CONTOHILAH UMMU SYUHADA’, WANITA PENGHUNI SYURGA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Ada pepatah yang tidak asing di telinga kita: Di sebalik tokoh mulia, pasti ada wanita mulia. Al-Khansa’ bin Amr, sosok wanita mulia itu, adalah salah seorang daripada mereka. Sahabiyah (sahabat wanita Rasulullah SAW) ini berjaya menghantarkan keempat-empat anak lelakinya menjadi mujahid sejati, sehingga mereka mencapai kedudukan yang paling mulia: menjadi syuhada.
Al-Khansa’ adalah penyair wanita pertama dan terulung. Beliau adalah penyair dari dua zaman: zaman Jahiliah dan zaman Islam. Para sejarawan sepakat bahawa sejarah tidak pernah mengenali wanita yang lebih mahir bersyair selain al-Khansa’, sebelum mahupun selepas kematiannya.
Tatkala mendengar dakwah Islam, al-Khansa’ datang bersama kaumnya, iaitu Bani Sulaim, menemui Rasulullah SAW dan menyatakan keislaman mereka.
Dalam sebuah riwayat disebutkan, bahawa al-Khansa’ dan empat anak lelakinya ikut serta dalam Perang al-Qadisiyyah. Menjelang malam pertama mereka di al-Qadisiyyah, al-Khansa’ memberi nasihat kepada anak-anaknya:
Anakku, kalian telah masuk Islam dengan taat dan berhijrah dengan penuh kerelaan. Demi Allah Yang tiada Tuhan yang haq selain Dia. Kalian adalah anak kepada seorang lelaki sebagaimana kalian juga anak kepada seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayah kalian, tidak pernah memalukan bapa saudara kalian, juga nenek moyang kalian dan tidak pernah menyamarkan nasab kalian.
Kalian semua tahu betapa besar pahala yang Allah sediakan kepada orang-orang yang beriman ketika berjihad melawan orang-orang kafir. Ketahuilah, bahawa negeri akhirat yang kekal jauh lebih baik daripada dunia yang fana ini. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaran kalian, tetaplah bersiap sedia dan bertakwalah kepada Allah supaya kalian beruntung (TMQ Ali Imran [2]: 200).
Seandainya esok kalian masih diberi kesihatan oleh Allah, maka perangilah musuh kalian dengan gagah berani, mintalah kemenangan atas musuh kalian dari Ilahi.
Jika pertempuran mula menjadi sengit dan api peperangan mula menyala, terjunlah kalian ke hati musuh, dan perangilah pemimpin mereka ketika perang sedang berkecamuk. Mudah-mudahan kalian mencapai ghanimah dan kemuliaan di negeri yang kekal dan penuh kenikmatan.
Didorong oleh nasihat ibunya, keesokan harinya keempat-empat anak lelakinya pergi ke medan perang dan tampil dengan berani. Mereka bangkit demi mewujudkan impian ibu mereka. Tatkala fajar menyingsing, empat anak lelakinya pergi ke arah kem musuh. Sesaat kemudian, dengan pedang terhunus, anak lelaki pertama memulakan serangannya sambil bersyair: Saudaraku, ingatlah kata-kata ibumu ketika di waktu malam dia menasihatimu. Nasihatnya sangat jelas dan tegas: majulah dengan marah dan wajah muram. Apa yang kalian hadapi adalah anjing-anjing Sasan yang mengaum dalam kemarahan. Mereka telah yakin akan kehancurannya maka pilihlah kehidupan tenteram atau kematian yang penuh keberuntungan.
Seperti anak panah, anak pertama pergi ke tengah-tengah musuh dan berperang mati-matian sehingga akhirnya gugur sebagai syuhada.
Berikutnya, giliran anak kedua pergi menyerang sambil melantunkan syair: Ibunda, wanita hebat dan tabah. Pendapatnya sungguh tepat dan penuh hikmah. Dia perintah kita dengan cahaya, sebagai nasihat ikhlas bagi anaknya. Majulah tanpa perlu risaukan jumlah mereka dan capailah kemenangan nyata atau kematian mulia di syurga Firdaus yang kekal selamanya.
Kemudian dia berjuang sehingga ke titisan darah terakhir, mengikuti saudaranya ke alam akhirat, menjadi syuhada.
Seterusnya anak ketiga mengambil bahagian. Dia pergi mengikut jejak saudaranya, sambil bersyair: Demi Allah, aku tidak akan mengingkari perintah ibu, perintah yang penuh kasih dan cinta. Sebagai bakti nan tulus dan kejujuran, majulah dengan gagah ke medan perang sehingga pasukan Kisra tunggang-langgang atau biarkan mereka tahu bagaimana cara berjuang. Jangan mundur kerana itu tanda pecundang, raihlah kemenangan walaupun maut menghalang.
Kemudian dia terus berperang sehingga terbunuh sebagai syuhada.
Tibalah giliran anak terakhir yang menyerang. Dia pergi sambil melantunkan syair: Aku bukanlah anak al-Khansa’ mahupun Akhram, tidak juga Amr atau nenek moyang mulia. Jika tak menghalau tentera Ajam melawan bahaya dan memecahkan barisan tentera, Demi kemenangan yang menanti atau kematian di jalan yang lebih mulia.
Dia kemudian berperang sehingga mati. Akhirnya, dia juga gugur sebagai syuhada.
Apabila mendengar bahawa keempat-empat anak lelakinya telah gugur sebagai syudaha, al-Khansa’ dengan tenang berkata, “Segala pujian milik Allah Yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka. Aku berharap kepada Allah agar Dia mengumpulkan aku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya.” (Lihat: Al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashhab, II/90-91. Lihat juga: Nisa’ Hawl ar-Rasul).
Tentunya, kelahiran para mujahid dan syuhada tidak mungkin berlaku tiba-tiba. Mereka dicipta melalui proses pendidikan serta pembinaan yang sangat panjang, yang penuh dengan kesungguhan dan pengorbanan. Tidak lupa juga, mereka adalah produk dari sebuah keteladanan. Al-Khansa’ adalah seorang mujahidah. Wajar jika dari rahimnya lahir pula para mujahid. Wajar juga jika seorang ulama (seperti Imam Syafie) dilahirkan dari seorang ibu yang juga seorang ulama. Wajar juga jika seorang pengemban dakwah dan pejuang Islam sejati lahir dari ibu yang sama: ibu pengemban dakwah dan pejuang Islam sejati. Sudahkah sosok itu ada dalam diri ibu bapa, terutamanya ibu? Jika belum, mungkinkah akan lahir generasi pengemban dakwah dan pejuang Islam sejati; atau adakah akan lahir generasi para ulama besar seperti Imam Syafie; atau akan lahir generasi para syuhada, seperti anak-anak al-Khansa’?
Semoga kita sebagai ibu bapa khususnya ibu, dapat menjadi seperti al-Khansa’: menjadi ummu syuhada’ (ibu para syuhada). Aamiin.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.