[Seputar Gerakan Islam] Berjuang untuk Islam di Jalan yang Keliru (Bahagian 3/4)
Peraturan-peraturan dan hukum-hukum Islam dapat diambil daripada pendapat para fukaha, seperti Imam Syafie, Maliki, Hanafi, Hambali, Ja’far, Zaid, dan lain-lain. Boleh juga diambil secara langsung daripada dalil-dalil syarak melalui penggalian hukum (proses ijtihad) yang benar.
Oleh kerana itu, sudah menjadi kewajipan bagi kaum muslim untuk mengangkat seorang khalifah yang mengurusi kaum muslim berdasarkan apa yang diturunkan oleh Allah Taala. Kewajipan ini bukan berdasarkan apa yang tercantum dalam perlembagaan Amerika, peraturan dan resolusi PBB, atau berdasarkan sosialisme, persatuan buruh, mahupun sosialisme antarabangsa atau marxisme.
Jadi ini berbeza dengan jihad yang merupakan suatu kegiatan yang dilakukan oleh Daulah Islam sendiri, atau dilakukan oleh kaum muslim, walau tanpa izin imam. Ini boleh berlaku dalam situasi dan keadaan mengusir pasukan kafir, sedangkan komunikasi dengan Imam terputus. Juga perlu mengangkat seorang khalifah bagi kaum muslim yang dilakukan tanpa mengangkat senjata terhadap penguasa yang ada, walaupun mereka tidak menerapkan Islam.
Mengenai masalah mengangkat senjata, ada di antara aktivis dakwah yang mengatakan bahawa jika kelompok kita telah ditimpa bahaya daripada penguasa ketika berjuang menegakkan kekhalifahan, dalam keadaan ini kita berhak untuk membela diri. Mereka mengatakan pula boleh berperang dan memerangi penguasa yang memerangi kita.
Mereka bersandar pada berbagai hadis, seperti, “Siapa saja yang mati tatkala membela diri, maka matinya adalah mati syahid.” (HR Ibnu ‘Asyakir dan Ath Thabari dengan lafaz semisalnya).
Hadis-hadis seperti di atas tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Sebabnya, tidak ada kaitannya dengan masalah pembelaan diri terhadap penguasa yang memerangi kaum muslim. Hadis-hadis tersebut dicantumkan dalam kitab-kitab fikih dalam bab “Menjauhkan Pihak yang Mengancam Kita”.
Dalam hal ini, hadis-hadis tersebut telah memberi rukhsah bagi kaum muslim untuk menjauhkan serangan pihak yang mengancam diri, harta, dan kehormatan meraka, walaupun pembelaan tersebut mengakibatkan seseorang meninggal dunia. Pihak pengancam biasanya dari kalangan orang-orang “hina”, seperti pencuri dan perompak yang cenderung membunuh atau merampas dan mengambil harta orang lain dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan. Orang-orang tersebut berbeza dengan penguasa seperti yang dimaksud dalam firman Allah SWT, “Negeri Akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. …” (TMQ Al-Qashash: 83).
Yang dimaksud dengan “orang yang menyombongkan diri dan berbuat kerosakan” seperti Firaun, misalnya, adalah penguasa zalim yang tetap ada dan berkuasa pada setiap masa. Para penguasa ini berbeza dengan orang-orang yang tujuannya hanya hendak melakukan kerosakan saja. Lagi pula, para perampas, pencuri, dan perompak itu adalah manusia hina yang tidak ingin menyombongkan diri.
Membela diri berbeza dengan membela dakwah. Sebabnya, penguasa tidak memerangi para pejuang dakwah Islam hanya kerana ingin merampas kekuasaan mereka. Akan tetapi kerana mereka membawa dakwah Islam. Oleh kerana itu, dalil tersebut tidak dapat dijadikan pegangan untuk mengambil hukum syarak yang membolehkan suatu gerakan dakwah memerangi penguasa zalim.
Bahkan syarak menunjukkan yang sebaliknya, bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat telah ditimpa berbagai macam bahaya/penganiayaan di Mekah sebelum tegaknya daulah Islam. Namun mereka bersabar serta menahan diri sehingga diberi rukhsah bagi orang-orang yang lemah untuk hijrah ke Habsyah. Mereka tidak diizinkan untuk beperang.
Islam adalah agama yang lengkap lagi sempurna. Ini sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah SWT, “… Pada hari ini telah Ku sempurnakan bagimu agamamu, telah Ku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Ku redhai Islam menjadi agamamu. …” (TMQ Al-Maidah: 3).
Oleh kerana itu, tidak benar apabila ada yang berpendapat bahawasanya perbezaan keadaan kita sekarang dengan masa Rasulullah SAW, membolehkan kita berijtihad dan menggunakan akal kita untuk mencari suatu metode atau kaedah dakwah yang sesuai dengan keadaan masa kini.
Perbezaan fakta tidak ada kaitan dengan masalah fikrah (idea dasar) dan thariqah (pola operasional) dakwah. Perbezaan itu boleh ada dalam penggunaan sarana-sarana dan berkaitan dengan peristiwa-peristiwa yang selalu berkembang.
Dahulu, misalnya, orang berpindah-pindah dengan unta sebagai alat pengangkutan atau dengan berjalan kaki. Namun pada masa kini, orang-orang telah menggunakan kapal terbang atau kereta sebagai alat pengangkutan. Mengenai fakta yang selalu berkembang ini, para fukaha telah menentukan suatu kaedah syarak yang dapat dijadikan sebagai pegangan umum, iaitu, “Hukum asal segala sesuatu adalah mubah, kecuali apabila ada suatu dalil yang mengharamkannya.”
Kaedah tersebut telah diambil dari berbagai ayat Al-Quran, seperti pada surah Al-Baqarah: 29, walaupun ayat tersebut tidak ada kaitannya dengan perbuatan manusia atau aktiviti suatu gerakan.
Adapun tentang kejadian-kejadian dan perbuatan manusia, maka hukum asalnya adalah wajib mengikatkan diri dengan hukum syarak. Dengan demikian, tidak ada di dalam Islam satu ijtihad pun yang berdasarkan akal saja.
Adapun pengertian ijtihad di sini adalah berusaha semaksima mungkin untuk mengetahui hukum-hukum syarak tentang masalah-masalah yang bersifat praktikal, yang dapat diambil daripada perincian dalil-dalil syarak. Sedangkan pengertian hukum syarak adalah khithabusy syar’i, iaitu seruan berupa perintah dan larangan Allah SWT kepada Rasul-Nya yang berkaitan dengan perbuatan manusia.
Seruan tersebut dapat digali dari dalil-dalil syarak, iaitu Al-Quran, Sunnah, dan apa yang ditunjukkan oleh keduanya, berupa ijmak sahabat dan qiyas. Mengeluarkan hukum berdasarkan keputusan akal semata, bererti merujuk kepada akal, bukan kepada syarak. Perbuatan semacam ini tidak berbeza dengan tindakan orang-orang kafir.
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.