa Bani Qainuqa merupakan antara contoh yang menggambarkan kewibawaan kepimpinan Rasulullah SAW dalam melindungi kehormatan Muslimah. Konflik tersebut tercetus apabila seorang wanita Muslimah dipermainkan sehingga auratnya tersingkap ketika berada di sebuah kedai milik orang Yahudi.
“Ada Yahudi daripada belakang Muslimah ni, dia buat apa, dia ikat baju Muslimah tu sehingga bila Muslimah ni berdiri, aurat dia tersingkap, nampak kakinya. Orang-orang Yahudi ni ketawa terbahak-bahak sambil menghina Muslimah yang tersingkap auratnya ni,” ceritanya.
Insiden itu kemudiannya mencetuskan pertelingkahan sehingga seorang lelaki Muslim dan seorang lelaki Yahudi terbunuh, sebelum perkara tersebut sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW.
Beliau melanjutkan, “Rasulullah pun terdengar pasal peristiwa tu, terus Rasulullah keluar sama-sama orang Muslim yang lain dan mengepung Bani Qainuqa. Rasulullah tahu perkara ni berlaku disebabkan Yahudi Qainuqa ni telah mengacau Muslimah kita sampai tersingkap auratnya,” jelasnya.
Syafinaz menggunakan peristiwa tersebut untuk menegaskan pandangannya bahawa pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kehormatan dan aurat wanita Muslimah.
Sambungnya menegaskan, “Aurat tu adalah satu perkara yang wajib dilindungi. Wanita ni wajib dilindungi, wajib dihormati dalam Islam.”.
Menurutnya, pemimpin Muslim tidak sepatutnya berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjatuhkan kehormatan wanita Muslimah.
“Tidak ada kompromi kepada sesiapa pun yang cuba menjatuhkan kepercayaan atau maruah wanita dengan memaksa wanita untuk membuka hijab. Ini sepatutnya yang dilakukan oleh seorang pemimpin ke atas umat dia, kepada warganegara dia,” tegasnya. []
#Azerbaijan #Hijab #HijabisOurPride #Muslimah