Memahami Makna “Membaca Al-Quran”
Penulis: Halima Noer
Ramadhan sering disebut sebagai Bulan Al-Quran kerana memiliki hubungan erat dengan turunnya Al-Quran dan aktiviti umat Islam dalam memperbanyak ibadah terkait Al-Quran.
Allah SWT berfirman dalam QS Al-Baqarah [2] ayat 185, “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”
Ayat ini dengan tegas menyampaikan bahawa tujuan Allah menurunkan Al-Quran adalah sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai penjelasan mengenai petunjuk itu, serta sebagai pembeza antara yang hak dan batil. Oleh kerana itu, supaya Al-Quran menjadi petunjuk, iaitu al-furqan, maka Al-Quran tidak hanya dibaca, tetapi juga maknanya perlu difahami dan kemudian diamalkan dalam kehidupan sehari-hari.
Rasulullah SAW selalu membaca Al-Quran dengan tartil (perlahan-lahan), memahami dan menghayati, kemudian mengamalkan sekaligus mendakwahkannya. Para sahabat Rasulullah SAW juga melakukan hal yang sama. Bahkan, Sahabat Umar bin Khattab ra. dalam memahami dan mendalami Surah Al-Baqarah sampai memerlukan waktu hingga 12 tahun lamanya, kemudian baru beralih ke surah yang lainnya.
Itulah sebabnya, pada bulan suci Ramadhan ini, seharusnya kita tidak sekadar membaca Al-Quran, dalam erti melafazkan huruf-huruf Al-Quran semata, tetapi juga hendaklah berusaha mempelajari dan memahami makna Al-Quran, kemudian mengamalkan dan mendakwahkannya sebagaimana yang dicontohkan Rasulullah SAW.
Makna “Membaca Al-Quran”
Apabila kita mendalami lafaz “membaca” yang disebutkan di dalam Al-Quran, ternyata tidak hanya bermakna ‘melafazkan huruf-huruf Al-Quran’, tetapi juga memiliki makna lainnya, di antaranya adalah sebagai berikut.
Pertama, perintah membaca Al-Quran secara tartil.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Muzzammil ayat 4, “Atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”
Ayat tersebut menganjurkan membaca Al-Quran dengan tartil, yakni dengan perlahan, lancar, hati-hati, dan tenang. Kita membaca Al-Quran satu, dua, atau tiga ayat, begitulah seterusnya hingga berhenti. Demikianlah menurut tafsir Ibnu Abbas. Alhasil, membaca Al-Quran itu adalah dengan jelas setiap hurufnya. Sedangkan menurut Ali bin Abi Thalib, yang disebut dengan tartil itu adalah mentajwidkan (membaca sesuai tajwid, pen.) huruf-hurufnya dengan mengetahui tempat-tempat berhentinya.
Jika kita salah membaca Al-Quran, hatta satu huruf saja, maka akan mempengaruhi makna dan erti dari ayat-ayat Al-Quran. Hal ini boleh menjurus kepada dosa jika kesalahan tersebut menyebabkan perubahan makna atau erti dari ayat Al-Quran yang dibaca.
Misalnya, membaca lafaz Al-‘Aziz yang merupakan salah satu sifat Allah yang bererti ‘Yang Maha Perkasa’, tetapi malah dibaca Al-‘Ajiz (yang lemah) sehingga jadi menyebut Allah sebagai Yang Maha Lemah. Hal ini akan mengantarkan pada keharaman dan menyebabkan dosa.
Oleh kerana itu, wajib hukumnya belajar dengan benar cara membaca Al-Quran, yakni belajar tahsin Al-Quran. Allah SWT akan memaafkan kesalahan tersebut jika kita berusaha untuk memperbaiki diri dan terus belajar hingga kita mampu membaca Al-Quran dengan benar.
Kedua, Al-Quran menyebut kata “membaca” dengan lafaz “tilawah”.
Secara bahasa, kata tilawah (تلاوة) adalah bentuk dasar (masdar) dari kata tala (تلا) yang bererti ‘mengikuti’. Kata at-taliy (التالي) bererti ‘yang mengikuti, yang berikut’. Seseorang yang melakukan kegiatan tilaawah (تلاوة) adalah seseorang yang melakukan kegiatan membaca sambil mengikuti bacaannya itu dengan memahami makna kata yang dibacanya. Jika seseorang melakukan tilawah Al-Quran, bererti dia adalah orang yang membaca Al-Quran sambil memahami makna ayat-ayat yang dibacanya. (tafsirquran[dot]id).
Kata “tilawah” dengan semua bentukannya yang dikaitkan dengan Al-Quran (ayat-ayat Allah) disebutkan sebanyak 31 kali dan terdapat di dalam berbagai surah. Salah satu dari penggunaan kata tersebut dapat dilihat dalam Surah An-Naml [27] ayat 92, “Dan supaya aku membacakan Al-Quran (kepada manusia). Maka barang siapa yang mendapat petunjuk, maka sesungguhnya dia hanyalah mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya; dan barang siapa yang sesat, maka katakanlah, ‘Sesungguhnya aku (ini) tidak lain hanyalah salah seorang pemberi peringatan.’”
Kata (أتلو) dalam ayat di atas menunjukkan makna ‘membaca sambil memahami maknanya’. Di dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diperintahkan supaya membacakan Al-Quran kepada manusia, untuk mengungkap makna dan rahsia yang terkandung di dalamnya, dan menyerap dalil-dalil tentang kekuasaan Allah yang dapat dilihat pada alam semesta. Dengan demikian, baginda SAW dapat menyelami hakikat hidup yang sebenarnya dan menerima limpahan kurnia Allah kepadanya. (tasirquran[dot]id).
Hanya orang-orang yang melakukan kegiatan tilawah (تلاوة)—iaitu yang membaca sambil memahami dan mendalami makna dari ayat-ayat yang dibacanya—itulah yang mampu memahami makna dan rahsia yang terkandung di dalam Al-Quran.
Dalam konteks tilawah Al-Quran ini, seberapa banyak ayat yang dibaca bukanlah menjadi target. Akan tetapi, yang menjadi target dan tujuan adalah membaca Al-Quran sambi memahami makna-makna yang terkandung di dalamnya. Dari kegiatan tilawah itu, insyaallah kita akan mendapat hidayah dari ayat-ayat yang dibaca dan memahami maknanya.
Ketiga, bermakna ‘qiraah’.
Perintah qiraah ini terdapat di dalam Surah Al-Alaq ayat 1, “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” Ibnu Katsir (2001:305) dalam tafsirnya menjelaskan tentang kandungan awal Surah Al-‘Alaq, iaitu betapa Allah telah memuliakan manusia melebihi kudratnya. Di antara kemuliaan yang Allah berikan adalah manusia diberi potensi untuk mengetahui.
Secara bahasa, kata iqra’ bererti ‘menghimpun’. Sebagai gambaran, seseorang yang merangkai huruf-huruf atau kata-kata, maka dia sedang menghimpun. Tidak ada suatu keharusan berbentuk teks sebagai objek bacaan sehingga erti iqra’ dapat bererti menyampaikan, menelaah, mendalami, membaca, dan meneliti.
Dengan demikian, makna iqra’ (baca) dalam ayat tersebut bukan sekadar membacanya atau melafazkan huruf-hurufnya, tetapi yang dimaksudkan darinya adalah membaca sambil memahami, mempelajari, dengan tujuan agar kita dapat mengamalkannya. Dengan cara inilah Al-Quran dapat menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Jika Al-Quran hanya dibaca, tetapi maknanya tidak difahami, maka Al-Quran tidak dapat menjadi petunjuk. Jika Al-Quran tidak diamalkan, walaupun sudah dibaca dan difahami, ini juga tidak ada gunanya.
Keempat, bermakna ‘tadabbur’.
Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Shad ayat 29, “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.”
Mengenai ayat ini, Al-Qurtubi memaparkan bahawa bagi orang-orang yang telah dikhususkan Allah dengan hafalan Al-Quran, hendaklah dia membaca Al-Quran dengan bacaan yang baik, menghayati hakikat isinya, memahami keajaiban-keajaibannya, dan menjelaskan apa-apa yang unik darinya. Syeikh An-Nawawi al-Bantani dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan agar menjadi petunjuk bagi orang yang memahami Al-Quran.
Pada kitab Tafsir Ibnu Katsir dituliskan bahawa makna al-albab pada Surah Shad [38] ayat 29 adalah bentuk jamak dari “lub” yang ertinya ‘akal’. Sesungguhnya Allah akan memberikan pelajaran dari Al-Quran bagi yang memahami Al-Quran.
Kemudian Hasan al-Basri mengatakan bahawa pada intinya, cara mengambil pelajaran dari Al-Quran itu bukanlah sekadar menghafal, tetapi menyia-nyiakan batasannya. Alhasil, seseorang dari mereka yang tidak mengendahkan batasannya mengatakan, “Aku telah membaca seluruh Al-Quran.” Namun hakikatnya, pada dirinya tidak ada ajaran Al-Quran yang disandarkannya, baik dalam bentuk akhlaknya ataupun pada amal perbuatannya.
Oleh sebab itu, jelas bahawa ayat ini adalah perintah untuk membaca Al-Quran dengan makna ‘tadabbur’, yakni memperhatikan dan menghayati. Hanya dengan merenungkan maknanya dan memikirkannya terus-menerus, seseorang akan mendapatkan berkah dan kebaikan yang ada di dalam Al-Quran.
Fahami dan Amalkan Isinya
Demikianlah, dari pembahasan terkait empat makna kata “membaca” di dalam Al-Quran di atas, jelas bahawa yang dimaksud dengan “membaca Al-Quran” bukan sekadar membaca, tetapi juga memahami makna Al-Quran, mempelajari, kemudian mengamalkannya.
Sayangnya, hari ini banyak di antara kaum muslim yang masih mencukupkan diri pada memperbanyak bacaan Al-Quran, padahal Allah menurunkan Al-Quran kepada umat manusia melalui kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar untuk dibaca, melainkan lebih dari itu, yakni untuk difahami dan diamalkan.
Tatkala Al-Quran hanya sekadar dibaca, menyebabkan kita tidak akan memahami isi Al-Quran, lalu bagaimana mungkin kita dapat mengamalkannya? Bagaimana kita dapat menjadikannya sebagai petunjuk dan pedoman hidup?
Ironinya, inilah realiti kaum muslim saat ini. Al-Quran hanya sekadar dibaca, tetapi tidak dijadikan sebagai pedoman hidup. Sebahagian besar hukum-hukum Allah yang ada di dalam Al-Quran yang berkaitan dengan masalah politik, pemerintahan, ekonomi, sosial, dan lainnya diabaikan, tidak diterapkan, bahkan didustakan dan dianggap radikal. Wajar jika kaum muslim ditimpa berbagai masalah tanpa ada jalan keluar. Ditimpa begitu banyak penderitaan, ditimpa berbagai macam kerosakan hingga hidup menjadi sukar.
Perihal ini, Allah SWT mengingatkan kita dengan firman-Nya, “Sifat-sifat Nabi Muhammad SAW itu telah pun diterangkan di dalam Kitab Taurat, tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka (perumpamaan) orang-orang Yahudi yang dipertanggungjawabkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” (TMQ Al-Jumu’ah [62]: 5).
Khatimah
Mari kita merefleksi diri, adakah kita telah mengamalkan perintah Allah untuk membaca Al-Quran sebagaimana yang sepatutnya? Di bulan suci ini, marilah kita memperbanyakkan membaca Al-Quran dengan keempat maknanya. Juga terus berusaha membuat langkah-langkah nyata agar kaum muslim tidak sekadar membaca ayat-ayat Al-Quran, malah turut mempelajari isinya dan mengamalkan hukum-hukum di dalamnya secara kaffah (keseluruhan). Wallahualam bissawab.