Revolusi Syam: Momentum Mewujudkan Kembali Khilafah
Revolusi Syam (Syria), yang berlaku pada 8 Disember 2024, merupakan hari bersejarah bagi rakyat Syria. Itulah hari kejatuhan rejim Bashar al-Assad. Rejim diktator ini sangat kejam dan telah berkuasa selama lebih dari 24 tahun. Bashar al-Assad akhirnya melarikan diri secara hina ke Rusia, negara yang selama ini mendukungnya.
Kekejaman rejim Assad telah menjadi fakta umum. Amnesty International pernah menerbitkan laporan bertajuk “Human Slaughterhouse: Mass Hangings and Extermination at Saydnaya Prison, Syria” yang mendedahkan amalan hukuman mati dan penyeksaan beramai-ramai di Penjara Saydnaya. Laporan ini menyatakan bahawa antara 2011 dan 2015, sekitar 5,000 hingga 13,000 orang dieksekusi secara kejam di penjara tersebut.[1]
Menurut UNHCR (Agensi Pelarian PBB), lebih 13 juta orang Syria terpaksa meninggalkan rumah mereka; 6.8 juta di antara mereka telah melarikan diri ke luar negeri.[2] Rakyat Syria, terutama kanak-kanak, menderita trauma psikologi yang mendalam akibat keganasan dan kehilangan keluarga mereka. Laporan daripada Save the Children menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak Syria mengalami gangguan tekanan pascatrauma.[3]
Menggulingkan rejim Assad yang sangat kejam sememangnya tidak mudah. Ia memerlukan modal keimanan dan kesabaran yang kuat daripada pejuang Muslim Syria yang teguh berjuang tanpa henti. Ghirah perjuangan tersebut sudah semestinya tidak terhenti pada sekadar menumbangkan rejim semata, tetapi perlu diteruskan sehingga mampu mewujudkan sistem terbaik warisan Rasulullah SAW, yakni Khilafah ‘ala minhaaj an-nubuwwah.
Keteguhan Para Pejuang
Kekuatan iman rakyat Syria merupakan faktor utama yang membolehkan mereka untuk terus melawan rejim Assad walaupun menghadapi penderitaan yang teruk. Atas dasar iman yang teguh inilah rakyat Syria menunjukkan kepada dunia bahawa perjuangan melawan kezaliman bukan hanya tentang kekuatan fizikal, tetapi juga tentang keyakinan kepada nilai-nilai agama, iaitu Islam.
Selama puluhan tahun rakyat Syria hidup dalam ketakutan. Di bawah rejim Assad, beribu-ribu orang anti-rejim dipenjarakan, diseksa bahkan dibunuh. Di penjara, ramai wanita muslimah yang diperkosa oleh pegawai rejim hingga melahirkan anak tanpa mengetahui siapa ayahnya. Tidak sedikit umat Islam yang menjadi syahid setelah bertahun-tahun merana dan diseksa di penjara.
Sejak 2011, lebih 500,000 rakyat Syria tewas, dan berjuta-juta yang lain menjadi pelarian. Rejim Assad menggunakan bantuan dari Amerika, Rusia dan Iran dalam bentuk pengeboman dengan pesawat perang, artileri berat dan peluru berpandu. Pengeboman tersebut telah merosakkan dan menghancurkan infrastruktur bandar utama seperti Aleppo, Homs dan Idlib. Rejim Assad juga menggunakan kelaparan sebagai senjata perang dengan mengepung bandar-bandar yang dikuasai oleh pembangkang. Seperti yang berlaku di Madaya pada 2015 yang menyebabkan kebuluran besar-besaran.
Rejim Assad secara sistematik menggunakan senjata kimia terhadap orang awam. Serangan di Ghouta Timur pada tahun 2013 menewaskan lebih daripada 1,400 orang, termasuk kanak-kanak, menjadi salah satu insiden yang paling mengerikan dalam sejarah moden. Siasatan antarabangsa oleh OPCW (Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons) mengesahkan bahawa pasukan Assad bertanggungjawab atas serangan ini.[4]
Walaupun menghadapi kekejaman yang luar biasa seperti itu, rakyat Syria tetap teguh dalam keimanan dan ketakwaan mereka. Mereka terus berjuang tanpa pernah menyerah. Mereka terus meneguhkan harapan untuk perubahan hakiki. Kesabaran dan pengorbanan mereka tentunya menjadi teladan penting bagi umat Islam di seluruh dunia. Atas keteguhan perjuangan mereka, kemudiannya Allah SWT memberikan jalan dan kekuatan sehingga mampu menumbangkan rejim diktator Bashar al-Assad secara hina dan menyedihkan.
Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ ٧
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” [TMQ Muhammad (47): 7].
Sudah semestinya rakyat Syria meneruskan semangat perjuangan mereka untuk menolong (agama) Allah. Sasarannya adalah agar umat ini mampu menerapkan syariah Islam secara kaffah. Kerana, itulah hakikat utama menolong agama Allah SWT.
Arah Perubahan Hakiki
Sebelum Revolusi Syria, isu perubahan juga melanda negeri-negeri Islam yang lain. Di antara yang luar biasa adalah Arab Spring. Namun, peristiwa tersebut berakhir dengan keputusan yang mengecewakan. Sekadar pertukaran personal rejim, sementara keadaan sosial dan ekonomi masyarakatnya tetap tidak berubah, bahkan boleh dikatakan mereka kini semakin terpuruk. Perkara ini tidak sepatutnya berulang lagi dalam revolusi Syria.
Ini bermakna, walaupun rejim Assad telah jatuh, perjuangan rakyat Syria belum selesai. Negara-negara penjajah seperti Amerika Syarikat, Rusia dan sekutunya akan berusaha menghalangi perubahan menuju kemenangan yang sebenar. Para penjajah tersebut akan berusaha mengawal dengan mewujudkan penguasa baru yang akan kekal sebagai boneka mereka.
Amerika dan para sekutunya akan berusaha untuk mengarahkan perubahan dengan menawarkan demokrasi sekular yang berbalut Islam, seperti yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya, dan Sudan. Padahal faktanya di Libya, Amerika memerangi pejuang Islam atas nama perang melawan keganasan. Di Sudan, Amerika mengekalkan konflik melalui tentera Sudan. Amerika juga berusaha mengendalikan Afghanistan meskipun Taliban berkuasa.
Oleh itu, arah perjuangan umat Islam di dunia termasuk di Syria hendaklah bertunjangkan kepada akar krisis utama, iaitu diarahkan untuk melenyapkan hegemoni negara penjajah dan demokrasi sekular di negeri-negeri Islam, lalu menerapkan hukum syariah secara kaffah dalam institusi politik global Khilafah Islamiyah. Sebab, hanya dengan Khilafah sahaja umat Islam akan mampu melakukan perubahan hakiki, iaitu membebaskan diri daripada belenggu demokrasi sekular yang menyebabkan kesengsaraan.
Tanpa Khilafah, terbukti keadaan umat Islam di seluruh dunia hari ini dijajah, dizalimi, terpuruk dan ditindas. Melalui Khilafah, umat Islam akan dapat disatukan semula sehingga mereka mampu memperoleh kemuliaannya kembali. Khilafah sekaligus akan menghapus segala bentuk kezaliman dan penindasan di bawah hegemoni negara penjajah dan para penguasa yang menjadi bonekanya.
Momentum Mewujudkan Khilafah
Revolusi Syria boleh menjadi momentum untuk menegakkan kembali Khilafah Rasyidah. Itulah perubahan hakiki yang perlu menjadi target utama perjuangan rakyat Syria. Bukan perubahan semu seperti yang berlaku di Arab Spring, yang hanya sekadar perubahan rejim tanpa diikuti dengan perubahan sistem. Tidak ada sistem terbaik bagi umat Islam selain sistem yang diwarisi daripada Rasulullah SAW, iaitu Khilafah Rasyidah.
Apatah lagi, Kekhilafahan bagi rakyat Syria bukanlah sesuatu yang baru. Sebab, Syria pernah menjadi pusat Kekhilafahan Islam. Setelah Khalifah Ali bin Abi Thalib wafat pada tahun 661 M, Muawiyah bin Abi Sufyan memindahkan pusat Kekhilafahan dari Madinah ke Damsyik, Syria. Berpusat di Damsyik itulah kemudian Kekhilafahan Islam (Khilafah Umayyah) menjadi mercusuar bagi dunia ketika itu. Damsyik menjadi pusat politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan ketenteraan dunia Islam.
Damsyik dipilih sebagai ibu kota Khilafah kerana lokasinya yang strategik di persimpangan perdagangan antara Timur dan Barat. Bandar ini juga mempunyai infrastruktur yang maju dan sejarah yang panjang sebagai pusat pemerintahan di bawah Empayar Rom Timur (Byzantine). Di bawah Khilafah Umayyah, Islam mencapai kemuncak perkembangannya; terbentang dari Sepanyol di Barat hingga India di Timur. Syria menjadi pusat kawalan ketenteraan dan administratif untuk wilayah kekuasaan yang sangat luas ini.
Kerana itu, kejatuhan rejim Assad membawa harapan baru yang besar bagi umat Islam untuk perubahan yang mendasar. Tidak lain tidak bukan adalah perubahan yang bukan sahaja menggantikan rejim, tetapi juga mengubah sistem, iaitu dari sistem sekular yang ada menjadi sistem pemerintahan Khilafah Rasyidah; sekaligus mengembalikan Syria sebagai pusat Khilafah Islam buat kali kedua.
Usaha merealisasikan Khilafah tersebut sudah tentu harus merujuk kepada standard syariah Islam. Menurut Imam Taqiyuddin An-Nabhani (Asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah), ada empat syarat bagi sesebuah negara (al-quthr) yang akan membaiat Khalifah dalam keadaan Khilafah tidak ada sama sekali.[5] Empat syarat tersebut adalah seperti berikut:
Pertama, kuasa (as-sulthaan) yang ada di negeri tersebut mestilah merupakan kekuasaan yang merdeka (sulthaan dzaaty). Kekuasaan ini bergantung hanya kepada umat Islam semata-mata, tidak bergantung kepada negara-negara asing (kafir) atau orang asing (kafir).
Kedua, keselamatan (al-amaan) dalam negeri tersebut mestilah keselamatan Islam. Maksudnya, perlindungan (al-himaayah) bagi negeri tersebut, baik keselamatan dalam negeri mahupun keselamatan luar negerinya, semuanya merupakan keselamatan yang berada di tangan umat Islam.
Ketiga, negeri tersebut hendaklah segera memulakan penerapan Islam dengan penerapan yang sempurna dan menyeluruh (dalam segala aspek kehidupan) di dalam negeri, serta segera melakukan kegiatan mengemban dakwah Islam ke seluruh dunia di luar negeri.
Keempat, Khalifah yang dibaiat wajib memenuhi syarat baiat in’iqaad walaupun tidak memenuhi syarat-syarat afdhaliyah (keutamaan). Ini kerana, yang menjadi standard adalah syarat-syarat in’iqaad. Berkaitan dengan ini juga dapat dilihat dalam kitab karya Abdul Qadim Zallum, Nizhaam al-Hukm fii al-Islaam.[6]
Keempat-empat syarat tersebut pastinya dapat direalisasikan oleh umat Islam beserta para mujahidin di Syria. Kunci utama ialah adanya penyatuan visi dan pemahaman oleh semua elemen dan faksi-faksi perjuangan di Syria untuk mewujudkan kembali Khilafah Rasyidah, sekaligus bersikap tegas menolak segala sistem bukan-Khilafah yang ditawarkan oleh negara-negara penjajah seperti Amerika, Rusia, dan sekutunya.
Khatimah
Peluang mewujudkan Khilafah Rasyidah di Syria itu akan semakin besar jika mendapatkan sokongan dan perlindungan daripada para ahlul quwwah. Dalam konteks Syria, ahlul quwwah tersebut ialah mereka yang mempunyai kekuatan, autoriti, dan pengaruh yang kuat dalam masyarakat. Di antaranya adalah faksi-faksi pejuang Islam yang memiliki kekuatan sebenar di lapangan. Ini juga termasuk tokoh politik dan pemimpin strategik yang mempunyai pengaruh dalam pengambilan keputusan politik, para ulama yang mendapat sokongan massa yang luas, serta para tentera semasa rejim Assad yang kemudiannya secara sedar kembali ke pangkuan umat Islam dan ikut berjuang untuk mewujudkan Khilafah Rasyidah.
Semoga umat Islam dan ahlul quwwah di Syria dapat merealisasikan khabar gembira (bisyaarah) Rasulullah SAW tentang akan kembalinya masa Khilafah Rasyidah setelah masa mulk[an] jabriyy[an] (kekuasaan diktator) seperti dalam sabda beliau:
«ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ نُبُوَّةٌ»
“Kemudian akan datang masa Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah.” (HR Ahmad).
WalLaahu a’lam bi ash-shawaab. [Dr. Muhammad K. Sadik]
Rujukan:
[1] Amnesty International. (2016). ”It Breaks the Human: Torture, Disease, and Death in Syria’s Prisons.”
[2] (2023). “Syria Refugee Crisis Explained.”
[3] Save the Children. (2022). “Invisible Wounds: The Impact of Six Years of War on the Mental Health of Syria’s Children.”
[4] Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW). Laporan Investigasi Ghouta 2013.
[5] Taqiyuddin An-Nabhani. (2003). Al-Syakhshiyyah Al-Islâmiyyah, Juz II, hlm.24-26. Cetakan Kelima (Edisi Mu’tamadah), Darul Ummah, Beirut Libanon.
[6] Abdul Qadim Zallum. (2002). Nizhâm Al-Hukm fî Al-Islâm, hlm.57-60. Cetakan Keenam (Edisi Mu’tamadah), Darul Ummah, Beirut Libanon.
Sumber:
https://alwaie.net/siyasah-dakwah/revolusi-syam-momentum-mewujudkan-kembali-khilafah/