[Siri Sinar Ramadhan] Keutamaan Sedekah
Penulis: Farisha Aris
Rasul SAW bersabda: “Barangsiapa pada bulan Ramadhan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka itu menjadi ampunan bagi dosa-dosanya, dan mendapat pahala yang sama tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang lain. Mereka (para sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah, tidak setiap kami mempunyai makanan untuk diberikan kepada orang yang berbuka puasa.’ Beliau berkata, ‘Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi buka puasa meski dengan sebutir kurma, seteguk air, atau sesisip susu… Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minum seteguk dari telaga di mana ia tidak akan haus hingga masuk syurga” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).
Sedekah adalah amalan yang sangat dianjurkan dilakukan bila-bila sahaja tanpa mengenal waktu. Namun begitu, kerana bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat istimewa dan mulia bagi umat Islam, maka umat Islam lebih dianjurkan untuk bersedekah agar mendapatkan pahala yang berlipat ganda kerana bersedekah termasuk ibadah yang sangat bernilai di sisi Allah SWT. Sedekah di bulan Ramadhan merupakan antara amalan soleh dan mempunyai banyak keutamaan. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada orang yang berbuka puasa.
Sesiapa sahaja yang memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa dengan apa sahaja makanan maka dia telah mendapat ganjaran pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Ini tanpa mengambil kira makanan tersebut adalah sebiji kurma, secawan air ataupun makanan berat sekalipun. Ini bermakna, kita dianjurkan memberi sesuatu mengikut kemampuan masing-masing.
Seterusnya lebih daripada itu, orang yang memberikan makanan kepada orang yang berpuasa juga akan mendapat pahala yang sama sepertimana pahala orang yang berpuasa tersebut. Maka, jangan pernah kita tinggalkan amalan soleh ini demi meraih ganjaran pahala dan keredaan Allah SWT. Wallahu a’lam bishawab.