Keilmuan Perempuan dalam Islam
“Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakanmu daripada diri yang satu (Adam), dan Allah menciptakan pasangannya (Hawa) daripada (diri)nya, dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan Perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan (silaturrahim). Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasimu.” [TMQ An-Nisa (4): 1]
Sejak awal sejarah manusia, Allah SWT telah menerangkan dengan cukup jelas bahawa lelaki dan perempuan adalah makhluk yang sama yang diciptakan daripada satu jiwa yang sama, berkongsi ibu dan bapa yang sama, dan tunduk kepada Tuhan yang sama. Ayat yang disebutkan di atas dibawa oleh Rasulullah ﷺ ketika perempuan dihina dan ditindas dalam masyarakat.
Allah SWT berfirman: “Dan apabila bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, kerana dosa apa dia dibunuh?” [TMQ At-Takwir (81): 8-9]. Sebab turunnya ayat ini adalah amalan kuno oleh orang-orang Arab (malah dalam masyarakat moden hari ini melalui pengguguran kandungan) yang membunuh anak perempuan kerana takut dipermalukan oleh masyarakat sementara hanya anak lelaki dihargai, atau kerana takut tidak mampu menafkahi mereka.
Islam telah menghapuskan amalan keji ini, di antara kerosakan yang lain, dan selepas dua puluh tiga tahun kenabian Islam telah mengangkat darjat perempuan pada pada kedudukan yang tidak pernah terfikirkan oleh manusia sebelumnya.
Perempuan Bertanggungjawab Terhadap Agamanya
Ketika wahyu pertama diturunkan “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…” [TMQ (96):1] – Nabi ﷺ sangat terkejut dan tidak dapat memahami kejadian yang berlaku pada dirinya, seorang yatim, buta huruf di padang pasir Arab. Selepas itu Muhammad ﷺ dihiburkan oleh isterinya, Khadijah RA, yang percaya kepada beliau dan menenangkannya saat diperlukan dan dalam keadaan terkejut. Seorang perempuan yang berjaya dalam perniagaan dan dilahirkan dari keluarga terhormat inilah yang menyokong Rasulullah di awal usaha dakwahnya untuk menyebarkan Islam.
Selepas tiga tahun berdakwah secara rahsia, Muhammad ﷺ diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyeru keluarga besarnya kepada Islam. Beliau mengumpulkan keluarganya dan secara terbuka mengajak mereka untuk beriman kepada Islam. Menjelang akhir kisah tersebut, Nabi ﷺ secara khusus berkata kepada bapa saudaranya, Abbas bin Abdul Muthalib: “Aku tidak dapat memberikan syafaat kepadamu pada hari perhitungan.”
Beliau mengatakan perkataan yang sama kepada ibu saudaranya, Shafiyyah binti Abdul Muthalib, dan anak perempuannya Fatimah. Beliau menambah lagi: “Mintalah kepadaku harta di dunia, tetapi pada hari penghisaban nanti aku tidak dapat melindungimu sedikitpun” (maksudnya Rasulullah tidak dapat membantu keluarganya jika mereka tidak memeluk Islam – ed.)
Dalam kejadian tersebut, Rasulullah ﷺ secara khusus berbicara kepada dua perempuan dan seorang lelaki, menunjukkan bahawa perempuan mempunyai tanggungjawab terhadap agama mereka dan tanggungjawab ini tidak berkaitan dengan jenis jantina seseorang. Kebebasan untuk memilih ini dicontohkan dari kisah isteri Nuh dan Luth AS, yang kedua-duanya menolak untuk beriman. Al-Quran menunjukkan bahawa tidak ada paksaan untuk beriman walaupun bagi isteri-isteri Nabi.
Dalam kisah lain, Ummu Habibah menjadi muslimah ketika ayahnya masih menjadi musuh lama Rasulullah ﷺ (bapanya masuk Islam kemudian). Dalam perjanjian Aqabah Kedua, perjanjian dengan ikatan politik dan strategik, Nabi ﷺ mengambil sumpah baik dari perempuan dan lelaki. Beliau tidak menunjukkan perempuan terkurung di dalam rumah mereka dan benar-benar terputus daripada urusan awam.
Satu Perempat Agama Bergantung kepada Periwayatan Perempuan
Al-Quran, sebagai kitab suci dan salah satu sumber dalil syarak, telah dihafal oleh banyak sahabat Rasulullah ﷺ. Selepas Perang Yamamah, apabila ramai penghafal al-Quran gugur syahid, Umar memberi cadangan kepada Abu Bakar untuk megurus pengumpulan semua al-Quran dalam dialek Quraisy. Abu Bakar juga mula mengumpulkan al-Quran dan menjamin perlindungannya.
Selepas beliau meninggal, mushaf itu diserahkan kepada Umar dan setelah beliau meninggal, mushaf itu diserahkan kepada Hafshah, puterinya, untuk dijaga dan dipelihara. Pada zaman Khalifah Uthman, ditemui pelbagai kesalahan dalam membaca al-Quran di kalangan mualaf bukan Arab di daerah seperti Armenia dan Azerbaijan. Uthman kemudiannya meminjam mushaf al-Quran yang berada dalam penjagaan Hafshah untuk membuat enam salinan standard dan menghantarnya ke wilayah-wilayah Islam yang menjadi pusat kebudayaan dan politik.
Uthman memerintahkan semua mushaf yang tidak mengikut standard yang sama untuk dibakar. Kita dapat melihat dari kisah ini bahawa tiada siapapun yang meragukan sosok Hafshah dalam menjaga mushaf, bahawa dia tidak akan menghilangkan, mengabaikan atau bahkan mengubah mushaf yang berada di bawah jagaannya.
Pada zaman para sahabat, tidak pernah ada persoalan mengenai kebolehan belajar secara langsung pada perempuan. Jika kita perhatikan, contohnya, dalam kitab-kitab hadis, dalam setiap bab kita akan menemukan perempuan sebagai perawi sama seperti lelaki. Imam Hakim Naisapuri menyatakan: “Satu perempat agama kita bergantung kepada periwayatan perempuan. Jika tidak kerana periwayatan mereka, kita telah kehilangan satuperempat dari agama kita.” Sebagai contoh, Abu Hanifah berpendapat solat sunat sebelum solat Zuhur ada empat, manakala Imam yang lain berpendapat hanya dua solat.
Pendapat ini berdasarkan periwayatan Abdullah bin Umar manakala Abu Hanifah bersandarkan pada periwayatan Ummu Habibah dan isteri-isteri Nabi ﷺ yang lain. Abu Hanifah berpendapat bahawa Nabi ﷺ melakukan solat sunat di rumahnya, sehingga periwayatan daripada isteri-isteri baginda lebih kuat (rajih).
Peristiwa penting seperti permulaan seruan dakwah Islam juga diriwayatkan secara khusus oleh perempuan. Aisyah RA sendiri menceritakan secara terperinci tentang turunnya wahyu pertama, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari tepat selepas hadis yang menyatakan bahawa amal dinilai berdasarkan niat yang mengiringinya.
Contoh lain berkaitan wuduk, ibadah yang sangat penting berkaitan dengan sahnya solat. Seorang sahabiyyah, Rubiyyah binti Muawidh bin Afrah, salah seorang saudaranya yang meninggal dalam perang Uhud, adalah salah seorang perawi hadis yang hebat. Periwayatannya boleh didapati dalam kitab-kitab Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan kitab kompilasi hadis yang lain.
Rubiyyah meriwayatkan bagaimana Rasulullah berwuduk, sebagaimana yang dilihatnya secara langsung ketika Rasulullah mengerjakan ibadah tersebut. Sahabat lain belajar dari Rubiyyah walaupun pada hakikatnya Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Muadz bin Jabal dan Abdullah bin Mash’ud RA, kesemuanya tinggal di Madinah. Rubiyyah diakui sebagai pakar dalam masalah wuduk.
Murid-murid Rubiyyah termasuk Abdullah bin Abbas dan bapanya yang merupakan ahli tafsir yang terkenal dan juga ahli keluarga nabi. Abbas tidak pernah bertanya kepadanya, “Kenapa aku harus belajar dengan Rubiyyah sedangkan aku adalah dari keluarga nabi dan ahli tafsir yang hebat?” Perkara yang sama juga berlaku kepada Ali Zainul Abidin, cicit Rasulullah dan seorang ulama hebat (beliau juga murid Rubiyyah). Sikap mereka menunjukkan untuk belajar daripada sesiapa sahaja yang memiliki ilmu tidak kira dia lelaki atau perempuan.
Menariknya, tidak ada satu hadis pun yang ditolak daripada perawi hadis perempuan kerana (tidak satu pun perawinya) dianggap sebagai penipu atau pendusta. Imam Dzahabi mengatakan: “Terdapat banyak perawi lelaki yang mengarang hadis. Namun, tidak ada perawi perempuan dalam sejarah Islam yang dituduh sebagai pendusta.” Daripada kata-kata ini, kita mengetahui bahawa perempuan solehah sentiasa menyampaikan ilmu agama dengan amanah dan kebolehan inteleknya tidak diragui.
Diadaptasi daripada artikel yang diterbitkan dalam majalah “Message” Oleh Dr. Mohammad Akram Nadwi dan diterjemahkan oleh Frida Nurulia dengan perubahan yang diperlukan.
Sumber: @MuslimahNewsID