MERENUNGKAN KEMBALI KEAGUNGAN AL-QURAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Allah SWT berfirman:
اَفَلَا يَتَدَبَّرُوۡنَ الۡقُرۡاٰنَؕ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِنۡدِ غَيۡرِ اللّٰهِ لَوَجَدُوۡا فِيۡهِ اخۡتِلَافًا كَثِيۡرًا
“Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) Al-Quran? Sekiranya (Al-Quran) itu bukan daripada Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya.” (TMQ an-Nisa’ [4]: 82)
Allah SWT juga berfirman:
وَاِنۡ کُنۡتُمۡ فِىۡ رَيۡبٍ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلٰى عَبۡدِنَا فَاۡتُوۡا بِسُوۡرَةٍ مِّنۡ مِّثۡلِهٖ وَادۡعُوۡا شُهَدَآءَكُمۡ مِّنۡ دُوۡنِ اللّٰهِ اِنۡ كُنۡتُمۡ صٰدِقِيۡنَ
“Jika kalian tetap dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah saja yang serupa dengan al-Quran itu, dan ajaklah para penolong kalian selain Allah jika kalian memang orang-orang yang benar.” (TMQ al-Baqarah [2]: 23).
Berkaitan dengan nas-nas di atas, terdapat dua kisah yang cukup menarik dan popular.
Pertama: sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Abbas, suatu ketika Walid bin Mughirah datang kepada Rasulullah SAW. Rasulullah lalu membaca ayat-ayat Al-Quran di hadapannya. Tiba-tiba perasaan aneh bercampur takjub menyelubungi Walid hingga ke lubuk hatinya yang paling dalam. Sebagai seorang pemimpin Arab yang mempunyai cita rasa tinggi dalam bahasa dan sastera, Walid, walaupun dia seorang yang kafir, tidak mampu menyembunyikan rasa kagum dan hormatnya terhadap keagungan dan ketinggian Al-Quran, yang baru sahaja dilafazkan oleh Rasulullah yang mulia.
Setelah mendengar bahawa Walid telah menemui Rasulullah, Abu Jahal memprotesnya. Namun, Walid berkata, “Demi Allah! Di antara kalian tidak ada yang lebih faham dariku dalam hal syair, rajaz, dan qasidah-nya; serta syair-syair jin. Apa yang diucapkan oleh Muhammad itu (ayat-ayat Al-Quran) sama sekali tidak sama dengan syair-syair itu. Demi Allah! Kalimat demi kalimat yang dituturkannya sungguh manis; bahagian atasnya berbuah, sementara bahagian bawahnya mengalirkan air segar. Untaian katanya sungguh tinggi, tidak dapat diungguli, bahkan dapat menghancurkan apa sahaja yang ada di bawahnya (Qattan, 1992: 379-380).
Kedua: Seperti yang dituturkan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya, terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa Amr bin al-‘Ash, sebelum masuk Islam, pernah diutus untuk bertemu dengan Musailamah al-Kazzab. Ketika mereka bertemu, Musailamah bertanya kepada Amr, “Wahyu apa yang sekarang turun kepada sahabatmu (Muhammad) di Mekah?”
Amr menjawab, “Sungguh, baru sahaja turun kepada Muhammad satu surah yang sangat ringkas tetapi padat isinya.”
“Surah apakah itu?”
Amr kemudian membaca surah al-‘Ashr, “Wa al-‘ashr. Inna al-insâna lafî khusr…(Demi Masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian…).”
Mendengar itu, Musailamah berfikir sejenak. Tidak lama kemudian, dia mengangkat kepalanya dan berkata, “Sesungguhnya, aku juga baru sahaja menerima wahyu.”
“Wahyu apa?” tanya Amr.
Musailamah kemudian membaca ayat, “Yâ wabr, yâ wabr; innamâ anta udzunâni wa shadr; wa sâ’iruka hafr[un] naqr (Wahai arnab, wahai arnab; kamu tidak lain hanyalah binatang yang mempunyai dua telinga yang panjang dan dada yang menonjol; dan di tanah di sekelilingmu terdapat lubang galian yang kecil).”
Setelah itu, Musailamah bertanya, “Bagaimana pendapatmu, wahai Amr? Amr bin Yasr menjawab, “Demi Allah! Engkau pasti tahu, bahawa aku tahu, engkau ini sedang berdusta!” (Ibn Kathir, 1980: IV/586).
Sebetulnya, bagi sesiapa pun, terutama seorang mukmin, amat mudah untuk membuktikan bahawa al-Quran itu benar-benar kalamullah dan betapa agungnya Al-Quran itu. Namun, di kalangan mereka yang memiliki penyakit dalam hatinya, baik dari kalangan muslim mahupun non-muslim, sentiasa ada orang yang berusaha untuk menimbulkan keraguan pada umat Islam akan keaslian Al-Quran sebagai wahyu Allah.
Ramai sarjana Barat-Kristian—yang kemudiannya diikuti tanpa kritikan oleh kelompok Liberal—yang menggugat al-Quran; dari sekadar mengkritik hukum-hukum yang terkandung di dalamnya yang dianggap tidak lagi relevan dengan zaman sehingga menuduh Al-Quran sebagai karangan Muhammad belaka. Mereka lupa, jika Al-Quran bukan wahyu daripada Allah, alias karangan manusia, lalu mampukah mereka atau mana-mana manusia di dunia ini yang boleh membuat sesuatu yang serupa dengan Al-Quran? Tidak ada!
Mereka hanya boleh mengkritik dan menggugat!
Dua kisah di atas sebenarnya sudah cukup bagi sesiapa sahaja meyakini bahawa Al-Quran itu benar-benar wahyu daripada Allah, yang tidak dapat ditandingi oleh karya mana-mana penyair yang hebat.
Lebih daripada sekadar “karya sastera” yang begitu agung, al-Quran juga terbukti menjadi sumber inspirasi bagi kemajuan umat manusia, terutama dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Dengarkan pengakuan jujur seorang cendekiawan Barat, Denisen Ross, “Perlu diingat bahawa Al-Quran memainkan peranan yang lebih besar bagi umat Islam berbanding Bible dalam agama Kristian. Demikianlah, selepas melintasi masa selama 13 abad, Al-Quran tetap merupakan kitab suci bagi seluruh Turki, Iran, dan hampir satu perempat daripada penduduk India. Sesungguhnya, sebuah kitab seperti ini patut dibaca secara meluas di Barat, terutama pada masa kini…” (E. Denisen Ross, dalam buku, Kekaguman Dunia Terhadap Islam).
Perhatikan juga komentar W.E Hocking tentang Al-Quran, “Saya berasa benar dalam penegasan saya, bahawa al-Quran mengandungi banyak prinsip yang diperlukan untuk pertumbuhannya sendiri. Memang boleh dikatakan, bahawa hingga pertengahan abad ketiga belas, Islamlah pembawa segala apa yang tumbuh yang dapat dibanggakan oleh dunia Barat.” (The Spirit of World Politics, 1932, hlm. 461).
Prof. G. Margoliouth juga menulis, “Penyelidikan telah menunjukkan bahawa apa yang diketahui oleh sarjana-sarjana Eropah tentang falsafah, astronomi, matematik, dan ilmu pengetahuan seperti itu, selama beberapa abad sebelum Renaissance, sebahagian besarnya datang daripada buku-buku Latin yang berasal dari bahasa Arab, dan Al-Quranlah yang—walaupun secara tidak langsung—memberikan dorongan pertama untuk kajian-kajian itu di antara orang-orang Arab dan kawan-kawan mereka.” (Prof. G. Margoliouth, dalam De Karacht van den).
Akibatnya, benarlah sabda Rasulullah yang mulia:
أَحْسَنُ الْكَلَامِ كَلَامُ اللَّهِ
“Sebaik-baik ucapan adalah kalamullah.” (HR an-Nasa’i).
‘Alâ kulli hal, apa yang umat Islam perlukan hari ini jelas bukan untuk mengkritik dan mempersoalkan Al-Quran, tetapi lebih kepada bagaimana untuk “membumikan” Al-Quran sebagai sumber hukum dalam realiti kehidupan.
Wamâ tawfîqi illâ billâh.