[Kisah Inspirasi] Laila binti Abi Hatsmah, Melihat dengan Cahaya Allah
Kisah Laila semasa awal perjuangan Islam memang jarang kita ketahui. Susuknya tidak ramai yang mengenalinya, justeru memiliki sepenggal kisah inspirasi yang boleh kita jadikan hikmah dan teladan bagi para muslimah. Dia merupakan salah seorang tulang belakang perjuangan Islam. Keteguhannya menpertahankan keimanan tak perlu diragukan lagi.
Laila adalah salah seorang muslimah generasi awal yang memeluk Islam. Pelbagai penyeksaaan orang-orang kafir Quraisy yang dikenakan ke atasnya. Seksaan tersebut tidak menjadikan imannya surut dan berpaling dari keyakinannya kepada Allah dan RasulNya.
Ketika datang perintah berhijrah ke Habsyah demi menyelamatkan jiwa dan agama, Laila turut serta di dalamnya. Laila berada dalam rombongan pertama yang dipimpin oleh Uthman bin Affan yang terdiri dari dua belas pemuda dan empat orang wanita. Di antara empat wanita tersebut, Laila memastikan dirinya menjalankan perintah Nabi SAW untuk ikut berhijrah ke Habsyah. Laila menyertai kaum muslimin berhijrah menuju bumi Afrika.
Ada satu kisah menarik bagaimana tajamnya penglihatan Laila melihat seseorang dengan cahaya Allah SWT. Ketika itu Umar bin Khattab belum menjadi seorang muslim. Bahkan, dirinya menjadi salah satu pelaku penyeksaan terhadap kaum muslimin. Umar pula yang menyasarkan keselamatan nyawa Rasulullah SAW.
Susuknya amatlah menakutkan. Perangainya membuat siapapun akan trauma apabila berjumpa dengannya. Sewaktu hendak berhijrah itulah Laila justeru berjumpa dengan Umar. Apa yang terjadi? Apakah Laila gentar?
Ketika orang-orang melihat Umar dengan ketakutan, kecemasan, kegeraman, dan sebagainya, Laila malah melihatnya dengan cahaya Ilahi. Ahmad Kalil Jam’ah dalam buku Nisa Min Ashri An-Nubuwwah menceritakannya dengan manis:
Ketika Amir bin Rabi’ah sedang menyiapkan keperluan hijrah ke Habsyah , Laila telah berjumpa dengan Umar bin Khattab tanpa suaminya itu. Laila menceritakan , “Dia masih dalam kemusyrikan. Dia seorang yang keras dan kejam terhadap keislaman. Kami menerima pelbagai seksaan darinya.” Tatkala Laila tanpa perlindungan suami itulah Umar bertanya, “Kamu mahu pergi ke mana?”
Laila berkata, “Demi Allah, kami akan pergi ke suatu bumi dari bumi Allah sehingga kami tidak diseksa ketika beribadah kepada Allah. Engkau selalu menyeksa dan menindas kami. Semoga Allah memberi kami jalan keluar.”
Laila tidak menyembunyikan perancangan hijrah mereka. Laila juga tidak menunjukkan kegentaran sedikitpun, meski berhadapan dengan pemuda yang kejam, sementara dirinya tanpa perlindungan suami. Bahkan, Laila menerangkan panjang lebar dengan rangkaian kalimat yang menembus kalbu.
Dengan cahaya iman yang dimilikinya, Laila dapat merasakan suasana hati nurani dari Umar bin Khattab. Dia tahu kalimat-kalimat kebenaran telah merasuk hingga ke relung hati Umar.
Laila menceritakan lagi, “Aku melihat adanya sedikit kelembutan yang belum pernah aku lihat sebelumnya. Dia pulang dengan kesedihan kerana menyaksikan keberangkatan kami. Dia tidak melakukan kejahatan apa pun dengan keberangkatan kami.”
Kemudian datanglah suaminya, Amir bin Rabi’ah dengan beberapa keperluan berhijrah. Sebenarnya, ayah dari Umar bin Khattab menjadikan Amir bin Rabi’ah sebagai anak angkatnya. Meski memiliki hubungan kekerabatan sebagai saudara angkat, perlakuan Umar kepada mereka yang masuk Islam tidaklah berbeza. Siapa pun yang masuk ke dalam agama yang dibawa Rasulullah SAW, maka dia sudah menjadi musuh Umar.
Laila menceritakan kejadian yang menimpanya, dan berkata, “Apakah engkau tadi tidak melihat Umar dengan kasih sayang dan kesedihannya kepada kita?”
Suaminya bertanya, “Apakah engkau menginginkan dia masuk Islam?”
“Ya,” sahut Laila jelas.
Dengan nada pesimis Amir bin Rabi’ah berkata, “Orang yang engkau lihat itu tidak akan masuk Islam hingga keldai Al-Khattab masuk Islam.”
Hal itu tidaklah menghairankan apabila mengingati sikap Umar yang memusuhi Islam. Dalam benak kaum muslim, rasanya sulit membayangkan jika Umar masuk Islam. Namun, lain halnya Laila yang melihat lubuk hati Umar dengan cahaya Tuhan, dia malah mengharapkan keislaman bagi Umar bin Khattab. Harapan Laila seiring dengan harapan Nabi SAW, yang juga berdoa agar Umar masuk Islam.
Kemudian Allah SWT pun membuktikan kebenaran doa Laila yang mana secara mengejutkan Umar bin Khattab pun seorang menjadi muslim. Dari seseorang yang sebelumnya pembenci Islam, menjadi pembela Islam yang gagah berani. Bahkan, ketika dirinya memegang jawatan khalifah, Umar berjaya menjadikan negara Islam sebagai adikuasa atau kuasa terbesar dan terkuat di dunia.
Cuba bayangkan, kalau Laila tidak mampu melihat kalbu Umar dengan cahaya Ilahi? Barangkali sikap optimis terhadap Umar tidak terbangun. Doa Laila untuk keislaman Umar bukan sekadar rangkaian kata, melainkan berlandaskan penglihatannya dari cahaya Tuhan.
Laila mampu melihat dengan cahaya Allah SWT, kerana iman yang terus disuburkan dengan mentaati Allah dan RasulNya. Laila melihat kebencian Umar terhadap Islam berikutan dari fanatik terhadap Arab, kepentingannya menjaga kestabilan Mekah, serta terpengaruh hasutan para pembesar kabilah Quraisy. Akan tetapi, nun jauh di lubuk hatinya, tersimpan potensi utama yang sedia menerima hidayah.
Kemampuan melihat dengan cahaya Allah SWT ini bukan hanya milik Laila semata-mata. Sesiapa sahaja boleh memiliki penglihatan istimewa ini, asalkan dirinya menyuburkan kualiti keimanannya.
Rasulullah SAW pun turut ikut menjaga kemampuan melihat dengan cahaya Ilahi yang dimiliki oleh Laila. Di antaranya dengan menjaga kemurnian hati Laila, meskipun dalam urusan-urusan yang kelihatan kecil.
Kisahnya dikutip oleh Hepi Andi Bastoni dalam buku 101 Wanita Teladan di Masa Rasulullah, diceritakan langsung oleh puteranya Laila, yang bernama Abdullah bin Amir:
Suatu hari Laila binti Abi Hatsmah memanggil puteranya, “Ke sinilah, ibu akan memberimu sesuatu.” Nabi SAW yang ketika itu berada di rumahnya bertanya, “Apa yang akan engkau berikan kepadanya?”
Laila berkata, “Aku akan memberinya kurma.” Rasulullah SAW menerangkan, “Seandainya kamu tidak memberi apa yang kamu janjikan, maka dicatat untukmu satu kebohongan.”
Begitulah baginda menjaga kemurnian hati Laila, agar terus dapat melihat dengan cahaya Allah. Hati itu tidak boleh ternoda meskipun oleh hal-hal yang dipandang kecil.
Bagi sebahagian orang mungkin menganggap remeh perbuatan membohongi anak yang masih kecil, memanggilnya pulang dengan menjanjikan sesuatu, tetapi tidak pernah ditunaikan. Sesungguhnya dari hal yang kecil-kecil itulah kemurnian hati perlu dijaga, apalagi dari noda-noda berat akibat dari dosa besar. Wallahu’alam.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/03/30/3560/