Muslimah Perlu Bina Diri Sebelum Membentuk Ummah
Oleh: Aliya AA
Pendakwah bebas, Ustazah Norafidah Abdul Rahman menegaskan bahawa peranan muslimah sebagai penggerak ummah perlu bermula dengan pembinaan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mampu membentuk anak, keluarga dan masyarakat.
“Sebelum nak membentuk seorang manusia tu menjadi lebih baik, kita sendiri yang perlu membina diri kita tu untuk menjadi lebih baik dan berilmu sebenarnya. Jadi pentinglah seorang muslimah tu dia kena ada ilmu dulu dan membentuk diri dia tu dulu, barulah dia boleh membentuk anak dia, keluarga dia,” katanya ketika menerangkan topik Muslimah Sebagai Penggerak Ummah, dalam program Talkshow Being an Amazing Ummah Today yang berlangsung di Perak pada 24/8/2026 (Isnin).
Menurutnya, kepelbagaian cabaran yang dihadapi oleh wanita masa kini bukan bermakna mereka perlu melakukan semua perkara dalam usaha melaksanakan peranan dalam masyarakat.
“Tetapi bagaimana wanita menjadi penggerak perubahan dengan iman, ilmu dan juga hikmah,” jelasnya.
Sambungnya, “Kalau kita tengok sekarang, zaman kapitalis ni, manusia tu memang `dicipta’ untuk dia pandai buat semua benda. Kalau boleh, benda yang lelaki boleh buat dia pun nak buat. Betul tak? Tak salah. Tapi kita jangan sampai lupa hak dengan tanggungjawab kita.”
Dalam pembinaan diri seorang muslimah, beliau meletakkan iman sebagai asas jati diri yang perlu ditanam dengan kukuh sejak kecil sehingga tertancap dalam pemikiran seseorang.
“Bila dia membesar dalam lingkungan ataupun dasar keimanan dan juga pengajaran yang betul dan dididik daripada kecil sampai dia besar, jadi walau apa pun yang akan datang, ujian datang, tentangan yang akan datang dari luar tu, dia kuat untuk berpegang teguh kepada ajaran Islam,” hurainya.
Sambungnya lagi, “Kalau kita nak buat sesuatu benda, terutamanya jadi penggerak ummah ni, iman kita tu kena tanam dalam hati kita ni sampai bila-bila. Sebab kalau kita punya keimanan kepada Allah tu kuat, 100%, dia tak ada keraguan. Apa je yang Allah kata boleh buat, buat, tapi kalau Allah kata tidak boleh, tak boleh buat.”
Selepas iman, Norafidah juga menyifatkan ilmu sebagai panduan dan menyeru ibu serta bakal isteri mencari peluang mengikuti pengajian supaya mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk membina diri dan mendidik keluarga.
“Kalau kita tak ada ilmu, macam mana kita nak motivate keluarga dan juga masyarakat. Jadi kita kena ada ilmu tu, kemudian kita perlu praktik ilmu tu, kita praktik dulu dalam diri kita,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan keluarga sebagai tapak pertama pembinaan ummah kerana rumah menjadi tempat awal anak belajar melalui perkara yang dilihat dan dicontohi daripada ibu bapanya.
“Macam mana kita menyantuni anak-anak kita, mendidik anak-anak kita tu dengan bagaimana didikan yang Rasulullah ajarkan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak. Kalau mak dia selalu solat, mak ayah dia selalu solat, pergi masjid, jadi dia akan tengok, dia ikut,” jelasnya.
Dalam menghadapi perkembangan semasa pula, Norafidah berkata muslimah perlu menguasai ilmu berkaitan teknologi, ekonomi, dan masyarakat supaya mampu memahami persoalan anak yang semakin terdedah kepada media sosial.
“Kalau anak kita selalu tengok TikTok, mak dia pun kena tahu macam mana, apa benda isi kat TikTok ni. Kalau anak-anak kita remaja ni dia tengok TikTok apa, lepas tu ikut trend apa bendalah, yang itu yang kita tak nak tu,” katanya mengingatkan cabaran isi kandungan dunia sosmed masa kini.
Beliau turut menekankan aspek pemilihan circle, dengan siapa seseorang berkawan dan bergaul memainkan peranan terhadap arah serta tindakan seseorang tidak kiralah di mana dia berada. Beliau mencontohkan pengalamannya bersama kelompok pelajar di Al Azhar, Mesir.
Katanya, “Mereka juga adalah penggerak ummah, adalah pendakwah. Mereka juga faham tentang tanggungjawab sebagai seorang muslimah yang perlu menjadi penggerak ummah tu, perlu berdakwah kepada masyarakat, terjun kepada masyarakat tu. Jadi kalau saya banyak berkawan dengan mereka tu, jadi saya terikut sekali sama untuk bangkit bersama-sama mereka tu, untuk bergerak, untuk membina masyarakat.”
Pada penghujung penyampaiannya, pendakwah yang menetap di bumi Kinanah ini menegaskan bahawa muslimah penggerak ummah bukan wanita yang sempurna, tetapi mereka yang sentiasa memperbaiki diri dan terus mencari peluang untuk menambah ilmu.
“Saya bagi contohlah macam saya. Dulu pernah mengajar juga, tapi sampai sekarang, kalau ada kelas saya tetap akan masuk. Dan saya akan buat saya memang zero. Kita kena rendah dirilah. Ha macam tu kan maknanya nak belajar. Waktu kita belajar, kita anak murid guru kita. Maknanya tak salah nak belajar, belajar banyak. Sebab semakin banyak kita belajar, semakin banyak kita tak tahu,” tutupnya.
#amazingummah #khairuummah #muslimahideal