Membentuk Anak Soleh: Pengaruh Kesolehan Ibu Bapa terhadap Anak-anak
Penulis: Ummu Fathma
Secara biologi, rupa paras dan bentuk fizikal ibu bapa kebiasaannya akan diwarisi kepada anak-anak sehingga kebanyakan daripada kita akan memperhatikan fizikal dan genetik seseorang tatkala memilih pasangan hidup. Namun, terdapat satu perkara yang kurang diambil berat oleh kita iaitu kesolehan dan ketakwaan individu bakal pasangan. Hal ini kerana kesolehan ibu bapa memiliki pengaruh yang sangat besar terhadap perkembangan karakter dan keperibadian anak. Dalam Islam, ibu bapa yang soleh tidak hanya memberikan contoh teladan yang baik melalui perilaku mereka tetapi juga membentuk asas spiritual dan moral yang kuat bagi anak-anak mereka. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi sikap, keyakinan dan pola fikir mereka.
Ibu bapa yang soleh akan memberikan contoh akhlak yang baik kepada anak-anak mereka. Dalam banyak hal, anak-anak cenderung meniru perilaku dan sikap ibu bapa mereka terutama dalam hal kesabaran, kasih sayang, kejujuran dan tanggungjawab. Nabi SAW bersabda,
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” [HR. Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh orang tua dalam membentuk keperibadian seseorang anak. Kesolehan ibu bapa menjadi faktor penting dalam menjaga fitrah kebaikan yang ada dalam diri anak.
Begitu juga dalam soal ibadah, sekiranya ibu bapa rajin menunaikan solat, berpuasa, membaca al-Quran dan bersedekah, secara tidak langsung mereka akan menanamkan nilai-nilai ketakwaan kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang hidup dalam lingkungan keluarga yang taat beribadah akan memahami bahawa agama adalah bahagian yang penting dalam kehidupan. Ini sejajar dengan perintah Allah SWT yang bermaksud:
“Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya…” [TMQ Thahaa (20):132]
Selain daripada itu, ibu bapa yang bertakwa pasti akan memerhatikan soal sumber rezeki yang mereka salurkan kepada anak-anak. Mereka akan memastikan anak-anak mereka tumbuh membesar dari sumber rezeki yang halal. Nabi SAW yang berbunyi,
“Setiap daging yang tumbuh dari barang yang haram, maka neraka lebih utama baginya.” [HR Baihaqi]
Berdasarkan hadis di atas, pasti akan membuatkan mereka bersungguh mencari hasil rezeki yang bebas dari sumber yang haram seperti riba, rasuah, penipuan dan sebagainya. Imam Al-Ghazali pernah berpesan dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, “Jika ingin anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna maka berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan halal menjadikan anak kita berguna, cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak menjadi derhaka jika diberi makanan yang kotor.” Imam Al-Ghazali menekankan bahawa orang tua harus berhati-hati dalam memberikan makanan kepada anak-anak mereka kerana makanan yang berasal dari sumber yang diragukan atau haram dapat menyebabkan pertumbuhan anak-anak yang secara fizikal dan spiritualnya menjadi lebih cenderung terhadap perbuatan dosa dan kejahatan.
Tidak cukup hanya dengan menjaga perilaku dan berikan didikan yang baik kepada anak-anak, seorang ibu bapa yang soleh juga akan sentiasa mendoakan kebaikan dan keselamatan bagi anak-anaknya, baik di dunia mahupun di akhirat. Seperti yang diketahui, doa ibubapa mempunyai pengaruh yang kuat dan akan memberikan impak yang positif dalam kehidupan anak-anak. Nabi SAW bersabda,
“Ada tiga doa yang mustajab tanpa keraguan iaitu doa orang yang terzalimi, doa seorang musafir, dan doa orang tua untuk anaknya.” [HR. Tirmidzi].
Begitulah besarnya pengaruh kesolehan dan ketakwaan ibu bapa dalam kehidupan anak-anak. Allah SWT menceritakan di dalam Al-Quran tentang bagaimana Allah memelihara harta anak kepada pasangan ibu bapa yang soleh. Allah berfirman,
“Adapun dinding itu, adalah milik dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda bagi keduanya, dan ayah mereka adalah seorang yang soleh. Maka Rabb-mu menghendaki agar keduanya mencapai kedewasaannya dan mengambil harta mereka sebagai rahmat dari Rabb-mu. Dan apa yang telah kulakukan itu tidaklah berdasarkan kemahuan diriku sendiri. Itulah penafsiran apa yang tidak dapat kamu sabari” [TMQ Al-Kahf (18): 82].
Disebabkan kesolehan bapanya, maka Allah memelihara harta anak-anak yatim tersebut daripada di zalimi. Imam Al-Qurtubi dan Ibn-kathir ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan, “maka dalam ayat ini terdapat petunjuk yang menyatakan bahawa Allah memelihara seorang lelaki yang soleh dan anaknya juga meskipun anak tersebut jauh (jarak tujuh keturunan) darinya.” Ini membawa makna, sekiranya kita menginginkan Allah menjaga dan membantu anak-anak generasi kita, seharusnya kita terlebih dahulu menjadi seorang ibu bapa soleh, yang mentaati segala perintah dan larangan Allah.
Wallahhu’alam..