Bilakah Anak Perlu Dilatih Berpuasa?
Oleh: Dra. (Psi) Zulia Ilmawati
Soalan:
Assalamualaikum wbt, puan penasihat segmen perunding keluarga yang saya hormati, Insya Allah tidak lama lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan. Terkait dengan pengenalan dan pelatihan anak berpuasa, sebenarnya bilakah saat yang paling tepat untuk memulainya agar tidak mengganggu kesihatan dan pertumbuhan anak? Bolehkah kita memberikan sesuatu berupa hadiah agar anak mahu berpuasa? Jazakillah khairan kasiran atas jawapannya.
Jawapan:
Wassalamualaikum wbt. Ibu yang baik, puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu dasar dari rukun Islam. Maka melatih anak untuk berpuasa di bulan mulia ini menjadi kewajipan bagi setiap ibu bapa Muslim. Para sahabat Muslimah di zaman Rasulullah SAW juga mengenalkan puasa kepada anak-anak. Mereka merancang aktiviti bagi anak-anak mereka, khususnya untuk menggembirakan hati mereka agar melupakan waktu yang terasa berjalan lambat selama berpuasa. Seperti yang berlaku dalam sebuah kisah ketika Rasulullah mengutus seseorang pada hari raya Asyura ke perkampungan orang-orang Ansar dan bersabda:
“Siapa yang pagi ini shaum, hendaklah dia shaum dan menyempurnakan puasanya. Maka kami pun menyempurnakan puasa hari itu dan kami mengajak anak-anak kami shaum. Kami ajak ke masjid, lalu Kami beri mereka mainan dari benang sutera. Jika mereka menangis minta makan kami berikan mainan itu sampai datang waktu berbuka.” (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)
Ibu yang baik, banyak ibu bapa yang khuatir jika anak-anak mulai diajarkan puasa di usia masih kecil kerana mereka merasakan bahawa masih kecil dan sedang dalam pertumbuhan. Bagi mereka, puasa akan mengganggu kesihatan anak-anak. Ibu bapa tidak perlu khuatir, kerana sifatnya hanya latihan saja, dan ia dilakukan sesuai dengan kemahuan dan kemampuan anak iaitu pada usia atau keadaan dimana anak sudah boleh dilatih atau mereka telah memahami apa itu puasa. Anak di usia 4 hingga 6 tahun biasanya sudah boleh cuba berpuasa. Anak boleh dikejutkan untuk bangun sahur serta ibu tidak membekalkan makanan untuk dibawa ke sekolah.
Ibu yang baik, dalam melatih anak-anak berpuasa, tentunya tetap dijalankan secara fleksibel yakni tidak memaksa anak. Misalnya mengizinkan anak untuk berbuka pada pukul 10 pagi, seterusnya pukul 12 tengah hari dan seterusnya sehingga akhirnya anak mampu berpuasa penuh sehingga sampai waktu berbuka. Ibu bapa perlu memahami bahawa kegiatan ini sebagai Latihan dan persiapan agar anak terbiasa dengan aktiviti ibadah. Ini adalah proses pendidikan. Jadi, bukan hasil yang kita harapkan. Oleh kerana itu, kebijaksanaan yang diterapkan harus tetap fleksibel bergantung pada keadaan anak, umur, keadaan fizikal, dan mentalnya. Anak-anak masih dalam proses pertumbuhan dan perlu diperhatikan keperluan gizi dan tidurnya sepanjang tempoh pelatihan berlangsung.
Ibu yang baik, pemberian hadiah kepada anak mempunyai pengaruh positif bagi pendidikan anak antara lain akan menumbuhkan motivasi untuk berusaha mencapai prestasi. Hadiah akan membuat anak merasa dihargai. Tetapi ada yang perlu diperhatikan saat kita ingin memberikan hadiah pada anak. Hadiah semestinya diberikan jika anak berjaya melakukan sesuatu, sesuai dengan standard prestasi atau pencapaian tertentu berdasarkan kemampuan dan keadaan anak. Sebaiknya standard prestasi itu dibuat berdasarkan kesepakatan yang bersifat cabaran, bukan yang menekan agar anak tidak stress, agar anak tetap merasa tenang, dan anak mudah melakukannya. Hadiah juga dapat diberikan saat kita punya harapan tertentu terhadap perilaku anak. Contohnya saat anak berjaya melaksanakan ibadah puasa sesuai dengan yang kita sepakati.
Ibu yang baik, hadiah di samping untuk menumbuhkan motivasi, juga merupakan ekspresi kebahagiaan dan bentuk kasih sayang yang diberikan ibu bapa kerana anak berjaya melakukan sesuatu. Rasulullah SAW bersabda: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.” (HR Bukhari)
Agar anak tetap semangat dalam berlatih berpuasa, sebaiknya dekatkan anak-anak dengan anak-anak yang lain yang sama-sama sedang berlatih berpuasa, agar mereka merasakan kebersamaan. Jauhkan dari anak-anak yang malas berlatih berpuasa. Perhatian yang intensif dan cara-cara yang bijak dalam mempersiapkan dan melaksanakan ibadah puasa selama Ramadhan insya Allah akan dapat menggugah kesedaran anak-anak untuk berpuasa dan melaksanakan ibadah lain dengan gembira. Semoga kita semua akan dapat menyiapkan diri sebaik-baiknya dan diberikan kesempatan bertemu dengan bulan Ramadhan kembali. Aamiin.