Individu Merdeka Mengabdikan Diri kepada Allah Semata-mata
Oleh: Aliya
Farisha Aris menyatakan asas menjadi individu yang merdeka menurut Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dengan menyedari bahawa manusia mempunyai tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Macam mana nak menjadi individu yang merdeka? Itu mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Allah ciptakan jin dan manusia ni hanya untuk mengabdikan kepada Allah, bukan buat sesuka hati, tapi kita ada tugas dan tanggungjawab, kewajipan yang kita kena buat, sama ada lelaki atau perempuan,” kata Aktivis Muslimah itu dalam program dalam talian Open Circle Muslimah bertajuk Ayuh! Merdekakan Diri dengan Islam Kaffah pada 29/8/2026 (Sabtu)
Ketika mengetengahkan ciri individu yang merdeka, Farisha membezakan aspek ideologi yang menurutnya sepatutnya menjadi pegangan umat dengan sistem asing yang membentuk kehidupan mereka.
“Ideologi Islam tu yang sepatutnya kita anut sekarang, tapi kita telah dipaksakan untuk berada dalam sistem atau menganut ideologi asing, iaitu apa? Ideologi kapitalisme,” jelasnya.
Beliau mengaitkan masalah yang timbul daripada sistem ciptaan manusia dengan keterbatasan pengetahuan manusia terhadap kehidupan.
Katanya, “Kita takkan tahu apa akan berlaku akan datang. Tak payah akan datanglah, sekejap lagi pun kita tak tahu apa akan berlaku pada kita. Tapi Allah Maha Mendalam pengetahuan Dia.”
Bagi Farisha, pengakuan kita sebagai seorang Muslim berkonsekuensi membawa pada tuntutan terhadap cara seorang Muslim menjalani kehidupan sehari-harinya.
“Maka dia kena pastikanlah diri dia terikat dengan [syariat] Islam. Itulah syaratnya nak menjadi individu merdeka,” ujarnya.
Beliau turut memasukkan kebebasan menyebarkan Islam tanpa halangan sebagai antara keadaan yang melengkapi nikmat kemerdekaan.
“Di tempat lain, mereka nak melaksanakan kewajipan [Islam] tu sangat sukar, sebab ada halangan-halangan. Islam tu boleh disebarkan dengan sangat mudah bila tak ada halangan,” jelasnya.
Selepas itu, Farisha turut menegaskan bahawa kemerdekaan individu memerlukan pengambilan Islam secara kaffah, iaitu secara keseluruhan dan sempurna. Menurutnya, pendekatan itu menjadi benteng dan kekuatan bagi umat untuk menapis atau menghalang pengaruh yang datang daripada kekufuran atau Barat.
“Selagi kita tidak mengambil Islam secara keseluruhan, pilih-pilih sahaja, mana yang senang ambil, mana yang susah tak nak buat, tinggalkan, memang kita sentiasa dibelenggu oleh kongkongan Barat,” katanya memperingatkan.
Farisha seterusnya menekankan perubahan pemikiran sebagai sebahagian daripada cara memerdekakan diri, dengan akidah dan syariat menjadi asas kepada pemikiran serta peraturan hidup.
“Islam adalah satu ideologi yang lengkap, yang sempurna, yang membentuk pemikiran dan peraturan hidup. Jadi pemikiran Islam, sistem dia atau peraturan hidup dia mesti mengikut Islam juga,” ujarnya.
Dalam menentukan tujuan hidup pula, beliau meletakkan akhirat sebagai matlamat utama tanpa bermaksud meninggalkan urusan dunia.
Dia memperingatkan, “Kita tidaklah meninggalkan dunia. Kita menggunakan dunia untuk mencari akhirat dan juga menjadikan akhirat itu matlamat utama mengatasi dunia. Tempat kekal abadi kita akhirat, bukan dunia. Dunia hanya persinggahan sekejap je.”
Untuk memastikan tindakan seseorang tidak bercanggah dengan syariat, Farisha turut menekankan keperluan menuntut ilmu supaya dapat membezakan perkara yang benar dan salah.
Di penghujungnya, beliau mengaitkan kepentingan kemerdekaan individu dengan kesedaran bahawa setiap perbuatan di dunia mempunyai pertanggungjawaban di akhirat kelak.
“Perbuatan kita hari ini adalah penentu hari esok. Bukan hari esok hari Ahad, tapi hari esok tu ke akhirat. Jadi kita ni kena sentiasa memperhatikan dan memastikan setiap perbuatan kita tidak menyalahi syariat Allah dan mestinya segala perintah Allah tu wajib kita laksanakan,” simpulnya.
#merdeka #merdekadenganislam