Umat Islam Belum Merdeka daripada Hukum Ciptaan Manusia
Oleh: Aliya
Aktivis Muslimah Malaysia, Farisha Aris berpandangan umat Islam belum benar-benar merdeka daripada hukum ciptaan manusia apabila sistem dan undang-undang yang disifatkannya sebagai peninggalan penjajah masih digunakan dan dipertahankan.
“Umat Islam belum merdeka dari hukum ciptaan manusia. Kalau tengok hari ni, sebenarnya sistem dan undang-undang penjajah masih diguna pakai dan dipertahankan,” katanya dalam program dalam talian Open Circle Muslimah bertajuk Ayuh! Merdekakan Diri dengan Islam Kaffah pada 29/8/2026 (Sabtu).
Beliau mengakui bahawa penjajahan secara fizikal tidak lagi berlaku, namun mempersoalkan sama ada keadaan itu sahaja memadai untuk menunjukkan bahawa umat sudah benar-benar bebas.
“Kalau tidak kita mengkaji, memang kita rasa macam, ‘Oh, okey je, kita dah perintah negara kita sendiri, tadbir negara sendiri, penjajah dah takde, mereka dah balik ke negara mereka.’ Tapi sebenarnya ditinggalkan undang-undang dia tu untuk dilaksanakan di Malaysia” ujarnya.
Farisha kemudian menyentuh proses sebelum kemerdekaan dengan merujuk penubuhan Suruhanjaya Reid pada Mac 1956, iaitu setahun sebelum merdeka. Menurutnya, suruhanjaya bebas itu ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Persekutuan, yang disediakan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya proses menuju kemerdekaan.
“Dirangka dulu Perlembagaan Persekutuan ni, barulah nanti perjanjian untuk merdeka, so nanti barulah kemerdekaan tu akan berlaku,” jelasnya.
Farisha kemudian mengalihkan perhatian kepada bentuk penjajahan yang menurutnya masih kekal dalam cara berfikir umat.
“Penjajahan fizikal memang tak ada, tapi sekarang ni penjajahan pemikiran masih ada dan masih berlaku. Jadi umat masih dibelenggu oleh pemikiran cetakan penjajah,” jelasnya.
Beliau mengaitkan keadaan itu dengan penjajahan pemikiran dengan kemasukan beberapa fahaman asing yang menurutnya boleh menjauhkan umat Islam daripada syariat, antaranya liberalisme, pluralisme dan feminisme.
“Ini antara ancaman pemikiran asingnya adalah liberalisme. Kebebasan, liberalisme kebebasan semua bebas, bebas bertingkah laku, berakidah bebas, berpemikiran. So maksudnya itu kebebasan yang dianut,” katanya.
Farisha kemudian memberi contoh pluralisme yang menurutnya meletakkan agama pada kedudukan yang sama dengan menganggap semuanya baik.
“Dan juga pluralisme, kesamaan, kesamarataan agama, semua agama baik, semua agama bagus. Dalam pluralisme, maksudnya dia nak kata seragam, semuanya agama bagus, semua agama baik-baik,” jelasnya.
Selain penjajahan pemikiran, Farisha melihat umat semakin jauh daripada Islam apabila cara hidup Barat mudah diterima dan dianggap lebih moden. Beliau turut menyentuh budaya yang mengutamakan perkara melalaikan, dengan menjadikan penganjuran konsert sebagai antara contoh yang menurutnya boleh merosakkan pemikiran.
“Apa yang datang daripada Barat semuanya bagus, apa yang datang daripada Barat semuanya moden. Siapa yang tak ambil apa yang daripada Barat, mereka tu ketinggalan zaman, mereka tu adalah kolot,” ujarnya.
Sambungnya lagi, “Kalau kita tengok banyak artis-artis yang buat konsert, ataupun banyaklah benda-benda yang merosakkan pemikiran, benda-benda yang melalaikan. So itu yang dibawa oleh Barat,” ujarnya.
Kecenderungan tersebut, menurutnya, turut memberi kesan terhadap keterikatan umat kepada hukum syarak sehingga perkara halal dan haram masih dikompromikan.
“Terikat kepada hukum syarak ni seperti menggenggam bara api. Sama ada panas tu, bara tu nak lepas ke, nak genggam sampai jadi abu. Halal dan haram tu dah jelas, tapi maksudnya mereka masih lagi nak buat,” katanya.
Beliau turut menyoroti kecenderungan memahami Islam hanya dalam ruang ritual, sedangkan aspek kehidupan lain tidak diatur berasaskan Islam.
“Ritual tu maksudnya sekadar ibadah saja. Tapi ketika dia melaksanakan kehidupan dia seharian, dia tidak mengambil Islam. Hari ini mereka hanya ibadah-ibadah, tapi bila dia melaksanakan kehidupan dia, dia ambil sistem daripada Barat,” jelasnya.
Selepas menghuraikan keadaan-keadaan tersebut, Farisha merumuskan bahawa ketiadaan penjajahan secara fizikal belum bermakna umat telah mencapai kemerdekaan yang sebenar.
“Jelas dan nyatalah belum lagi merdeka, belum benar-benar merdeka,” rumusnya.
#merdeka #merdekadenganislam #muhasabahmerdeka