[Kisah Inspirasi] Dialog Umar bin Khattab RA dengan Ahnaf bin Qais – Belajar Kesederhanaan daripada Khalifah
Pada suatu hari, Utbah bin Ghazwan menerima surat daripada Amirul Mukminin, iaitu Umar bin Khattab. Amirul Mukminin meminta agar dihantar 10 orang tentera utama dari pasukannya yang telah berjasa dalam peperangan. Amirul Mukminin ingin mengetahui keadaan pasukan Islam dan meminta pertimbangan daripada mereka. Perintah itu segera dilaksanakan oleh Utbah. Beliau menghantar 10 tentera terbaiknya kepada Khalifah Umar di Madinah, termasuk Ahnaf bin Qais.
Kemudian, para tentera berangkat menuju ke Madinah. Mereka disambut oleh khalifah dan dipersilakan duduk di majlisnya. Khalifah bertanya tentang keperluan mereka dan rakyat keseluruhannya. Mereka menjawab, “Mengenai keperluan rakyat secara umum, tentu sahaja engkau lebih mengetahui kerana engkau adalah pemimpinnya. Kami hanya akan bercakap atas nama diri kami sendiri.” Mereka pun menyampaikan keperluan masing-masing.
Kebetulan, Ahnaf bin Qais mendapat kesempatan terakhir untuk berbicara. Ini kerana beliau merupakan yang termuda di antara mereka. Beliau memulakan dengan memuji Allah SWT, lalu berkata, “Wahai khalifah! Sesungguhnya tentera kaum muslim yang dihantar ke Mesir tinggal di kawasan subur yang menghijau dan tempat yang mewah peninggalan Fir’aun. Pasukan yang dihantar ke negeri Syam tinggal di tempat yang nyaman, banyak buah-buahan dan taman-taman seperti istana. Pasukan yang dihantar ke Parsi tinggal di sekitar sungai yang melimpah air tawarnya, juga taman-taman peninggalan para raja Kisra. Namun, mereka yang dihantar ke Basrah tinggal di tempat yang kering dan tandus, tanahnya tidak subur, dan tidak pula menumbuhkan buah-buahan. Salah satu tepi lautnya masin, sementara tepi yang satu lagi hanyalah hamparan yang tandus. Perhatikanlah kesusahan mereka dan perbaikilah kehidupan mereka. Perintahkanlah ketua negara engkau di Basrah untuk membuat saluran sungai agar memiliki air tawar yang dapat menghidupkan ternakan dan pokok-pokok. Perbaikilah keadaan mereka dan keluarga mereka serta ringankanlah penderitaan mereka. Sesungguhnya, mereka menjadikan hal itu sebagai sarana untuk berjihad fi sabilillah.”
Khalifah Umar terkejut mendengar kata-kata Ahnaf. Khalifah Umar lalu bertanya kepada utusan yang lain, “Mengapa kalian tidak melakukan seperti yang telah dia lakukan? Sungguh, demi Allah, dia adalah seorang pemimpin.” Kemudian, Umar mempersiapkan perbekalan mereka dan juga menyediakan perbekalan untuk Ahnaf. Namun, Ahnaf berkata, “Demi Allah, wahai Amirul Mukminin! Kami datang jauh-jauh menemui engkau bukan untuk memukul perut unta selama berhari-hari demi mendapatkan bekalan. Aku tidak memiliki keperluan, selain keperluan kaumku seperti yang telah aku katakan. Jika engkau mengabulkannya, itu sudah cukup.”
Kekaguman Khalifah Umar terhadap Ahnaf semakin bertambah. Khalifah Umar berkata, “Pemuda ini adalah pemimpin penduduk Basrah.” Setelah majlis itu selesai, para utusan berangkat menuju tempat menginap yang telah disediakan. Khalifah Umar bin Khattab melayangkan pandangannya pada barang-barang mereka. Dari salah satu bungkusan, terlihat sepotong pakaian. Khalifah Umar menyentuhnya sambil bertanya, “Milik siapakah ini?” Ahnaf menjawab, “Milikku, wahai Amirul Mukminin.” Seketika itu, beliau merasa bahawa barang tersebut terlalu mewah dan mahal.
Khalifah Umar bertanya, “Berapa harga baju ini ketika engkau membelinya?” Ahnaf berkata, “Lapan dirham.” Ahnaf tidak mendapati dirinya berdusta, kecuali kali ini. Pakaian tersebut dibelinya dengan harga 12 dirham. Khalifah Umar menatapnya dengan pandangan penuh kasih sayang. Dengan halus, beliau berkata, “Aku rasa untukmu cukup satu potong saja. Kelebihan harta yang kau miliki hendaknya dipergunakan untuk membantu muslim yang lain.”
Khalifah Umar berkata kepada semua utusan, “Ambillah apa yang kalian perlukan. Gunakanlah kelebihan harta kalian pada tempat yang sepatutnya agar beban kalian ringan dan banyak mendapatkan pahala.” Ahnaf terdiam malu mendengarnya. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Khalifah Umar lalu memberi izin kepada utusan untuk kembali ke Basrah. Namun, Ahnaf tidak diperkenankan untuk kembali bersama mereka. Beliau diminta untuk tinggal bersama Khalifah Umar selama setahun penuh. [Hepi Andi Bastoni, 101 Kisah Tabiin]
HIKMAH
Kesederhanaan hidup Khalifah Umar bin Khattab RA tidak perlu diragukan lagi. Dialog Khalifah Umar dengan Ahnaf bin Qais sangat menginspirasi, khususnya bagi para pemimpin negeri yang diberikan amanah untuk mengurus rakyatnya.
Pemimpin dan pegawai sepatutnya hidup sederhana dan jauh dari kemewahan. Ini bertujuan agar mereka mempunyai empati, sikap kepedulian, dan dapat merasakan apa yang dialami oleh rakyatnya. Khalifah Umar bin Khattab sebagai ketua negara Islam perlu dicontohi. Pakaian yang dimilikinya penuh dengan tampalan. Saat anaknya, Abdullah, ingin berbincang dengannya mengenai masalah peribadi, beliau mematikan lampu di rumahnya dan berkata kepada puteranya bahawa lampu tersebut adalah kemudahan yang diberikan oleh negara kepadanya. Beliau berasa tidak layak menggunakan lampu tersebut untuk kepentingan peribadi keluarganya.
Sesungguhnya, pemimpin adalah pelayan rakyat yang menguruskan kepentingan dan kemaslahatan mereka. Oleh itu, tidak layak seorang pemimpin hidup mewah dan berfoya-foya, sementara rakyat yang diurusnya hidup di bawah garis kemiskinan dan dalam keadaan kelaparan. Terutamanya jika dasarnya akan menyebabkan rakyat menderita dan kesusahan. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang pemimpin yang diamanahkan urusan kaum muslim, kemudian dia mati, sedangkan dia melalaikan urusan mereka, melainkan Allah mengharamkan syurga untuknya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Sistem sekular kapitalisme telah menghilangkan kepekaan pemimpin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyatnya. Sistem ini juga merendahkan iman para pemimpin negara sehingga mereka tidak takut melakukan khianat dan menipu rakyatnya. Ingatlah doa Rasulullah SAW ketika bersabda kepada pemimpin yang menyusahkan rakyatnya. Hal ini membuatkan sesiapa pun yang mendengarnya merinding dan ngeri, “Ya Allah, barang siapa yang memegang tugas mengurus umatku, kemudian dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia. Barang siapa yang memegang tugas mengurus umatku dan memudahkan mereka, maka mudahkanlah dia.” [HR Muslim dan Ahmad].
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/02/15/35009/