[ Opini Muslimah Ideal ]
Persiapan Menjadi Ibu
Mungkin definisi persiapan menjadi ibu bagi sebahagian orang di masa sekarang adalah dari segi kewangan , persiapan mental dan ilmu parenting. Bersedia dari segi kewangan biasanya untuk menampung kos kehamilan, kelahiran dan keperluan bayi. Manakala mempersiapkan diri dengan ilmu parenting pula, akan membantu memberikan keyakinan pada bakal ibu bapa dalam menghadapi cabaran serta membantu proses pembesaran anak agar tumbuh dalam persekitaran yang penuh kasih sayang dan sokongan. Tetapi hakikatnya, persiapan menjadi ibu bukanlah semua hal itu semata. Ada perkara lain yang juga penting, iaitu kesihatan. Mengapa persediaan kesihatan penting bagi bakal ibu? Walaupun zuriat sememangnya adalah rezeki dari Allah SWT, tetapi aspek kesihatan juga adalah asbab untuk mencapai kehamilan, dan tubuh badan juga merupakan amanah untuk dijaga sebaik mungkin.
Sedikit perkongsian dari saya, sebagai salah seorang pejuang TTC (try to conceive) yang telah dikesan oleh doktor mempunyai fibroid. Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang tumbuh dalam atau sekitar rahim. Salah satu punca fibroid ialah obesiti, kerana berat badan berlebihan dapat meningkatkan tahap estrogen dalam tubuh, yang boleh merangsang pertumbuhan fibroid. Berada dalam situasi ini memberikan peluang untuk saya merenung kepentingan memperhatikan urusan kesihatan, dalaman mahupun luaran. Dan menjentik kesedaran dalam diri saya bahawa, menjadi ibu bapa, bukan sekadar tentang ilmu mendidik anak pada masa hadapan, tapi bahkan lebih penting adalah persiapan diri bakal ibu.
Walaupun saya sudah bersedia dari segi kewangan, mental dan ilmu parenting, tanpa penjagaan kesihatan, semua persiapan itu akan menjadi sia-sia kerana kesihatan yang buruk boleh menjejaskan perjalanan kita sebagai ibu bapa. Tanpa penjagaan kesihatan yang baik, sesiapa pun berisiko menghidap masalah seperti saya dan pelbagai masalah kesihatan lain.
Bagaimanapun, kita hanya boleh berusaha dan Allah yang menentukan segalanya. Untuk semua pejuang TTC, janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah berfirman bahawa anak-anak dan harta adalah ujian bagi kamu. Percayalah, setiap perjalanan itu ada hikmahnya dan Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Oleh itu, saya menyeru para wanita di luar sana untuk menitik beratkan aspek penjagaan kesihatan sedari awal sebagai satu langkah mempersiapkan diri melangkah ke dunia keibuan.
Siti Aisyah Humairah
( TTC Fighter )
———————————————————–
*Segmen khas sharing umum dari sahabat muslimah sempena Kempen Muslimah Ideal : Seni Membentuk Generasi Pemimpin