Akidah: Konsep Kesederhanaan-Kompromi (al-Wasathiyah)
Oleh: Muhammad Hussein Abdullah
Dewasa ini, begitu banyak istilah-istilah yang dikeluarkan oleh Barat yang dijadikan slogan untuk mengecam umat Islam. Umat Islam diklasifikasikan menurut pandangan Barat terdapat Muslim yang ekstremis dan pengganas, ada yang sekadar ‘Islamis’, ada pula yang dikenali sebagai ‘Moderat’ atau ‘Moden’ atau ‘Liberal’. Bermacam-macam! Umat Islam yang sepatutnya menentang tanggapan-tanggapan Barat yang bukan sahaja telah mengklasifikasikan mereka dalam batas-batas negara, bangsa, suku, negara membangun atau negara dunia ketiga. Justeru memilih antara klasifikasi-klasifikasi ini. Mana yang paling sesuai untuk mereka labelkan pada identiti mereka. Antara yang telah mereka pilih ialah konsep moderasi ini.
Sumber Istilah Moderasi
Moderasi (moderation) dikenali sebagai kompromi atau “al-wasathiyah” dalam Bahasa Arab, ialah suatu konsep yang baru muncul di kalangan umat Islam setelah jatuhnya kekhilafahan Islam. Yang dimaksudkan dengan moderasi ialah mengambil sikap neutral (tidak berpihak) atau jalan tengah dan tidak ekstrem.
Moderasi adalah istilah Barat, baik dari segi lafaz mahupun maknanya. Dilihat dari asal-usulnya, istilah ini bersumber daripada ideologi Kapitalis/Sekularis yang menjadikan jalan tengah sebagai konsep sekaligus akidah. Ketika berlaku pergolakan berdarah antara tokoh-tokoh gereja dan para raja di satu pihak dengan para cendekiawan dan falsafah Barat di pihak yang lain; mereka berkompromi (compromise) untuk menyelesaikan masalah ini. Pihak gereja dan raja-raja berpendapat bahawa agama Nasrani layak mengatur semua aspek kehidupan, manakala pihak cendekiawan berkeyakinan bahawa agama ini tidak layak lagi untuk mengatur manusia, malah ia menyebabkan berlakunya kezaliman dan kemunduran. Mereka mengingkari kelayakannya sebagai sistem negara dan beranggapan bahawa akal manusia lebih layak dan mampu mengurus kemaslahatan manusia sendiri.
Bagi menyelesaikan masalah ini, mereka berkompromi. Jalan tengah yang mereka ambil ialah mengakui agama sebagai pengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, tetapi bukan pengatur antara manusia dengan manusia lain dalam kehidupan dunia. Maka muncullah konsep “fasluddeen ‘anil-hayah” (pemisahan agama dari kehidupan) dan konsep ini menjadi asas atau mabda’ bagi ideologi yang dikenali dengan Kapitalisme. Mereka berjaya bangkit sebagai sebuah tamadun, dan mengembangkan pemikiran fasluddeen ‘anil-hayah ini ke seluruh alam melalui cara imperialisme.
Apabila ditinjau secara mendalam, kita dapati bahawa konsep “fasluddin ‘anil-hayah” ini sendiri merupakan konsep yang menyalahi logik akal. Suatu penyelesaian yang didapati dengan mengambil jalan tengah antara dua pihak yang bertentangan tanpa melihat kebenaran hujah kedua-dua pihak dan tidak dapat dianggap sebagai penyelesaian sama sekali. Terutama apabila pertentangan yang berlaku adalah antara haq dan batil. Maka konsep ini yang mereka anggap kompromi atau adil sama sekali tidak bersandarkan kepada akal dan kebenaran.
Konsep ini sangat menonjol dalam setiap peraturan ideologi Kapitalis. Mereka menjadikan ‘undi’ sebagai penyelesaian dalam menerapkan peraturan. Undang-undang yang mahu diluluskan di parlimen contohnya, dibahas dan didebatkan terlebih dahulu kemudian diundi berdasarkan pendapat. Suara majoriti yang menentukan terjadi undang-undang tersebut, tanpa memperdulikan kebenaran hujah daripada pihak minoriti. Di negara-negara Kapitalis, kita dapati undang-undang yang berbahaya untuk kelestarian manusia dilaksanakan semata-mata kerana parlimen meluluskannya. Sebagai contoh: mengakui hak-hak lesbian dan homoseks dengan alasan pengakuan hak asasi manusia, walaupun implikasi dari pengakuan ini ialah berleluasanya penyebaran AIDS misalnya. Alasan agama dalam masalah ini tidak akan diterima sama sekali walaupun benar dari segi akal dan fakta.
Dalam menyelesaikan masalah politik, mereka mengambil jalan tengah tanpa melihat kebenarannya. Contohnya masalah Palestin. Kaum Arab Muslimin menuntut seluruh tanah Palestin dan menganggapnya sebagai tanah mereka. Sedangkan kaum Yahudi mendakwa tanah Palestin ialah tanah yang dijanjikan Tuhan untuk mereka (the promised land). Maka berlaku kesepakatan negara-negara Barat yang kapitalistik itu pada 1947 untuk menyelesaikan konflik Palestin dengan membuat dua struktur pemerintahan di sana iaitu satu untuk Arab dan satu lagi untuk Yahudi. Begitu pula halnya dalam masalah Kashmir, Kosovo, Bosnia, Cyprus, dan lain-lain.
Konsep ini mereka propagandakan seolah-olah membawa keadilan bagi semua pihak. Hakikatnya, konsep yang mereka serukan ini bersandarkan kepada dusta dan alasan-alasan yang tidak benar. Mereka bukannya berusaha mencapai kebenaran sepenuhnya, tetapi mereka menggunakan konsep ini sebagai alasan (excuse) dan tipu daya untuk memperoleh kesepakatan yang diingini. Oleh sebab itu, kita saksikan perundingan berlangsung bertahun-tahun, bukan untuk memberikan hak yang sepatutnya (kerana menurut pandangan mereka, hak seseorang itu tidak ada batasnya) tetapi untuk mencapai persetujuan dengan cara kompromi. Setiap pihak ingin memperoleh bahagian yang besar walaupun harus menanggung risiko kehilangan sebahagian daripada hak mereka. Hasilnya, besar atau kecilnya bahagian yang diperoleh tidak bergantung kepada benar atau salahnya sesuatu pihak, tetapi kuat atau lemahnya kedudukan mereka. Maka yang kuat akan memperoleh apa yang mereka ingini, manakala yang lemah harus mengalah dan berpuas hati dengan tawar-menawar yang mereka peroleh.
Kedudukan umat Islam yang begitu lemah sekarang ini menjadikan mereka mangsa kepada konsep moderasi-kompromi ini. Masalah yang mereka hadapi tidak pernah ada penyelesaiannya kerana mereka tidak dibenarkan untuk merujuk kepada hak mereka yang ditentukan oleh Allah SWT, kerana wahyu Allah itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mengatur hubungan mereka dengan manusia yang lain. Mereka tidak boleh memperjuangkan akidah mereka walaupun akidah Islam adalah akidah yang benar, kerana memperjuangkannya bermaksud ‘memihak’ dan ini dianggap sebagai ekstremisme serta tidak semua manusia memeluk akidah ini, maka harus ada kompromi.
Alasan Kaum Muslimin Mengambil Konsep ‘Moderasi’
Kaum Muslimin yang seharusnya menentang konsep ini dan menjelaskan kepalsuannya, sebaliknya memperjuangkannya. Mereka malah mendakwa bahawa ‘jalan tengah’ ini adalah sebahagian daripada Islam. Istilah-istilah seperti tolak-ansur, kesederhanaan dikaitkan dengan moderasi-kompromi ini. Ulama-ulama umat ini kemudian mencari dalil-dalil untuk membenarkan hujah ini. Mereka mengatakan Islam itu berada antara ruhiyah dan materi, seimbang antara individu dan masyarakat, antara realistik dan idealistik, tidak ekstrem dan tidak pula longgar, bukan ekstrem kiri dan bukan pula ekstrem kanan. Mereka mengatakan bahawa setiap sesuatu itu memiliki dua hujung ekstrem dan wilayah antara dua hujung tersebut adalah wilayah yang aman. Sedangkan titik-titik hujung adalah daerah berbahaya dan merosakkan. Sebaliknya, titik tengah adalah pusat keseimbangan dan kekuatan. Oleh yang demikian, dalil mereka, kita dapati Islam itu seimbang kerana sentiasa berada di titik tengah.
Antara hujah yang digunakan untuk mengukuhkan pendapat di atas:
1) Surah al-Baqarah (2): 143
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ …
“Dan demikian Kami jadikan kamu (umat Islam) ‘umatan wasatha’ supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia…” Dengan mentafsirkan ‘wasatha’ sebagai moderat, bahawa moderat umat Islam itu disebabkan oleh kesederhanaan manhaj dan sistemnya. Ia tidak ekstrem seperti agama Yahudi dan tidak pula seperti agama Nasrani yang lemah. Ia seimbang antara dunia dan akhirat, akhlak dan syariat serta sebagainya. Al-wasatha juga bermaksud keadilan dan keadilan itu bermaksud moderat atau kompromi antara dua pihak yang bertelagah, maka jadilah keadilan itu bermakna perdamaian.
2) Surah al-Furqaan (25): 67
وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا
“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, malah mereka berada di antara kedua-dua itu.” Mereka berkata bahawa dalam berinfaq terdapat dua ekstrem: boros dan kedekut, dan yang dituntut oleh Allah SWT adalah di antara keduanya (al-qawaam). Mereka berpendapat bahawa jalan tengah disyariatkan oleh Islam dalam membelanjakan harta.
Bantahan Terhadap Hujah Di Atas
Makna yang sebenar bagi surah al-Baqarah (2):143 adalah bahawa umat Islam adalah umat yang adil, dan adil merupakan salah satu syarat seorang saksi dalam Islam. Oleh itu, umat Islam akan menjadi saksi yang adil terhadap umat-umat lain kerana Islam telah sampai kepada mereka. Walaupun ayat ini disampaikan dalam bentuk ‘khabar’, ia sebenarnya merupakan suatu tuntutan kepada umat Islam untuk menyampaikan risalah Islam kepada umat lain. Jika tidak, mereka akan berdosa. Inilah yang dinyatakan di akhir ayat 143 ini, dan juga dalam surah al-Baqarah (2):140.
… وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَادَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ …
“Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan syahadahnya dari Allah…” Adapun surah al-Furqan (25):67 menunjukkan bahawa terdapat tiga jenis cara dalam membelanjakan harta: (1)al-Isrof, (2) at-Taqtier, (3) al-Qawaam. Al-Isrof ialah membelanjakan harta di jalan yang haram, baik dalam jumlah yang banyak atau sedikit. Walaupun seseorang hanya mengeluarkan RM1 untuk berjudi, itu sudah dianggap sebagai ‘isrof’. At-Taqtier pula merujuk kepada orang yang enggan menafkahkan harta untuk perbelanjaan yang wajib, seperti zakat dan nafkah. Sementara itu, al-Qawaam bermaksud menafkahkan harta mengikut apa yang dikehendaki oleh Islam, sama ada dalam jumlah yang banyak atau sedikit [1].
Contohnya, ketika Abu Bakar RA membelanjakan seluruh hartanya untuk Islam, atau Umar RA mengeluarkan separuh daripada hartanya, atau Usman RA membiayai perlengkapan jihad, mereka RA tidak dianggap isrof. Begitu juga apabila kaum munafiq menghina sebahagian kaum Muslimin yang hanya mampu mengeluarkan sedikit untuk disedekahkan di jalan Allah, Allah justeru mengecam kaum munafiq itu [TMQ at-Taubah (9):79].
Allah SWT juga memuji orang-orang yang bersama Rasulullah SAW dalam keadaan senang dan susah:
وَلَا يُنْفِقُونَ نَفَقَةً صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً وَلَا يَقْطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“...dan mereka tidak menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak pula yang besar, dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal soleh), supaya Allah membalas mereka dengan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.“ [TMQ at-Taubah (9): 121].
Maka lafaz “wa kaana baina dzalika qawaama” tidak boleh diterjemahkan sebagai jalan tengah. Ia hanya menunjukkan bahawa ada tiga cara dalam berinfak, dan hanya satu daripadanya yang sesuai dengan syarak. Allah SWT tidak mengatakan: “baina dzalikuma..” yang bermaksud ‘di antara keduanya’, maka perkataan qawaam tidak boleh diterjemahkan sebagai “wasathiyah” yang bermaksud pertengahan.
Khatimah
Dengan yang demikian, tiada jalan tengah dalam Islam dan tiada juga kompromi. Allah SWT yang menciptakan manusia dan Dia mengetahui ciptaanNya dengan pemahaman yang tiada batasan, yang tidak mampu dicapai oleh manusia. Dialah SWT yang mampu dan berhak untuk mengatur kehidupan manusia dengan peraturan yang teliti dan tepat. Dan tidak ada seorang manusia pun, walau sehebat mana pun, dapat mencapai kemampuan itu. Di manakah konsep “wasathiyah” dalam ayat-ayat ini?
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
”Barangsiapa mencari selain Islam sebagai addeen, maka sekali-kali tidak akan diterima darinya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” [TMQ Ali-‘Imran (3) : 85].
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
“Dan berhukumlah antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah (syari’at Islam) dan janganlah kamu mengikuti hawa mereka…” [TMQ. al-Maa’idah (5): 49].
Ketika Rasulullah SAW meminta bantuan daripada Bani Sa’sa’ah, mereka meminta agar kepimpinan diserahkan kepada mereka setelah kewafatan Rasulullah SAW nanti. Rasulullah hanya berkata: “Al-amru lillahi yadha’a hu haitsu yasyaa’” yang bermaksud urusan atau kekuasaan itu milik Allah, Dia meletakkannya di tempat yang dikehendakiNya.
Juga tiada jalan tengah dalam penerapan hukum Islam, baik hukum potong tangan, zina, atau murtad. Allah SWT telah menurunkan syariatNya dengan lengkap dan terperinci, Rasulullah SAW serta khalifah-khalifah selepas baginda telah menunjukkan kepada kita bagaimana hukum Islam itu telah dilaksanakan oleh kaum Muslimin lebih dari 14 abad lamanya. Istilah ‘wasathiyah’ ini telah disuntikkan ke dalam Islam oleh musuh-musuh Allah supaya kaum Muslimin mengaitkannya dengan nama moderasi dan toleransi, serta memalingkan mereka dari ketegasan dan kebijaksanaan hukum Allah SWT. Hendaknya kaum Muslimin menyedari racun pemikiran yang disuntikkan ke dalam pemikiran-pemikiran Islam, dan mula menjadikan hanya syariat sebagai ukuran mereka dalam kehidupan ini. Allah SWT berfirman:
فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ
“…tidak ada sesuatu pun selepas Haq itu melainkan kesesatan…” [TMQ Yunus (10): 32].
Adakah Islam itu tidak cukup untuk kaum Muslimin, sehingga kita perlu mencari istilah atau cara hidup yang lain selain Islam?
Sumber: hayatulislam.net Publikasi 30/05/2004 (tanpa arab dan catatan kaki)
[1] Tafsir Ath Thabari (19/298), Maktabah Syamilah: حدثني علي، قال: ثنا أبو صالح، قال: ثني معاوية، عن عليّ، عن ابن عباس، قوله:( وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا ) قال: هم المؤمنون لا يسرفون فينفقون في معصية الله، ولا يُقترون فيمنعون حقوق الله تعالى..