[ Opini Muslimah Ideal ] Muslimah Ideal Bahagia Sambut Ramadhan
Perasaan bahagia itu bukan hanya untuk saya atau keluarga saya, tetapi kebahagiaan itu sepatutnya untuk semua. Setiap orang mukmin, setiap individu, perlu merasai kebahagiaan. Kebahagiaan bukan sekadar untuk diri sendiri; ia tentang bagaimana kita menyambut sesuatu dengan rasa syukur dan suka, walaupun sesuatu itu mungkin kelihatan susah, seperti berpuasa.
Contohnya, bagaimana kita nak buat anak-anak suka berpuasa walaupun mereka tak makan dan tak minum? Itu adalah satu cara untuk mengajar mereka menyambut Ramadhan dengan penuh kebahagiaan. Jadi, kebahagiaan itu bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi ia perlu kita cipta sendiri. Walaupun hidup penuh dengan cabaran dan kesukaran, apabila kita memahami hakikat Ramadhan, InsyaAllah kita akan merasai kebahagiaan.
Itu adalah dari perspektif keluarga saya, keluarga kecil saya. Tetapi jika kita lihat dari konteks yang lebih besar, kita juga perlu ingat saudara-saudara kita di belahan dunia lain, terutama di Palestin. Walaupun mereka berada dalam keadaan yang sukar, mereka tetap menyambut Ramadhan dengan penuh keimanan dan kebahagiaan.
Kita juga tak boleh lupakan saudara kita yang lain, seperti umat Islam di Xinjiang (Uighur), yang tidak dibenarkan berpuasa dan melaksanakan kewajipan agama mereka. Namun, walaupun mereka dihalang, mereka tetap berjuang untuk menunaikan kewajipan mereka. Kita mendengar tentang mereka diseksa dan dipenjara, tetapi mereka tidak mengabaikan kewajipan mereka.
Kebahagiaan itu sebenarnya adalah suatu konsep yang lebih besar. Ia bukan hanya untuk kita sebagai individu atau keluarga Muslim, tetapi untuk seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Sebagai contoh, walaupun di Palestin, di tengah-tengah perang dan penderitaan, mereka tetap menyambut Ramadhan dengan cara mereka. Saya baru saja melihat video tentang warga Palestin yang membersihkan khemah mereka untuk menyambut Ramadhan. Walaupun mereka berada dalam situasi peperangan, mereka tetap bahagia. Mereka melihat Ramadhan sebagai satu kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah, walaupun diuji dengan pelbagai kesukaran.
Jadi, jika kita bandingkan dengan keadaan kita sekarang, kita sebenarnya tiada alasan untuk tidak merasa bahagia menyambut Ramadhan. Kita tidak berada dalam situasi yang penuh tekanan seperti mereka. Oleh itu, mari kita bersyukur dan sambut Ramadhan dengan hati yang penuh kegembiraan.
Pn Hidayah Muhammad
Aktivis dan Jurnalis Dakwah