‘Amazing Ummah’ Mesti Pikul Tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar
Oleh : Aliya AA
Pendakwah bebas, Ustazah Nazirah Abdul Rahman, ketika menjelaskan tentang Amazing Ummah berdasarkan surah Ali Imran ayat 110, menegaskan bahawa kedudukan sebagai umat terbaik bukan sekadar diukur melalui jumlah yang ramai atau kekuatan ekonomi, sebaliknya menuntut tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“`Kalian adalah umat yang terbaik di kalangan manusia’ maknanya kena ada tanggungjawabnya, itulah menyeru kepada kebaikan dan juga mencegah kepada kemungkaran. Bersatu tu bukan hanya sekadar pada jumlahnya, bukan sekadar pada ekonominya tetapi ada lebih dalam lagi yang kita perlu telusuri,” katanya dalam program Talkshow Being an Amazing Ummah Today yang berlangsung di Perak, pada 24/8/2026 (Isnin).
Tiga Landasan Membentuk ‘Amazing Ummah’
Menurutnya, antara asas untuk membentuk masyarakat Islam yang ideal ialah dengan memastikan pemikiran umat berlandaskan ajaran Islam meskipun setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza.
“Kalau kita pasakkan bahawasanya akidah Islam itulah yang sepatutnya menjadi teras dalam segala perbuatan kita, dan apa yang kita buat semua berlandaskan Islam, kita buat berdasarkan kepada perintah Allah, bukan kerana manusia, bukan mengejar kepada pujian manusia,” jelasnya.
Beliau berkata ukuran dalam menentukan sesuatu perbuatan juga perlu kembali kepada hukum syarak, bukan mendahulukan pandangan peribadi, emosi atau pertimbangan akal semata-mata.
“Kadang-kadang kita berbuat sesuatu tu, kita ketepikan hukum syarak dulu, kita dulukan emosi, dahulukan kita punya pemikiran, akal kita itu dulu. Tapi yang sepatutnya untuk melahirkan khairu ummah, ajaran Islam tu sendiri, pemikiran yang berasaskan Islam itu sendiri yang perlu diletakkan sebagai pasak ke atas diri kita,” katanya.
Selain keselarasan pemikiran dan perbuatan, Nazirah menekankan rasa tanggungjawab terhadap saudara seakidah sebagai landasan penting untuk melahirkan Amazing Ummah.
“Kalau kita nampak dekat luar sana ada kemaksiatan, ada kerosakan yang berlaku, kita jangan pilih, ‘dia-dia, aku-aku’. Kita kena ada perasaan tanggungjawab ke atas saudara kita yang lainnya,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan agar umat tidak bersikap selfish sehingga kebaikan hanya terbatas kepada diri sendiri atau kelompok terdekat.
“Kalau tidak, nanti dia akan jadi diri kita je yang baik, ada kawan-kawan kita je yang baik. Tapi bagaimana dengan masyarakat?” katanya.
Umat Islam Perlu Bersatu Seperti Satu Tubuh
Dalam masa sama, beliau menyeru umat Islam supaya membina kesatuan hati dan perasaan sehingga kesusahan yang dialami Muslim lain turut dirasakan sebagai masalah bersama.
“Umat Islam umpamanya satu tubuh, kalau ada sakit di sebelah kanan makanya di sebelah kiri pastilah akan merasa kesakitannya, kena merasakan begitu,” jelasnya.
Menurutnya, kesatuan itu penting kerana pembentukan Amazing Ummah tidak hanya merangkumi individu, tetapi turut melibatkan kepedulian terhadap keadaan umat Islam yang lain.
Selain itu, ketiadaan kesatuan juga dilihat sebagai antara faktor yang melemahkan umat, termasuk apabila kesepakatan sukar dicapai walaupun dalam komuniti sendiri.
“Hari ni kalau kita tengok umat Islam agak lemah kerana apa? Tidak adanya kesatuan di kalangan kita. Kita tak payah pergi jauh, kita ambil komuniti aje lah dulu. Sesama komuniti kita ni pun mungkin aje tak bersatu, susah nak cari kesepakatan,” katanya.
Dakwah Bukan Tugas Asatizah Sahaja
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha dakwah dan amar makruf nahi mungkar tidak boleh diletakkan sebagai tanggungjawab golongan agamawan sahaja kerana setiap Muslim boleh memainkan peranan mengubah masyarakat.
“Kita ni boleh jadi ejennya untuk mengubah masyarakat. Jangan tunggu jadi ustazah dulu, sampaikanlah dulu,” ujarnya.
Tambahnya, hal ini kerana, setiap manusia mempunyai potensi yang berbeza-beza dan perkara itu perlu dimanfaatkan untuk saling melengkapi dalam usaha membentuk umat yang amazing.
Jadi Taat, Bukan Sekadar Baik
Nazirah merumuskan bahawa pembentukan umat perlu bermula dengan perubahan individu melalui pembinaan sahsiah Islamiah, pengukuhan ilmu dan peningkatan ketakwaan.
“Hari ni ramai orang baik, tapi kita kena belajar bagaimana kita nak jadi orang yang taat. Baik boleh baik, tapi belum tentu dia taat, tapi kalau dia taat maka insyaAllah dia orang yang baik,” tegasnya.
#amazingummah #khairaummah