Krisis Kelahiran Bukan Sekadar Pilihan Individu Tetapi Desakan Sistem
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivitis Muslimah Malaysia, Puan Iman Farhana mengatakan bahawa krisis kelahiran yang berlaku pada hari ini bukan sekadar pilihan individu tetapi kerana desakan sistem.
“Kenapa berlaku perubahan dalam kehidupan masyarakat hari ini? Kerana sistem ini mendesak kita untuk berfikir panjang. Mendesak masyarakat untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Dia bukan sekadar pilihan individu,” ujarnya dalam Bicara Muslimah Online bertajuk Krisis Kelahiran: Sistem yang Gagal Menyokong Keluarga dalam saluran YouTube Fikratul Ummah, Sabtu (3/10/2026).
Beliau menerangkan, krisis kelahiran iaitu penurunan kadar kelahiran sebenarnya telah terjadi jauh lebih awal daripada di Malaysia di negara lain kerana berpunca daripada perkara yang sama.
“Boleh dikatakan negara-negara ini mengalami krisis kelahiran disebabkan oleh faktor yang sama juga dengan kita iaitu faktor sistem yang mengatur kehidupan kita semua iaitu sama macam kita bincang yang awal tadi iaitu sistem ekonomi sistem kapitalis itu sendiri,” jelasnya.
Lanjutnya, dalam sistem ekonomi kapitalisme, perkahwinan dan kelahiran dianggap sebagai satu kerugian dalam sebuah kehidupan.
“Kita nampak bahawa sistem kapitalis menyebabkan orang rasa bahawa perkahwinan boleh menjadi satu kerugian kerana terpaksa menanggung beban. Kerana terpaksa. Kalau dulu masa dia bujang, dengan RM2,000 dia punya sendiri. Tapi selepas dia berkahwin, RM2,000 itu bukan untuk dia lagi dah. Untuk orang yang dia tanggung,” tuturnya.
Beliau memperlihatkan bahawa masyarakat terpaksa hidup dalam sistem kapitalisme ini kerana negara yang memilih untuk menerapkannya.
“Memang sistem itu diterapkan. Jadi siapa yang menerapkan sistem ini? Tidak lain tidak bukan, memang negara. Negara itu pilih nak terapkan sistem apa,” tegasnya.
Walaupun secara amnya negara menerapkan sistem kapitalisme, beliau menjelaskan bahawa individu tetap mempunyai pilihan sama ada mahu mengamalkannya ataupun tidak. Namun ia tidaklah mudah.
“Namun penerapan sistem kapitalis dalam kehidupan tetap memberi kesan kepada seluruh masyarakat termasuk kita yang tak mahu amalkan. Kerana undang-undang yang sedia ada adalah berdasarkan sistem sekular yang mempertahankan sistem kapitalis,” ucapnya.
Beliau mengungkapkan, segala perkara terpaksa ditanggung oleh individu akibat penerapan sistem kapitalisme oleh negara.
“Kos sara hidup meningkat. Harga rumah meningkat. Kos kesihatan jadi mahal. Kos pendidikan dan membesarkan anak mahal. Namun pendapatan masyarakat tak seiring dengan kos kehidupan. Dia tak seiring dengan kos yang dia nak tanggung itu. Semua ini adalah ranah dalam sistem kapitalis yang kita terpaksa tanggung akibatnya,” bebelnya.
Pada pandangan beliau, sistem kapitalisme telah mempengaruhi kemampuan masyarakat untuk membina keluarga.
“Akhirnya ramai yang memilih untuk menangguhkan perkahwinan. Kerana apa? Kerana belum mampu menyediakan tempat tinggal untuk pasangan. Kos sara hidup yang tinggi. Maka dengan semakin lambat berkahwin, potensi untuk memiliki anak yang ramai juga semakin rendah,” terangnya.
Beliau menunjukkan, memang ada individu yang berkahwin awal tetapi mengehadkan jumlah anak kepada dua tiga orang sahaja kerana masalah sistem ini membuatkan mereka berasa tidak mampu dari sudut material untuk membesarkan anak yang ramai.
“Jadi bukanlah kita kata individu itu sepenuhnya salah tetapi kerana sistem itu sendiri yang tidak mesra kepada kita, tidak menggalakkan kita untuk melangkah kepada institusi rumahtangga,” simpulnya.
Sumber: https://www.youtube.com/live/VFmz32B6iQs?si=lOHlNZxQ5uYBSvfT