[ Opini Muslimah Ideal ] Penting Membina Kembali Generasi Strawberi Menjadi Generasi Tangguh
Strawberi. Rasanya masam manis, kemerahan dan cantik dipandang. Namun bila ditekan, lembik dan mudah hancur.
Begitulah analogi bagi generasi muda remaja yang digelar generasi strawberi; Gen Z yang tampak menarik dan segak secara luaran namun mudah sensitif dan terpengaruh serta kurang ketahanan mental.
Generasi yang lahir di era berkembangnya teknologi ini tidak dinafikan golongan yang kreatif, inovatif dan kolaboratif namun jika tidak dipandu dengan jati diri yang kuat dan akidah yang mantap, teknologi dan media sosial boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mental.
Hidup dalam sistem kapitalisme menambah tekanan bagi golongan strawberi. Ini kerana kejayaan individu sering diukur dengan pencapaian material dan status sosial, menyebabkan golongan ini merasa terbeban secara emosi dan mental. Media sosial yang dipengaruhi nilai kapitalis, memperburuk keadaan dengan memperkenalkan budaya perbandingan dan keinginan untuk sentiasa diiktiraf dari segi penampilan dan populariti. Hal ini dapat memicu perasaan cemas dan tidak puas hati terhadap diri sendiri, malah sering merasa tidak cukup baik jika mereka tidak memenuhi standard yang ditetapkan oleh masyarakat.
Berbeza dengan generasi muda muslim yang dibentuk dari sistem dan peradaban Islam. Mereka dibina dengan keperibadian Islam dan dibentuk menjadi individu yang bermental kuat dalam menghadapi kesulitan hidup. Setiap masalah yang dihadapi dianggap ujian dari Allah bagi menguji keteguhan iman. Contohnya Saidatina Aisyah binti Abu Bakar menghadapi pelbagai ujian termasuk fitnah besar. Aisyah tetap tabah memperlihatkan keberanian dalam mempertahankan maruah dirinya. Begitu juga Sumayyah binti Khayyat yang merupakan syahidah pertama yang diseksa kejam kerana berakidah Islam. Para Muslimah ini menggambarkan ketahanan mental, keberanian dan kesabaran yang luar biasa dalam mengharungi ujian hidup demi menggapai redha Allah. Semoga generasi strawberi dapat mengambil iktibar dan panduan sehingga berubah menjadi generasi dan umat terbaik.
Nor Nadzri
Pendidik