Sekularisme, Aktivis Kaitkan sebagai Punca Larangan Hijab di Azerbaijan
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis Muslimah HTM, Syafinaz Safar menyatakan bahawa larangan hijab di Azerbaijan berkait dengan sistem sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan dan pemerintahan negara.
“Perlembagaan negara menetapkan dengan jelas bahawa Azerbaijan sebuah negara sekular walaupun 96 peratus rakyat beragama Muslim, beridentiti Muslim. Undang-undang negara tidak tertakluk pada hukum syariah dan institusi agama diasingkan sepenuhnya daripada politik kerajaan, begitu juga dengan pendidikan,” jelasnya dalam program Open Circle Muslimah Online bertajuk Larangan Berhijab: Kesan Sekularisme ke atas Muslimin, 24/10/2026 (Sabtu).
Menurutnya, sekularisme memasuki wilayah Islam melalui pengaruh Barat dan penjajahan, termasuk selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyah yang menyebabkan wilayah umat Islam berpecah kepada negara-negara kecil.
“Sekularisme ni berlaku adalah hasil dakyah kufar Barat sejak zaman kemunduran khilafah, iaitu daripada 1800-an. Seterusnya zaman imperialisme ataupun penjajahan, zaman penjajahan kufar Barat ke atas wilayah-wilayah tanah umat Islam dan selepas kejatuhan khilafah,” katanya.
Walaupun Azerbaijan merupakan negara majoriti Muslim, negara itu mengamalkan sistem sekular dari sudut perlembagaan dan pemerintahan. Syafinaz turut mengaitkan keadaan tersebut dengan sejarah panjang Azerbaijan di bawah pemerintahan Soviet yang membawa ideologi komunis dan menyekat amalan agama.
“Di bawah pemerintahan era Soviet, tak ada agama rasmi. Bila Soviet masuk, agama Islam tu dilarang daripada menjadi praktik mereka. Soviet memisahkan sepenuhnya gereja, masjid daripada sistem pentadbiran, pendidikan negara dan mengharamkan praktik agama,” ujarnya sambil mencontohkan situasi kekangan yang dihadapi oleh umat Islam pada masa tersebut, termasuk dalam soal berpuasa, solat dan membaca al-Quran.
Beliau menambah bahawa keadaan tersebut tidak terhenti selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 apabila pemerintahan secara sekular masih diteruskan di Azerbaijan.
“Orang-orang Azerbaijan memerintah negara mereka sendiri, tetapi pemerintahan mereka ni masih lagi menjalankan pemerintahan secara sekular walaupun mereka masih Islam. Sebab apa? Sebab mereka dah lama duduk di bawah pemerintahan Soviet. Selama 70 tahun lebih,” terangnya.
Dalam perkembangan berkaitan hijab, Syafinaz berkata Azerbaijan melaksanakan peraturan yang menyebabkan murid dan guru berhijab tidak dibenarkan berada di kawasan sekolah.
“Kerajaan Azerbaijan meluluskan undang-undang kod pakaian sekolah baru. Secara tak langsung melarang murid dan guru yang berhijab daripada berada di kawasan sekolah,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa keadaan itu menunjukkan bagaimana sistem sekular mempengaruhi aturan pemakaian Muslimah dan membentuk pendekatan penguatkuasaan dalam sistem pendidikan awam di negara tersebut.
“Sebab kerajaan ni nak mempertahankan prinsip sistem pendidikan sekular dekat negara tu lah. Kononnya sebab apa, `sebab negara ni negara sekular, kita tak masuk campurkan agama dengan pemerintahan dengan pendidikan, maka tak boleh pakai tudung dalam sekolah’,” ungkapnya menggambarkan mentaliti sempit para pembuat polisi sekular.
Dalam Islam, negara mempunyai tanggungjawab menjaga kemuliaan Muslimah, termasuk menjamin hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.
“Dalam Islam, negara wajib menjaga kemuliaan Muslimah, apatah lagi kanak-kanak yang nak pergi sekolah mendapatkan pendidikan,” tegasnya.
Namun, beliau meluahkan rasa kecewa terhadap penguasa Muslim di Azerbaijan kerana bertindak melakukan sebaliknya.
“Penguasa Muslim di Azerbaijan menunjukkan sikap sebaliknya, di mana mereka dengan menggunakan undang-undang sekularisme dia tu memaksa rakyat untuk membuka tudung, bahkan menghukum mana-mana Muslimah yang melanggar arahan ini,” kritiknya.