INGATLAH, WANG BUKAN SEGALANYA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Sesungguhnya wang bukanlah segala-galanya. Sudah tentu bukan kerana sekarang sudah ada master card, visa atau kad kredit lainnya; bukan juga kerana manusia hari ini boleh melakukan pelbagai jenis transaksi elektronik lain tanpa perlu mempunyai wang tunai.
Memang, wang bukanlah segala-galanya. Kerana faktanya, wang tidak boleh membeli segalanya. Dengan wang, manusia boleh membeli segala jenis kemewahan, tetapi bukan keberkatan dan kebahagiaan. Dengan wang, manusia mampu membeli kedudukan dan jawatan, tetapi bukan kewibawaan dan kehormatan. Dengan wang manusia sememangnya mampu memiliki wanita impian dan anak-anak harapan, tetapi bukan kesakinahan, kemawaddahan dan kerahmahan. Dengan wang, manusia memang dapat bersenang-senang di dunia, tetapi bukan kebahagiaan hakiki di akhirat.
Dengan wang, apabila manusia sakit, dia boleh membeli ubat dan dirawat di hospital berkelas dengan perkhidmatan yang lebih memuaskan, namun tidak mungkin mampu membeli kesihatan. Dengan wang, manusia boleh membeli kecantikan melalui pembedahan plastik yang super canggih, namun tidak akan sanggup membeli umur yang panjang. Dengan wang, manusia boleh merawat tubuh dan wajah hingga tetap tampil awet muda, tetapi dia tidak akan pernah boleh mengembalikan masa remajanya. Dengan wang manusia memang boleh membeli jam tangan super mewah bertatahkan berlian bernilai berbilion-bilion, tetapi adalah mustahil untuk membeli masa walaupun hanya sesaat. Dengan wang seorang Muslim boleh menunaikan haji berkali-kali, namun bukan mabrurnya.
Dengan wang, malah seorang aktivis dakwah pun dengan mudah menginfakkan sebahagian kecil, atau setengah, bahkan mungkin sebahagian besar hartanya di jalan dakwah, tetapi sudah tentu ini tidak boleh dijadikan sebagai kompensasi dari dakwahnya. Dakwah tetaplah kewajipan yang tidak boleh digantikan dengan wang. Bahkan tidak ada kafarat bagi amalan dakwah yang ditinggalkan.
Itulah mengapa, walau Abu Bakar As-Siddiq RA., Uthman bin Affan RA, Abdurrahman bin Auf RA., Mush’ab bin Umair RA adalah di antara sebahagian sahabat yang mempunyai banyak harta, namun mereka tetaplah para pengemban dakwah dan pembela Islam di barisan hadapan. Malah mereka menggadaikan harta dan kemewahan mereka semata-mata untuk dakwah.
Sebelum dan setelah berdirinya Daulah Islam, Abu Bakar As-Siddiq RA dan Uthman bin Affan RA dikenali sebagai aghniya’ yang membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk kepentingan dakwah dan jihad fii sabilillah. Sebelum dan selepas berdirinya Daulah Islam, Abdurrahman bin Auf RA juga mengorbankan sebahagian besar hartanya untuk kepentingan dakwah dan jihad fii sabilillah. Adapun Mush’ab bin Umair RA yang terkenal sebagai pemuda kaya-raya dan tampan, sebelum berdirinya Daulah Islam dia meninggalkan segala kemewahan hidupnya. Itu berterusan sehingga pada saat beliau meninggal dunia, pada masa berdirinya Daulah Islam, dia hanya meninggalkan sehelai kain yang tidak cukup untuk dijadikan kain kafannya. Padahal, sebelum masuk Islam, ayahnya secara bersahaja pernah membelikannya sehelai baju seharga 200 dirham atau setara dengan RM 2,727.123 (1 dirham = 2,975 gram = RM 4.5834. Sumber: https://my.bullion-rates.com/silver/MYR/spot-price.htm, 17/4/2025, 11:03am)..
Namun sememangnya, seperti yang dikatakan oleh sebahagian orang, tanpa wang kita tidak boleh mencapai segalanya. Makan minum memerlukan wang. Berpakaian memerlukan wang. Untuk memiliki rumah memerlukan wang. Kesihatan memerlukan wang. Sekolah memerlukan wang. Apatah lagi dalam sistem kapitalis hari ini. Tanpa wang kita tidak boleh beribadah, paling tidak untuk membeli pakaian yang dapat menutup aurat kita. Tanpa wang, kita pun tidak boleh berdakwah yang sering memerlukan dana yang banyak. Demikian seterusnya. Sudah tentu di sini semuanya bersetuju, tidak perlu berdebat.
Namun, semesta pembicaraan dalam tulisan ini bukanlah itu. Melalui tulisan ringan ini, saya cuma ingin kita semua merenung, bahawa manusia sering lupa dan khilaf: walaupun wang bukanlah segala-galanya, tidak jarang sebahagian besar fikiran, tenaga dan masa mereka hanya difokuskan untuk mencari dan mengumpulkan wang. Ada yang setiap hari, selama berpuluh tahun, sebahagian dari umurnya dihabiskan untuk bekerja dengan keluar pagi dan balik lewat malam, demi mencari wang. Hari cuti juga dijadikan sekadar untuk menghilangkan kepenatan seketika selepas bekerja mencari wang. Tidak jarang, ibadah kepada Allah SWT dan perkara agama dilupakan; lebih-lebih lagi, urusan memikirkan umat dan perkara dakwah, tidak ada dalam catatan hariannya.
Bagaimana dengan kita yang telah memposisikan diri sebagai pengemban dakwah? Sejatinya, apabila sudah sering diteguhkan dalam diri kita bahawa dakwah adalah “poros hidup” kita, maka idealnya yang menjadi fokus kita dalam hidup ini adalah dakwah. Bukan bererti urusan nafkah atau wang tidak penting. Namun, jangan sampai urusan nafkah melalaikan urusan dakwah. Jangan sampai berbicara tentang wang dan urusan mengejar kekayaan lebih banyak daripada membincangkan urusan dakwah serta aktiviti menegakkan syariah dan Khilafah. Jangan sampai kerana itu, kita lebih dikenali sebagai pemburu harta dan kekayaan daripada dikenali sebagai pejuang syariah dan Khilafah.
Begitu juga, bagi para pengemban dakwah yang tidak mampu secara ekonomi. Jangan pula mencari penghidupan atau ma’isyah melupakan urusan dakwah. Singkatnya, jangan sampai urusan mencari “sesuap nasi” atau urusan “menambah cawangan kedai” melalaikan kita daripada urusan dakwah ini. Tegasnya, jangan sampai kekayaan kita—ataupun kemiskinan kita—melalaikan kita dari urusan agama dan perjuangan yang amat mulia ini. Jika itu yang terjadi, sesungguhnya kita lebih mencintai semua itu daripada Allah SWT dan Rasul-Nya. Allah SWT sendiri telah menyatakan demikian dalam al-Quran (yang bermaksud):
“Jika bapa-bapa kalian, anak-anak kalian, saudara-saudara kalian, isteri-isteri kalian, kaum keluarga kalian, harta kekayaan yang kalian usahakan, perniagaan yang kalian khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kalian sukai, adalah lebih kalian cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta jihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan (azab)-Nya. Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang fasik”. (TMQ at-Taubah [9]: 24).
Semoga kita bukan termasuk dalam golongan seperti itu. Wamaa tawfiqi illa bilLah.