[Siri Sinar Syawal] Sunnah Berpakaian Cantik Pada Hari Raya
Syawal merupakan bulan kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya mengharungi kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan dengan jayanya. Dalam kegembiraan kita menyambut Aidilfitri, kita dianjurkan mengamalkan salah satu sunnah baginda iaitu berpakaian cantik semasa Hari Raya.
Imam Ibn al-Hajj dalam al-Madkhal berkata:
“Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk memakai pakaian terbaik pada hari raya, tetapi baginda juga mengingatkan agar tidak berlebih-lebihan sehingga menimbulkan riak atau pembaziran. Pakaian terbaik di sini bermaksud bersih, sederhana, dan mencerminkan kesyukuran.”
Pada pagi Hari Raya, kita disunatkan mandi dan mengenakan pakaian terbaik yang dimiliki. Khusus kepada kaum lelaki, mereka disunatkan memakai wangi-wangian. Sedangkan wanita, memakai wangi-wangian atau berhias di luar rumah diharamkan kerana akan menimbulkan fitnah. Hasan Ash-Shibit berkata: “Rasulullah memerintahkan kami agar pada hari ‘eidain (Aidil Fitri dan Aidil Adha) mengenakan pakaian yang terbaik, memakai wangian yang terbaik, dan melaksanakan ibadah kurban (pada Aidil Adha) dengan haiwan yang paling berharga“[HR Al-Hakim]. Ibnul Qayyim mengatakan, pada kedua-dua hari raya tersebut, Rasulullah SAW kebiasaannya mengenakan pakaian yang terbaik bahkan baginda menyediakan satu pakaian khusus untuk hari raya dan solat Jumaat.
Justeru, kita dituntut untuk memakai pakaian cantik dan terbaik yang kita miliki pada Syawal. Namun, perbuatan membazir hendaklah dihindari seperti membeli pakaian sehingga berbelas-belas pasang yang mungkin boleh menimbulkan riak. Pakaian yang bersih, sederhana dan mencerminkan kesyukuran itulah yang sebaiknya. Tidak salah untuk kita berfesyen, namun mesti diingat agar fesyen yang dikenakan adalah selari mengikut hukum syarak. Jangan sampai kita melakukan keharaman pada hari raya iaitu bertabarruj.
Menurut bahasa, tabarruj adalah wanita yang mempamerkan keindahan dan perhiasannya kepada lelaki [Ibnu Manzhur dalam Lisanul Arab]. Tabarrajatil mar’ah ertinya wanita yang menampakkan kecantikannya, lehernya dan wajahnya. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya, kecantikannya kepada lelaki dengan niat untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.
Dalam keghairahan menyambut Syawal, setiap muslim dan muslimah itu mesti tetap terikat pada hukum syariah. Selain memastikan dia menutup aurat dengan sempurna di depan umum, dia juga hendaklah memastikan perbuatan tabarruj dihindari. InsyaAllah dengan menjaga diri dari perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, sambutan Syawal akan lebih diberkati.
Baginda Rasulullah SAW juga mengingatkan kita bahawa kecantikan lahiriah mesti disertai dengan kecantikan hati seperti perbuatan memberi sedekah, bermaaf-maafan, dan mengeratkan silaturahim. Syawal bukannya bulan untuk berlumba-lumba memperagakan pakaian raya masing-masing, namun yang lebih penting adalah kecantikan qalbu & akhlak seorang mukmin. Biarlah berpakaian dan o berakhlak dengan terbaik itu seiring sejalan agar kita benar-benar mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Wallahu’ alam bissawab.