SENTIASA MENGHARAPKAN RAHMAT DAN AMPUNAN-NYA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Allah SWT memiliki seratus rahmat. Salah satu rahmatnya ialah menjadikan pelbagai makhluk saling menyayangi antara satu sama lain, sementara 99 rahmat (diberikan) pada Hari Kiamat. (HR Muslim).
Seorang muslim pasti akan melakukan banyak dosa dalam kehidupannya. Sebahagian daripada mereka pernah terjerumus dalam perbuatan dosa besar seperti membunuh, berzina, memakan riba, mabuk, mencuri/merampas harta orang lain dan sebagainya.
Namun demikian, Allah SWT sesungguhnya Maha Pengampun bagi sesiapa yang ingin bertaubat, sudah tentu dengan tawbat[an] nasuha (taubat yang sungguh-sungguh), dengan memenuhi beberapa syarat: memohon ampun kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh (dengan banyak beristighfar); menyesal dengan penyesalan yang mendalam; bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan dosa yang pernah dilakukan; rela menerima hukuman (jika terkait dengan dosa besar seperti mencuri, berzina, membunuh dan lain-lain); meminta maaf dan mengembalikan hak (jika terkait dengan dosa terhadap—atau melanggar hak—orang lain).
Kerana itu, tidak wajar bagi seorang muslim berputus asa dari rahmat dan ampunan Allah SWT, kerana Allah SWT sendiri berfirman (yang bermaksud): “Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ az-Zumar (39): 53].
Allah SWT juga berfirman (yang bermaksud): Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. [TMQ al-A’raf (7): 156].
Selain banyak ayat yang serupa, terdapat juga beberapa hadis yang benar-benar memberi harapan kepada setiap muslim kerana begitu luasnya rahmat Allah SWT. Baginda Rasulullah SAW misalnya bersabda, “Sesiapa sahaja yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, maka Allah mengharamkan neraka atas dirinya.” (HR Muslim).
Betapa luasnya rahmat Allah SWT juga tersirat dalam sabda baginda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi yang berbunyi, “Allah SWT berfirman: “Sesiapa saja yang datang membawa kebajikan, bagi dirinya pahala sepuluh kali ganda atau lebih. Sesiapa saja yang datang membawa keburukan, maka balasan keburukan itu adalah keburukan yang serupa atau Aku mengampuninya.” (HR Muslim).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, “Allah telah menjadikan rahmat-Nya kepada seratus bahagian. Allah telah menetapkan bahawa rahmat itu akan tetap di sisi-Nya sebanyak 99 bahagian dan menurunkan rahmat itu ke bumi hanya satu bahagian sahaja. Dengan sebab satu bahagian itu, pelbagai makhluk boleh saling menyayangi…”
Dalam riwayat lain menyatakan, “Sesungguhnya Allah SWT memiliki seratus rahmat. Salah satunya diturunkan di tengah-tengah jin, manusia, binatang…” (HR Mutaffaq ‘alaih).
Dalam hadis yang lain juga menyatakan, “Allah SWT memiliki seratus rahmat. Salah satu rahmatnya ialah menjadikan pelbagai makhluk saling menyayangi antara satu sama lain, sedangkan 99 rahmat (diberikan) pada Hari Kiamat.” (HR Muslim).
Sebagaimana rahmat Allah SWT begitu luas, begitu juga keampunan-Nya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya. Seandainya kalian tidak melakukan dosa, Allah pasti melenyapkan kalian, lalu mendatangkan kaum yang lain yang melakukan dosa, kemudian mereka meminta ampun kepada Allah, lalu Allah pun mengampuni mereka.” (HR Muslim).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Andai kalian tidak berbuat dosa, Allah pasti menciptakan makhluk yang berbuat berdosa, lalu mereka memohon ampun kepada-Nya, kemudian Allah mengampuni mereka.” (HR Muslim).
Menurut Ibn Malik, hadis ini bukan bermaksud mengajak manusia untuk berbuat dosa, tetapi melapangkan hati sebahagian sahabat Nabi SAW yang merasa sempit kerana begitu besarnya rasa takut akan dosa-dosa mereka sehinggakan sebahagian mereka ada yang lari ke puncak-puncak gunung untuk fokus kepada ibadah sahaja dan sebahagian yang lain menjauhi (tidak mahu menikahi) kaum wanita (Muhammad bin ‘Allan, Dalil al- Falihin, II/265). Intinya, hadis ini menyedarkan kita betapa luasnya keampunan Allah SWT, sekali gus mendorong kita untuk sentiasa mengharapkan keampunan-Nya tanpa perlu berputus asa.
Begitu luasnya keampunan Allah SWT, juga digambarkan dalam sabda baginda Rasulullah SAW yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya sepanjang malam untuk mengampuni para pendosa pada siang harinya; Allah juga membentangkan tangan-Nya sepanjang siang untuk mengampuni para pendosa pada waktu malamnya; (hal ini berterusan) hingga matahari terbit dari tempat terbenamnya.” (HR Muslim).
Oleh itu, tidak ada alasan bagi sesiapa pun untuk berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah SWT. Sebaliknya, setiap daripada kita hendaklah sentiasa bersungguh-sungguh mengharapkan rahmat dan keampunan Allah SWT. Hanya saja, rahmat dan keampunan Allah SWT pasti hanya akan diberikan kepada mereka yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT dengan berusaha melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Wa ma tawfiqi illa bilLah