[Siri Sinar Ramadhan] Pintu Ar-Rayyan Istimewa untuk yang Berpuasa
Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
عَنْ سَهْلٍ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ، فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ ”.
Daripada Sahl bin Sa’ad daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, “Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dipanggil “Ar-Rayyan”. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat. Tiada siapa yang dapat memasukinya selain mereka. Kemudian orang yang berpuasa akan diseru “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka pun berdiri. Tiada seorang pun selain mereka dapat memasuki pintu itu. Jika orang yang berpuasa telah memasukinya, pintu tersebut akan ditutup, dan selepas itu tiada sesiapa yang akan memasukinya lagi.” [HR. Bukhari].
Ulama memberikan banyak pendapat mengenai hadis ini. Di antaranya, mereka menyatakan bahawa Al-Rayyan adalah nama salah satu pintu di syurga yang dikhususkan untuk orang-orang yang berpuasa. Nama pintu tersebut sesuai dengan maknanya iaitu “tidak merasa dahaga.” Hal ini bersesuaian dengan keadaan orang-orang yang berpuasa yang menahan diri daripada makan dan minum kerana Allah SWT.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan betapa besarnya kelebihan ibadah puasa serta kemuliaan orang-orang yang melaksanakannya. Ada juga ulama yang memberi maksud ar-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak lagi merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir, bunga dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.
Pendapat lain pula mengatakan pintu ini terbuka sebagai penghargaan untuk orang Mukmin yang sentiasa melazimi amalan puasa. Walaupun begitu, pintu ar-Rayyan juga boleh dimasuki oleh umat-umat selain umat Nabi Muhammad. Ini kerana tiada nas atau dalil yang khusus yang menyatakan bahawa pintu ini dikhususkan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Ini membawa maksud bahawa umat-umat sebelum umat Nabi Muhammad juga layak memasuki pintu ar-Rayyan asalkan mereka beriman kepada Allah SWT. Namun, yang menjadi keistimewaan ialah umat Nabi Muhammad adalah umat yang pertama sekali memasuki pintu tersebut.
Selain itu, hadis ini turut mengandungi peringatan daripada Allah SWT bahawa balasan seseorang akan diberikan berdasarkan amalan mereka. Bagi hamba-Nya yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik. Orang yang berpuasa, contohnya, meninggalkan syahwat, makanan dan minuman semata-mata kerana Allah SWT. Sebagai ganjarannya, Allah SWT akan memberikan nikmat yang tidak ternilai di syurga kelak.
Pintu Ar-Rayyan melambangkan penghormatan tertinggi kepada orang yang berpuasa di dunia. Namanya yang membawa makna kelegaan dari dahaga menjadi simbol nikmat yang abadi bagi penghuni syurga. Semoga kita tergolong dalam kalangan yang berpeluang melalui pintu ini dengan rahmat dan kurnia Allah SWT. Ianya adalah balasan istimewa untuk mereka yang sabar dalam melaksanakan perintah Allah SWT dengan keimanan dan keikhlasan.