JAUHILAH FITNAH KEKUASAAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Inna lillâhi wa inna iIaihi râji’ûn. Dengan ekspresi sedih, kata-kata itulah yang keluar dari bibir Umar bin Abdul Aziz ketika beliau dibaiat menjadi khalifah (Ketua Negara Islam).
Sebelumnya, Umar memang sudah berusaha keras untuk menolak dilantik menjadi Khalifah. Namun, umat nampaknya lebih keras lagi ‘memaksa’ agar beliau bersedia menjadi Khalifah. Lalu terjadilah pembaiatan itu. Akhirnya, dengan ikhlas dan redha, Umar menerima baiat umat. Namun, hal itu tidak membuat beliau tenang. Kegelisahan di dada dibawanya ketika pulang ke rumah. Dia mengurung diri di dalam biliknya. Dia menangis. Dalam fikirannya dia membayangkan, berjuta-juta rakyatnya bersedia untuk menuntutnya di hadapan mahkamah Allah pada hari kiamat nanti jika dia tidak dapat melayani, melindungi dan menjaga mereka. Kerana itu, bagi beliau, amanah kuasa yang baru sahaja beliau terima adalah ‘musibah besar’. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyedari betul sabda baginda Nabi SAW, “Sesungguhnya kekuasaan itu amanah. Pada hari kiamat nanti ia akan berubah menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan haq dan menunaikan apa yang diamanahkan di dalamnya.” (HR Muslim).
Dalam Islam, kekuasaan sudah tentu bukan sesuatu yang haram. Malah, hanya dengan kekuasaanlah Islam di muka bumi ini benar-benar dapat ditegakkan, hukum-hukum Allah dapat berdiri teguh, umat Islam dapat dilindungi daripada ancaman musuh dan risalah Islam dapat disebarkan secara meluas melalui dakwah dan jihad. Dengan kekuasaan juga, Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin benar-benar dapat direalisasikan. Itulah realiti yang benar-benar berlaku apabila kekuasaan itu berada di tangan orang-orang yang soleh, zuhud, warak dan amanah seperti Umar bin Abdul Aziz, atau generasi yang lebih awal, yakni Khulafaur Rasyidin.
Namun demikian, selama penguasa adalah manusia, bukan nabi, mereka berpotensi melakukan kesalahan dan menyeleweng dalam melaksanakan amanah kekuasaannya. Inilah yang sentiasa ‘menghantui’ generasi salafus-salih sehingga seboleh-bolehnya mereka akan menolak jika diberi amanah kekuasaan. Jika pada akhirnya mereka ‘terpaksa’ untuk menerima beban amanah kekuasaan, mereka begitu takut dihisab oleh Allah SWT pada hari akhirat nanti jika mereka tidak amanah. Inilah yang digambarkan dalam ucapan Khalifah Umar bin al-Khattab RA yang terkenal, “Seandainya ada seekor keldai terjatuh di Kota Baghdad kerana jalannya rosak, aku sangat khuatir jika Allah SWT akan meminta aku bertanggungjawab di akhirat kelak.” Inilah juga yang digambarkan dari sikap Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika beliau ‘ditegur’ oleh anaknya, “Ayah, bagaimana jika ada rakyat ayah yang sangat memerlukan ayah, sementara ayah sedang duduk berehat di rumah?” Tiba-tiba Khalifah Umar tersedar, lalu bangun dan kembali bekerja melayani rakyat. Padahal Khalifah Umar baru berehat beberapa minit melepaskan penat. Peluh masih membasahi tubuhnya kerana setiap hari kebanyakan masanya dihabiskan untuk mengurus dan melayani rakyatnya.
Jangan lupa, sikap dan tingkah laku penguasa Muslim yang luar biasa seperti itu adalah apabila negara benar-benar menerapkan syariah Islam secara total dalam institusi Khilafah Islamiyah. Maknanya, selagi mereka amanah dan benar-benar menerapkan syariah itu secara benar, kebimbingan untuk tidak berlaku amanah atau zalim terhadap rakyat seharusnya tidak akan berlaku.
Jika generasi salafus-salih begitu bimbang dan takut menjadi penguasa, tetapi manusia hari ini justeru berlumba untuk menjadi pemimpin. Dengan pelbagai cara, walaupun mereka terpaksa membelanjakan wang ratusan ribu, mereka berusaha merealisasikan mimpi mereka; sama ada menjadi Perdana Menteri/Naib Perdana Menteri, atau cukup menjadi ketua daerah, atau menjadi wakil rakyat. Dalam hal ini, ‘keberanian’ mereka mengalahkan ‘keberanian’ Khalifah Umar bin al-Khattab atau Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Mengapa tidak! Kedua-duannya, ketika dilantik sebagai khalifah, sangat takut terhadap hisab Allah pada hari kiamat nanti atas kepimpinan mereka di dunia. Sebaliknya, manusia hari ini yang sangat bercita-cita tinggi untuk berkuasa, begitu berani ‘mencabar’ hisab Allah SWT.
Apabila mereka berjaya menjadi penguasa, ketua daerah atau wakil rakyat, mereka tidak menunjukkan rasa gelisah dan menangis (seperti yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz), namun kegembiraan dan rasa syukur. Jika demikian, sebenarnya mereka tidak bersyukur, tetapi sedang ber ‘sukur’ (sukr, b. arab; mabuk). Ya, mereka sedang ‘mabuk kuasa’. Mereka lupa bahawa dengan kuasa, jawatan atau kedudukan sebagai wakil rakyat yang mereka capai dalam sistem sekular yang tidak menerapkan hukum-hukum Allah, mereka sebenarnya sedang berjalan menuju ke neraka; mereka sedang berlumba-lumba masuk ke dalamnya. Wal ‘iyâdz billâh!