Hanya ibu yang dapat melahirkan pemimpin yang hebat
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dalam sebuah kajian bersiri Kelas Istri dan Ibu Naik Level dari Lelah Menjadi Lillah bertajuk “Menjadi Istri Tangguh di Tengah Ketidakpastian”, Ustazah Yanti Tanjung seorang Pakar Parenting Islam mengingatkan tentang peranan penting sosok ibu dalam melahirkan pemimpin hebat.
“Hanya ibu yang dapat melahirkan para pemimpin yang hebat. Hanya ibu yang dapat melahirkan berbagai generasi yang diperlukan oleh negara, ” ujarnya dalam Channel Ummahat Movement pada Jumaat (7/3/2025).
Beliau seterusnya menekankan bahawa anak-anak perlu dipersiapkan menjadi generasi yang tangguh dalam berbagai aspek kerana Allah SWT juga telah memberikan pedoman agar umat Islam tidak meninggalkan generasi yang lemah.
Pesannya, “Kita sebagai pendahulu tidak boleh meninggalkan generasi-generasi di belakang kita yang lemah. Ada tuntutannya daripada Allah SWT dan ada tanggungjawab dibebankan kepada para ibu, juga para ayah, bahawa dibelakang itu tidak boleh meninggalkan zurriyatan dia generasi yang lemah. Jadi yang harus kita tingalkan itu adalah generasi yang tangguh dari berbagai aspek, baik keimanan, fizikal, ilmu, atau lainnya.”
Islam telah memberikan formula untuk membentuk generasi yang kuat, iaitu dengan menanamkan ketakwaan sejak kecil serta membimbing mereka dengan tutur kata yang baik.
“Mendidik itu kan pakai narasi, pakai perkataan. Maka narasi yang diungkapkan harus sadiida (سَدِيدًا), tutur kata yang benar. Nah, itu hak anak, iaitu disampaikan perkataan yang benar.” Katanya.
Tambahnya lagi, generasi yang baik adalah mereka memberi manfaat kepada orang lain dan memiliki kesedaran untuk menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran di tengah-tengah umat.
“Generasi-generasi yang nanti hadir di tengah-tengah manusia, memberi manfaat kepada manusia, tapi aktivitinya juga adalah mengajak yang makruf dan mencegah dari kemungkaran, serta beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Itu generasi terbaik.” Ungkapnya.
Selanjutnya Ustazah Yanti mengingatkan bahawa menjadi isteri atau ibu hari ini bukan sekadar status, sebaliknya mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam membangun peradaban Islam. Peranan ini adalah level tertinggi bagi wanita dalam Islam.
“Kita sebagai isteri ataupun ibu hari ini perlu menanggung beban peradaban ya, beban peradaban Islam. Jadi, tidak semata-mata status ya. Kalau dikatakan, ‘Oh, saya adalah isteri’ atau ‘Saya adalah ibu’, tidak semata (sekadar) itu. Di sebalik kata ‘isteri’ dan ‘ibu’ dalam pandangan Islam, dia punya tanggungjawab yang pertama, untuk dunia, (iaitu) untuk membangun peradaban Islam. Isteri dan ibu itu menanggung beban peradaban Islam. Ini level terbaik bagi peranan ibu dan isteri.”Jelasnya.
Atas tujuan ini, maka para ibu hendaklah membentuk generasi terbaik yang menjadi Imamul Muttaqin, yakni generasi pemimpin yang bertakwa.
“Anak yang kita lahirkan itu harusnya tumbuh menjadi seorang pemimpin. Pemimpin apa? Memimpin dalam ketakwaan. Nah, selanjutnya, mereka akan menjadi generasi terbaik. Ini adalah tanggungjawab seorang ibu ya,”
Usaha mewujudkan generasi terbaik dan bertakwa ini juga perlu bermula dari rumah dan disandarkan pada Allah swt.
“Kita harus selalu berdoa kepada Allah agar dianugerahkan pasangan dan keturunan yang menjadi qurrata a’yun (penyejuk mata) dan menjadikan mereka Imamul Muttaqin (pemimpin bagi orang-orang bertakwa),” beliau memperingatkan.
Beliau juga menyoroti cabaran sistem pendidikan hari ini yang lebih banyak mengarah kepada sekularisme, natijahnya menjauhkan generasi dari Islam.
Katanya, “Kalau kita tahu sekarang kurikulum itu ada sekularisme, maka kita akan tahu bahawa negara kita ini dibawa ke peradaban sekular atau ke peradaban kapitalisme atau ke peradaban Barat.”
Oleh itu, untuk para wanita hari ini naik level sebagai ibu dan isteri menurutnya, perlu ada kesedaran akan peranan strategiknya dalam mendidik generasi yang akan membawa perubahan bagi umat.
Mereka perlu tahu bawa peranan ibu dan isteri tidak terbatas pada urusan domestik sahaja, sebaliknya menuntut mereka untuk berkontribusi dalam mencipta keluarga yang menjadi sebagian dari kebangkitan Islam.
“Nah, ini menjadi tanggungjawab kita semua. Bagaimana kita dapat menjadi seorang ibu yang naik level? Bukan sekadar memposisikan diri sebagai ibu yang punya anak atau isteri yang punya suami, tapi dia juga punya tanggungjawab untuk membangun peradaban baru, peradaban Islam.” tegasnya.