[ Opini Muslimah Ideal ] Membangun Suasana Ramadhan bersama Anak
Bagi menjalani Ramadhan secara positif, persediaan yang paling penting adalah persediaan mental, terutamanya dari segi kesabaran. Saya rasa setiap orang perlu ada rasa sabar. Bila kita ada kesabaran, kita akan dapat menjalani segala ibadah dengan lebih tenang.
Selain itu, sabar juga adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Ada hadis yang menyebut bahawa puasa itu separuh daripada kesabaran. Dalam bulan puasa, kita berlatih untuk bersabar. Seharusnya, latihan ini dimulakan sebelum bulan puasa lagi, tetapi ketika Ramadhan datang, kita boleh menggunakan momentum bulan ini untuk melatih diri kita dalam kesabaran.
Contohnya, dalam menjalani ketaatan, seperti berpuasa walaupun penat menguruskan anak-anak. Ada juga ibu-ibu yang mengandung atau menyusukan anak, yang tetap berpuasa walaupun dalam keadaan penat. Di tempat lain, sahabat-sahabat kita di Palestin, walaupun rumah mereka musnah dan keluarga mereka dibunuh, mereka tetap berpuasa dengan gembira. Itulah contoh kesabaran dalam menjalani ketaatan yang kita perlukan.
Apabila kita mempunyai bekalan kesabaran ini, kita akan lebih tenang dalam menghadapi bulan puasa.
Selain itu, ibu bapa juga perlu mempunyai mindset yang positif. Jika ibu bapa tidak mempunyai mindset yang positif, anak-anak juga akan terpengaruh. Anak-anak biasanya tercorak oleh pemikiran ibu bapa mereka. Sebagai contoh, apabila bulan Ramadhan hampir tiba, ibu bapa yang berfikiran negatif mungkin akan merasa terbeban dengan kewangan, keperluan pulang ke kampung, dan sebagainya. Ini akan memberi kesan kepada anak-anak yang mungkin tidak melihat Ramadhan sebagai bulan yang menyeronokkan.
Sebaliknya, jika kita melihat Ramadhan secara positif, kita boleh memupuk sikap positif dalam diri anak-anak. Sebagai contoh, seperti kita merancang untuk pergi bercuti, kita akan memberitahu anak-anak tentang tempat yang akan dilawati dan apa yang mereka boleh lakukan di sana untuk menimbulkan kegembiraan. Begitu juga dengan Ramadhan. Ceritakan pada anak-anak tentang kelebihan Ramadhan, apa yang umat Islam lakukan sepanjang bulan ini, dan peristiwa-peristiwa penting seperti malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup. Ceritakan perkara-perkara ini supaya anak-anak merasa teruja dan gembira untuk menyambut bulan Ramadhan.
Pn Shafiqah Hakim
Aktivis Muslimah