BERGAULLAH DENGAN ORANG-ORANG SOLEH
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Peribadi atau tingkah laku seseorang biasanya banyak dipengaruhi oleh persekitaran sosial mereka. Oleh itu, tidak salah jika dikatakan, “Bergaul dengan penjual minyak wangi akan membuatkan anda melekat dengan harumannya. Bergaul dengan ‘tukang besi’ akan mencetuskan percikan api.”
Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari ra., yang menyatakan, “Sesungguhnya teman bergaul yang duduk bersama orang yang soleh dan teman bergaul yang duduk bersama orang yang bermaksiat adalah seperti penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Si penjual minyak wangi boleh memercikkan wangiannya ke badanmu, atau engkau boleh membeli minyak wangi daripadanya, atau engkau boleh mendapatkan bau harum darinya. Adapun tukang besi, boleh jadi dia memercikkan api ke atas pakaianmu atau engkau mendapatkan bau busuk darinya.” (Mutaffaq ‘alaih)
Maksudnya, bergaul dengan orang baik akan terpengaruh dengan kebaikan atau percikan kebaikannya. Sebaliknya, bergaul dengan orang jahat akan terpengaruh dengan kejahatan atau percikan keburukannya. Dalam hal ini, seseorang biasanya akan mencontohi perilaku orang lain yang ada dalam lingkungan pergaulannya.
Di sisi lain, seseorang biasanya akan bergaul dengan orang yang dia sukai atau dia cintai, dan dia tidak akan bergaul dengan orang yang dia benci. Kerana itu, mencintai kebaikan dan mereka yang melakukannya adalah apa yang perlu ditunjukkan oleh seorang Muslim. Kerana, Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Abu Dzar ra., “Anta ma’a man ahbabta (Engkau bersama-sama dengan apa yang engkau cintai).” (HR al-Bazzar).
Seorang Muslim yang baik benar-benar memahami ungkapan dan hadis di atas. Kerana itu, dalam kehidupan sehariannya, dia akan banyak bergaul dengan orang-orang soleh dan bertakwa; bukan banyak bergaul dengan para pendosa dan pelaku maksiat. Dengan kata lain, dia akan selalu ber-mujalasah (duduk-duduk atau bergaul) dengan para pelaku kebaikan (ahl al-khayr), bukan dengan para pelaku keburukan (ahl al-ma’shiyah). Dalam hal ini, baginda Rasulullah SAW bersabda, “Al-Mar’u ‘ala dini khalilihi, falyanzhur ahadukum man yukhalilu (Seseorang itu bergantung pada agama sahabatnya. Kerana itu, hendaklah salah seorang di antara kalian memperhatikan dengan siapa dia bersahabat).” (HR Abu Dawud).
Hadis ini menunjukkan dengan tegas kesan dari persahabatan seseorang, baik dengan orang yang baik ataupun dengan orang yang buruk. Sahabat yang paling dekat bagi seseorang sudah tentu adalah isteri/suaminya. Sebab, kehidupan suami-isteri sesungguhnya adalah kehidupan persahabatan. Kerana itulah, terkait dengan mencari pasangan dalam rangka membina kehidupan rumah tangga, baginda Rasulullah SAW pernah memberikan panduan, “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agama (ketakwaan)-nya. Maka dari itu, carilah wanita (untuk dijadikan isteri) yang bagus agamanya, nescaya engkau beruntung.” (Muttaffaq ‘alaih).
Beberapa sabda baginda Nabi SAW di atas dengan tegas mengajarkan kita untuk selalu bergaul dan bersahabat dengan orang-orang yang soleh atau yang baik agamanya. Dalam kesempatan lain, baginda Rasulullah SAW bersabda, “La tushahib illa mu’min[an] wala ya’kul illa taqiy[un] (Janganlah engkau bersahabat kecuali dengan orang mukmin. Janganlah memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.” (HR Abu Dawud dan at-Tirmidzi).
Maksudnya, kita perlu banyak bergaul dan bersahabat dengan orang mukmin dan bertakwa. Lebih baik lagi, seorang muslim hendaklah banyak bergaul dengan para ulama dan para pengemban dakwah yang mukhlis. Sebab, dengan banyak bergaul dengan mereka, selain kita akan menjadi orang-orang soleh atau berperilaku baik, juga memungkinkan diri kita menjadi muslih, iaitu terdorong untuk sentiasa melakukan pembaikan di tengah-tengah masyarakat. Jika kita tidak sanggup bergaul dengan mereka, maka cintailah mereka, jangan memusuhi mereka. Sebab, sabda Nabi SAW, “Al-Mar’u ma’a man ahabba (Seseorang akan bersama dengan orang yang dia cintai).” (Mutaffaq ‘alaih).
Selain itu, ada riwayat penuturan Anas ra, bahawa seorang Arab pedalaman pernah bertanya kepada baginda Rasulullah, “Bilakah terjadinya Hari Kiamat?” Baginda bertanya semula, “Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapi kiamat?” Dia menjawab, “Cintaku kepada Allah dan Rasul-Nya.” Lalu Baginda bersabda, “Engkau akan bersama dengan yang engkau cintai.” (Mutaffaq ‘alaih).
Semoga kita terbiasa bergaul dengan orang-orang soleh, khususnya para ulama dan pengemban dakwah yang mukhlis. Jika tidak sanggup, maka cintailah mereka dan jangan sampai membenci mereka. Jika sampai kita membenci mereka, sungguh tak ada lagi kebaikan sedikitpun yang dapat kita raih. Wama tawfiqi illa billah.