KEGIGIHAN IBU ULAMA HEBAT
Oleh: K.H. Hafiz Abdurrahman
Mereka datang dari negeri yang jauh membawa puteranya untuk belajar tentang agamanya, dengan misi dan tujuan menjadi ulama.
Ibunda Imam Syafie membawa puteranya dari Gaza, mengharungi perjalanan jauh ke Mekah untuk berguru kepada Ibn Uyainah. Ketika itu, usianya baru dua tahun. Di usianya 7 tahun, Imam Syafie sudah menghafal al-Quran. Beliau mendalami bahasa Arab, syair dan kaedah bahasa Arab dengan baik.
Di usianya 10 tahun, beliau telah menghafal kitab al-Muwatha’, karya Imam Malik hanya dalam tempoh 7 hari sahaja. Setelah menghabiskan ilmu ulama Mekah, beliau dibawa ibunya bertemu dengan Imam Malik di Madinah. Ketika Imam Malik menyemak dan menyaksikan Imam Syafie, mentasmi’ (mendengarkan) hafalannya, beliau merasa kagum dengan kecerdasan, kefasihan dan ketepatan Imam Syafie.
Meski hidup miskin dan papa, bahkan tidak mampu untuk membeli kertas dan pen, Imam Syafie tetap dimotivasi ibunnya untuk tetap bersabar dan mengikuti majlis ilmu Imam Malik dengan menyakini akan kekuatan hafalannya. Subhanallah, ketika diuji oleh Imam Malik, tidak ada satu pun perkataan yang disampaikan gurunya itu yang lepas atau hilang. Beliau juga menjadi mufti saat usianya baru 14 tahun.
Akhirnya Imam Syafie menjadi jambatan dari dua mazhab besar pada zamannya, Mazhab Ahli Ra’yi, di Iraq, Imam Abu Hanifah dan muridnya al-Hasan as-Syaibani, dan Mazhab Ahli Hadis di Madinah, Imam Malik, dll. Maka, di tangan Imam Syafie, kedua mazhab ini berjaya dipadukan kerana Imam Syafie berguru dengan keduanya.
Maka, lahirlah Mazhab Syafie yang luar biasa. Kerana itu, usul fiqh yang dirumuskan oleh Imam Syafie boleh dikatakan murni, dan menjadi jambatan bagi semua mazhab-mazhab tersebut, dan dari sana akhirnya usul fiqh yang lain berkembang.
Lalu siapa yang berjasa besar kepada imam besar ini? Pertama, sudah tentu ibunya. Kedua, guru-guru yang mendidiknya. Itulah yang juga terjadi pada Imam Ahmad.
Maka, di sebalik kehebatan mereka, ada ibu yang menjadi madrasah pertama bagi mereka. Kegagalan ibu menjadi madrasah bagi mereka juga menyumbang kepada kegagalan bagi putera-puterinya, sehebat apapun guru dan madrasahnya.