[Kisah Inspiratif] Ummu Kulthum binti Uqbah RA, Wanita Pertama yang Berhijrah ke Madinah
Kisah ini mengenai seorang sahabiyah yang kuat dan berani. Seorang wanita yang kuat dan teguh pendiriannnya menjaga keimanan dan keacintaannya kepada Islam.
Dia sanggup berjalan kaki demi berhijrah dari Mekah ke Madinah. Dia sanggup menempuh jalan untuk menunjukkan cintanya kepada baginda, Nabi Muhammad SAW.
Seorang yang dilahirkan dalam lingkungan keluarga kafir. Ayahnya, Uqbah bin Abu Mu’aith, adalah seorang yang sangat membenci Rasulullah SAW. Ketika dia menjadi tawanan perang Badar, Nabi menghukum mati Uqbah.
Ibu Ummu Kulthum ialah Urwa binti Karim bin Rabiah bin Habib bin Abdu Syams, ibu saudara (dari sebelah bapa) kepada Abdullah bin Amir. Ummu Kulthum adalah adik beradik perempuan tiri kepada Uthman bin Affan RA.
Memeluk Islam dan Berhijrah
Keteguhan Ummu Kulthum terserlah apabila dia berbai’at kepada Nabi SAW dan ikut berhijrah ke Madinah. Beliau adalah antara wanita pertama yang berhijrah dari kabilah Hadnah Hudaibiyah.
Berita tentang keislaman Ummu Kulthum sampai kepada keluarganya. Dalam riwayat Ibnu Sa’ad disebutkan, “Para wanita meninggalkan Mekah setelah perjanjian Hudaibiyah disepakati. Cuma pemergian Ummu Kulthum diikuti oleh dua adik beradik lelakinya, Al Walid dan ‘Ammarah. Mereka berdua bergegas ke Madinah, lalu menemui Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Muhammad, penuhilah syarat-syarat perjanjian yang telah kamu sepakati dengan kami.’ Ummu Kulthum mencelah, ‘Wahai Rasulullah, adakah kamu sampai hati untuk mengembalikanku kepada orang-orang kafir yang telah menghalang aku dari memeluk Islam dan aku sendiri tidak tahan lagi untuk tinggal bersama mereka, malah engkau tahu kelemahan kaum wanita untuk membela diri?”
Ketika itulah turun firman Allah SWT yang berbunyi, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).” [TMQ Al-Mumtahanah (60): 10]
Berdasarkan ayat ini, Rasulullah SAW bertanya kepada mereka, “Apakah kalian bersumpah dengan nama Allah bahawa kalian keluar (dari Mekah) kerana benar-benar mencintai Allah, RasulNya, dan Islam, bukan kerana ingin tinggal bersama suami dan mendapatkan harta?” Jika mereka berkata ‘Ya’, maka baginda tidak menyerahkan mereka kepada orang-orang kafir. Seterusnya Rasulullah mengatakan kepada Al Walid dan ‘Ammarah bin Uqbah, “Allah telah membatalkan perjanjian bagi wanita dengan sebab yang telah kamu ketahui. Oleh itu, pergilah kamu berdua!”
Perkahwinan yang Penuh Keberkatan
Selepas hijrah yang penuh dengan keberkatan dan pengorbanan kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan tempat kelahiran demi mendapat keredhaan Allah SWT, Ummu Kulthum RA hidup di Madinah dengan gembira dan bahagia.
Semasa tinggal di Mekah, Ummu Kulthum belum berkahwin, sehingga apabila dia tinggal di Madinah, dia bernikah dengan Zaid bin Haritsah RA tetapi kemudian Zaid menceraikannya. Selepas itu, dia dilamar dan dinikahkan dengan Abdurrahman bin Auf RA. Pasangan ini dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Ibrahim dan Humaid.
Setelah Abdurrahman bin Auf meninggal, Amru bin Ash RA mengahwininya, tetapi tidak lama kemudian, Ummu Kultsum RA meninggal dunia.
Itulah rumah tangga Ummu Kultsum RA. Dia berhijrah untuk menggapai cintanya kepada Allah dan RasulNya. Walaupun dia dibesarkan dalam keluarga kufur, keimanannya terhadap Islam tidak boleh ditukar ganti dengan apa pun. Penghijrahannya menjadikan dia seorang wanita yang layak mendapatkan suami yang beriman.
Ummu Kultsum RA meninggal pada zaman pemerintahan Ali bin Abi Thalib RA. Mungkin jasadnya telah kembali, tetapi kisah hidupnya memberi inspirasi kepada wanita akhir zaman. Ummu Kultsum telah meriwayatkan 10 hadis. Hadisnya diriwayatkan lagi oleh anaknya, Humaid bin Abdurrahman bin Auf.
Salah satu hadis yang diriwayatkannya ialah, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidaklah dianggap sebagai dusta apa yang bertujuan untuk mendamaikan perselisihan di antara manusia. Apa yang dilakukan untuk tujuan tersebut adalah perbuatan yang sangat terpuji.’.” [Muttafaqalaih]. Wallahu’alam.
Sumber : muslimahnewsid