[Seputar Gerakan Islam] Berjuang untuk Islam di Jalan yang Keliru (Bahagian 2/4)
Adapun ada atau tidaknya politik dalam Islam, maka perlu dijelaskan terlebih dahulu pengertian politik dari segi istilah syarak, iaitu memelihara dan memperhatikan urusan umat/rakyat.
Dengan pengertian tersebut, bererti mengangkat seorang khalifah termasuk kegiatan politik. Sebabnya, tugas khalifah adalah mengurusi masyarakat dengan peraturan yang benar, yakni syariat Islam.
Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW, “Siapa saja yang pada pagi hari tidak memikirkan masalah kaum muslim, maka bukan termasuk golongan mereka.” (HR Al-Hakim).
Rasulullah SAW senantiasa memikirkan dan memelihara urusan umat selama hidupnya. Demikian pula halnya para khulafaur rasyidin dan para sahabat sesudahnya. Rasulullah SAW juga memberitahu kepada para sahabat bahawa Allah akan meminta pertanggungjawaban daripada para khalifah tentang segala urusan rakyat yang perlu dipeliharanya. Ini sebagaimana sabda beliau,
“Dahulu Bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Akan tetapi) nanti akan ada banyak khalifah (kepala pemerintahan Islam).” Para sahabat bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepada kami (pada saat itu)?” Beliau menjawab, “Penuhilah baiat yang pertama dan hanya yang pertama itu, serta berikanlah kepada mereka haknya. Sebabnya, Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka.” (HR Bukhari dan Muslim).
Adapun yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah membentuk parti yang terorganisasi untuk menegakkan Daulah Islam, maka itu bertentangan dengan firman Allah SWT, “Allah redha terhadap mereka (sahabat) dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah parti Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang beruntung.” (TMQ Al Mujadalah: 22).
Hal ini juga bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi dengan sanad yang sahih, “Jika masyarakat kaum muslim melihat penguasa yang zalim lalu tidak mencegahnya dari kezaliman itu, maka hampir-hampir ditimpakan azab atas diri mereka.”
Sabda Rasul ini merupakan penjelasan tentang amal jemaah atau kegiatan dakwah yang dilakukan oleh masyarakat mahupun sekelompok kaum muslim dalam wadah satu parti yang diperintahkan untuk membentuknya. Ini bertujuan agar dapat melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
Perintah ini lebih ditegaskan lagi dalam firman Allah SWT, “(Dan) hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran: 104).
Di bawah ini contoh salah seorang anggota Hizbur Rasul, yakni Mush’ab bin Umair. Beliaulah yang manyebarkan Islam di Madinah sebagai dasar bangunan Daulah Islam di sana. Dengan pertolongan Allah, dia berhasil mengajak tokoh-tokoh masyarakat Madinah (73 pemimpin) untuk masuk Islam. Kemudian mereka datang ke Mekah untuk menyerahkan kekuasaannya kepada Rasulullah SAW.
Oleh kerana itu, tidak boleh membezakan antara fardhu mengangkat khalifah dengan fardhu menuntut ilmu, misalnya. Sebabnya, keduanya merupakan fardhu kifayah yang tidak boleh ditinggalkan salah satunya. Ini sebagaimana halnya tidak boleh ditinggalkan salah satu dari solat dan shaum (puasa).
Sesungguhnya yang diperintahkan kepada para mukallaf (hamba yang sudah akil baligh) adalah keduanya. Namun di antara pejuang (gerakan) Islam ada yang berpendapat bahawa jihad adalah satu-satunya jalan yang ditempuh untuk mendirikan daulah Islam. Pendapat ini tidak tepat.
Sebabnya, pengertian jihad adalah peperangan melawan negara-negara kafir yang memusuhi Islam dan kaum muslim. Ini dilakukan dengan harta, jiwa, dan lidah (ucapan) untuk menaklukkan dan menggabungkan negeri-negeri mereka ke negeri-negeri kaum muslim agar cahaya Islam tersebar ke negeri-negeri kafir tersebut.
Tujuan jihad lainnya adalah untuk menghilangkan segala penghalang yang bersifat fizikal yang merintangi kaum muslim untuk menegakkan keadilan di bumi ini. Dalam usaha ini termasuk mengubah negeri mereka agar menjadi Darul Islam. Di samping itu, jihad juga bererti peperangan untuk mempertahankan wilayah Islam sebagaimana sikap Rasulullah SAW dalam mempertahankan Madinah dalam Perang Ahzab.
Dengan memperhatikan pengertian jihad di atas, maka wajib bagi kaum muslim sekarang untuk melaksanakan jihad memerangi kaum Yahudi (Israel) asalkan tidak berlindung kepada negara-negara kafir (misalnya AS) yang sombong dan angkuh itu. Walaupun jihad merupakan fardhu yang akan berlanjutan sampai kiamat, serta tidak boleh terhenti disebabkan keadilan atau kezaliman penguasa, tetapi ia merupakan fardhu lain selain daripada fardhu pengangkatan khalifah. Ini adalah fardhu yang berupa suatu usaha yang bertujuan mengubah sistem pemerintahan yang berlaku atas kaum muslim daripada sistem kufur ke sistem Islam.
Usaha melantik khalifah bukanlah usaha individu yang ditujukan kepada penguasa secara peribadi. Akan tetapi usaha ini untuk mengubah undang-undang yang dihasilkan akal manusia dengan undang-undang dan peraturan yang diambil daripada syariat Islam.
Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW tatkala pemimpin-pemimpin Madinah membaiat beliau sebagai rasul dan pemimpin untuk menerapkan hukum-hukum Islam. Selanjutnya kota Madinah telah menjadi Daulah Islam yang di dalamnya diterapkan hukum-hukum Islam. Setelah Rasulullah SAW wafat, para khalifah tetap berusaha mengambil baiat orang-orang yang mewakili rakyat untuk melaksanakan hukum Islam di tengah masyarakat.
Pada masa kini tidak ada satu negeri pun yang mengambil aturan Islam berdasarkan syariat Islam atau mazhab fikih Islam apapun, walaupun sebahagian masih menganggap bahawa negara mereka adalah negara Islam. Mereka masih mencampuradukkan antara sistem Islam dengan sistem lain.
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.