[Siri Sinar Ramadhan] Khutbah Rasulullah SAW di Bulan Ramadhan
Khutbah Rasulullah SAW tentang keutamaan bulan Ramadhan yang diriwayatkan oleh Imam Ali RA: “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah yang membawa keberkatan, rahmat, dan keampunan. Bulan yang paling mulia di sisi Allah, hari-harinya adalah hari yang paling utama, malam-malamnya adalah malam yang paling utama, dan setiap jamnya adalah yang paling berharga.” Kemudian Amirulmukminin Ali bin Abi Thalib berdiri dan bertanya: ‘Ya Rasulullah, apakah amalan yang paling utama di bulan ini?’ Baginda menjawab, ‘Wahai Abul Hasan, amalan yang paling utama di bulan ini ialah menjaga diri daripada perkara yang diharamkan oleh Allah SWT” “Inilah bulan di mana engkau diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Nafasmu menjadi tasbih, tidurmu menjadi ibadah, amal-amalmu diterima, dan doa-doamu dimakbulkan. Maka, bermohonlah kepada Allah dengan hati yang tulus dan suci agar Dia membimbingmu dalam menunaikan ibadah puasa dan membaca kitab-Nya. Sungguh celakalah orang yang tidak mendapatkan keampunan Allah di bulan yang agung ini. “Sesiapa yang menunaikan solat sunat di bulan Ramadhan, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Sesiapa yang melakukan solat fardu, baginya ganjaran seperti 70 solat fardu di bulan lain. “Sesiapa yang memperbanyakkan selawat ke atasku, Allah akan memberatkan timbangan amalnya pada hari ketika timbangan menjadi ringan. Sesiapa yang membaca satu ayat Al-Quran di bulan ini, ganjarannya sama seperti mengkhatamkan Al-Quran di bulan-bulan lain.”
Berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu daripada lima Rukun Islam dan diwajibkan kepada seluruh umat Islam. Bulan ini sangat dinanti-nantikan oleh setiap mukmin kerana ia adalah bulan penuh keberkatan, rahmat, dan keampunan. Pelbagai peluang ditawarkan untuk meningkatkan amalan serta meraih pahala berlipat kali ganda.
Rasulullah SAW menekankan keutamaan bulan Ramadhan sebagai bulan mulia. Baginda mengingatkan bahawa setiap saat dalam bulan ini amat bermakna dan penuh keistimewaan. Amalan yang paling utama adalah menjauhi perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Baginda juga menyatakan bahawa umat Islam diberikan penghormatan istimewa sebagai tetamu Allah sepanjang Ramadhan. Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, setiap helaan nafas dihitung sebagai tasbih, tidur dianggap sebagai ibadah, dan doa dimakbulkan oleh Allah SWT. Oleh itu, amat rugi sekiranya bulan suci ini diisi dengan perkara sia-sia dan mungkar. Sebaliknya, umat Islam hendaklah memanfaatkannya dengan amal kebaikan seperti memperbanyakkan selawat, berzikir, berdoa, dan membaca Al-Quran. Semua itu dilakukan bagi mendapatkan keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.
Antara keutamaan ibadah di bulan Ramadhan, selain berpuasa, ialah menunaikan solat sunat. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mengerjakan qiyam (solat malam) di bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala (dari Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR. Bukhari: 37, Muslim: 759]. Di samping itu, menunaikan solat fardu di bulan ini mempunyai kelebihan yang luar biasa. Rasulullah SAW menyebut bahawa sesiapa yang mengerjakan solat fardu di bulan Ramadhan akan memperoleh ganjaran seolah-olah menunaikan 70 kali solat fardu di bulan lain. Ini menunjukkan betapa besar pahala ibadah di bulan Ramadhan, di mana setiap amalan baik diberi ganjaran berlipat ganda berbanding di bulan-bulan lain. Membaca Al-Quran juga menjadi salah satu amalan utama di bulan ini. Rasulullah SAW menyatakan bahawa membaca satu ayat Al-Quran di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran pahala yang sangat besar, setara dengan mengkhatamkan keseluruhan Al-Quran di bulan-bulan lain.
Oleh itu, seluruh umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh memanfaatkan kehadiran Ramadhan yang penuh keberkatan ini, janganlah sesekali kita mensia-siakan peluang keemasan yang disediakan oleh Allah SWT. Ini adalah masa terbaik untuk meningkatkan amal ibadah, mendekatkan diri kepada-Nya, dan meraih pelbagai ganjaran yang tidak ternilai.