[Siri Sinar Ramadhan] Memperbanyak Taqarrub kepada Allah
“فَاعْلَمْ أَنَّ تَقَرُّبَ العَبْدِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى لَا يَتِمُّ بِتَرْكِ الشَّهَوَاتِ الْمُبَاحَةِ فِي غَيْرِ رَمَضَانٍ فَقَطْ، إِلَّا بَعْدَ تَقَرُّبِهِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى بِتَرْكِ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فِي جَمِيعِ الْأُمُورِ مِنَ الْكَذِبِ وَالظُّلْمِ وَالْمُعَادَاةِ لِلنَّاسِ فِي دِمَائِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ وَأَعْرَاضِهِمْ.”
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahulLâh mengingatkan, “Ketahuilah, tidak sempurna taqarrub kepada Allah semata-mata hanya dengan meninggalkan syahwat yang mubah ini dalam keadaan selain puasa, kecuali setelah bertaqarrub kepada Allah dengan meninggalkan apa yang telah Allah haramkan dalam segala hal berupa dusta, kezaliman serta permusuhan terhadap manusia dalam darah, harta dan kehormatan mereka.” (Ibnu Rajab, Lathâ’if al-Ma’ârif, hlm. 155, Al-Maktabah as-Syamilah)
Taqarrub kepada Allah bermaksud mendekatkan diri kepada-Nya dengan meningkatkan amal ibadah dan memperbaiki akhlak. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali mengingatkan bahawa taqarrub tidak hanya terletak pada meninggalkan perkara yang mubah (dibenarkan), tetapi juga melibatkan usaha untuk meninggalkan perbuatan haram yang merugikan diri dan orang lain. Beliau menegaskan bahawa taqarrub kepada Allah hanya akan sempurna apabila kita menjauhi perbuatan dosa seperti berdusta, berlaku zalim, dan menzalimi hak orang lain dalam bentuk darah, harta, dan kehormatan mereka.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, berpuasa itu diwajibkan atas kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.” [TMQ Al-Baqarah(2): 183].
Ayat ini mengingatkan kita bahawa puasa adalah salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, taqarrub tidak terhad hanya pada amalan puasa sahaja tetapi turut merangkumi amalan lain seperti memelihara diri daripada perbuatan yang menyalahi syariat Islam.
Selain itu, Allah SWT mengingatkan kita:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain; boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.“[TMQ Al-Hujurat (49):11]
Ayat ini mengajarkan kita untuk menjauhi perbuatan menghina dan menyakiti perasaan orang lain. Perbuatan ini adalah suatu bentuk kezaliman yang boleh merosakkan hubungan sesama Muslim.
Rasulullah SAW turut memberi penekanan yang besar tentang penjagaan akhlak dengan berpesan:“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” [HR Bukhari].
Hadis ini mengajar kita agar menjaga lisan dengan mengelakkan dari mengeluarkan perkataan yang boleh menyakiti orang lain dan ini adalah salah satu cara memperbaiki hubungan antara Hablum Minallah dan Hablum Minannas .
Pengajaran yang dapat diambil daripada nasihat Imam Ibnu Rajab al-Hanbali ini adalah bahawa mendekatkan diri kepada Allah SWT tidak hanya terhad pada amal ibadah tertentu seperti puasa atau solat, tetapi juga melibatkan usaha untuk menghindari dosa dan perbuatan yang dilarang. Menjaga hak-hak orang lain, menghindari kezaliman, serta menjaga kehormatan mereka adalah salah satu bentuk taqarrub yang sangat disukai oleh Allah SWT. Dalam kehidupan seharian, kita harus sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan memperbanyakkan taqarrub kepada Allah SWT, agar kita benar-benar menjadi hamba yang diterima oleh-Nya.