MELINDUNGI ANAK DARIPADA KEJAHATAN JENAYAH SEKSUAL
Oleh: Hanifatus Suhro (Forum Muslimah Peduli Generasi dan Peradaban)
Peningkatan jenayah seksual menunjukkan bahawa inilah peranan penting khususnya keluarga, keluarga merupakan benteng utama dan terakhir yang dapat melindungi anak-anak daripada serangan yang boleh menghancurkan keperibadian Islam mereka. Anak adalah tanggungjawab ibu bapa yang mana di antara bentuk tanggungjawab yang dipikul oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah mencegah mereka daripada apa-apa yang boleh merosakkan atau memberi pengaruh negatif, termasuk melindungi mereka daripada jenayah seksual.
Ibu bapa perlu memberikan tarbiyah jinsiyah (pendidikan seksualiti kepada anak) yang berlandaskan Islam, di mana tarbiyah jinsiyah ini bertujuan agar anak memahami identiti diri dan keluarganya, mengenal anggota tubuh mereka, menjaga kesucian dan kebersihannya, menghalang syahwat seksual pada anak, dan melindungi mereka daripada keganasan seksual terhadap anak.
Tarbiyah jinsiyah seperti bentuk pendidikan yang lain, memerlukan masa dan tahapan. Dalam menyampaikannya, gunakan kaedah dan bahasa yang baik, sopan, sampaikan dengan tanpa kesat/perinci, tidak panik, dan mengikut kesesuaian umur mereka. Memberi tarbiyah jinsiyah kepada anak boleh bermula dari usianya 2 tahun.
1.Perkenalkan anggota badan anak dan didik mereka agar menjaga tubuh mereka
Pada usia 2-4 tahun ini boleh dimulakan dengan mengenalkan kepada si kecil secara ringkas. Contohnya, semasa memandikan si kecil, kita boleh memberitahu mereka pelbagai bahagian tubuh anak seperti, ini rambut, kepala, perut, alat kemaluan mereka, dll. Jelaskan juga bahawa tidak boleh ada orang lain selain ibu bapa yang boleh menyentuh bahagian tubuh mereka seperti bibir, dada, kemaluan, dan dubur mereka tanpa pengetahuan ibu bapa, dan mereka juga tidak boleh diperlihatkan kepada sembarangan orang. Ajarkan bahawa seluruh tubuhnya adalah miliknya yang mesti dijaga, mereka boleh menolak pelukan/ciuman atau segala sentuhan fizikal yang lain. Jika ada orang yang mempermainkan/mencederakan bahagian tubuh mereka maka beritahu mereka boleh menjerit dan berlari ke arah orang ramai, jangan takut untuk melaporkannya kepada kami.
- Tanamkan rasa malu dalam diri anak
Hal yang boleh kita lakukan untuk menanamkan rasa malu kepada anak ialah jangan biasakan anak-anak berbogel di hadapan orang lain, walaupun masih kecil. Contohnya, ketika keluar dari bilik air, menukar pakaian, dan sebagainya. Dan biasakan anak untuk sentiasa menutup auratnya. Tidak dibenarkan mandi bersama anak, walaupun di usia anak kecil.
- Perkenalkan batasan aurat
Perkenalkan batasan aurat kepada anak sebelum dia baligh. Kita boleh menggunakan media pembelajaran seperti lagu kanak-kanak Islami, permainan kanak-kanak, buku, video kartun kanak-kanak Islami, dll. Pakaikan pada anak pakaian yang menutup aurat, pakaian yang selesa dan pakaian yang anak sukai. Anak yang dibiasakan menutup aurat sebelum dia baligh, maka dia akan mudah menutup dan menjaga auratnya apabila dia baligh. Jangan lupa juga ajarkan anak, bukan hanya peduli tentang auratnya sahaja tetapi juga aurat kawannya, seperti ketika ada kanak-kanak yang menarik seluar kawannya. Apabila anak mengalaminya, anak akan membela diri, jika itu kawannya, maka dia akan membantu dan mengingatkan kawannya apa yang salah.
- Perlakukan anak berdasarkan jenis kelamin mereka. Tanamkan sifat kelelakian pada anak lelaki dan sifat keperempuanan pada anak perempuan.
Secara fizikal mahupun psikologi, lelaki dan perempuan mempunyai perbezaan mendasar. Mengambil kira perbezaan tersebut, Islam telah memberikan tuntunan agar setiap fitrah yang telah ada tetap terpelihara. Islam mewajibkan agar lelaki memiliki keperibadian maskulin, dan perempuan memiliki keperibadian feminin. Islam tidak mahu wanita menyerupai lelaki, begitu juga sebaliknya. Untuk itu, anak-anak mesti dibiasakan dari kecil untuk berpakaian mengikut jenis jantina mereka. Mereka juga harus dilayan mengikut jantina mereka. Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT melaknat para lelaki yang menyerupai perempuan dan para perempuan yang menyerupai lelaki. (HR al-Bukhari).
- Pisahkan tempat tidur anak yang berbeza jantina dan asingkan selimut untuk yang sama jantina.
“Perintahkan anak-anak kalian untuk solat apabila sampai umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak solat) apabila umurnya mencapai 10 tahun dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur kalian.” (HR. Abu Daud 1/185 no. 495; At-Tirmidzi no. 407)
Mengasingkan tempat tidur merupakan usaha untuk menanamkan kesedaran kepada anak tentang kewujudan dirinya. Jika pemisahan tempat tidur tersebut berlaku antara dirinya dan ibu bapanya, sekurang-kurangnya anak telah dilatih untuk berani berdikari. Jika pemisahan tempat tidur dilakukan terhadap anak dengan adik-beradik yang berbeza jantina, secara langsung ia telah menimbulkan kesedarannya tentang kewujudan perbezaan jantina. Sedangkan untuk sesama jantina, asingkanlah selimutnya. Satu selimut hanya untuk satu orang.
- Didik anak-anak meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapa mereka
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum solat subuh, apabila kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah solat Isyak. (Itulah) tiga ‘aurat’ bagi kamu” (TMQ An-Nur: 58)
Diperintahkan untuk meminta izin masuk kerana dikhuatiri akan memandang sesuatu yang tidak baik pada seseorang dalam keluarganya. Adapun jika anak telah baligh, maka hendaklah memohon keizinan pada setiap waktu, sebagaimana firman Allah Taala,
“Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, Maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (TMQ An-Nur: 59)
- Jauhkan anak-anak daripada ransangan naluri seksual seperti hiburan, muzik, bacaan, dll.
Seterusnya, jauhkan anak-anak daripada ransangan naluri seksual seperti rancangan pornografi, filem romantik/percintaan, lagu-lagu cinta, novel atau buku bacaan bertemakan cinta. Ibu dan ayah juga tidak boleh menunjukkan kemesraan yang berlebihan di hadapan anak mereka. Selain haram, ia juga boleh mempengaruhi naluri seksual anak. Ibu bapa hendaklah berhati-hati dan peka terhadap nilai-nilai yang boleh menjerumuskan anak mereka. Jika tidak, ia sama seperti membenarkan anak melakukan perkara yang mendekati zina.
- Kenalkan mahramnya
Tidak semua perempuan mempunyai hak untuk berkahwin oleh seorang lelaki. Sesiapa sahaja perempuan yang diharamkan dan yang dihalalkan telah ditentukan oleh syariat Islam. Ketentuan ini mesti diberikan kepada anak-anak agar ditaati. Dengan memahami kedudukan perempuan yang menjadi mahram, usaha dilakukan agar anak mampu menjaga pergaulan harian mereka dengan wanita yang bukan mahramnya.
- Didik anak agar tidak berikhtilat
Ikhtilat ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa sebarang keperluan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Pada masa sekarang, hal ini sudah dianggap biasa. Kerana itu, jangan biasakan anak diajak ke tempat-tempat yang di dalamnya berlaku percampuran lelaki dan perempuan secara bebas.
- Didik anak agar tidak melakukan khalwat
Dikatakan khalwat jika seorang lelaki dan wanita bukan mahram berada di suatu tempat, berdua sahaja tanpa keperluan syarie. Mereka mengasingkan diri tanpa penglibatan orang lain. Anak-anak sejak kecil mesti diajar untuk mengelakkan perbuatan ini.
- Didik anak tentang etika berhias
Berhias bermaksud usaha untuk memperindah atau mencantikkan diri agar tampil menawan yang dilakukan secara berlebihan, sehingga menimbulkan godaan kepada lawan jenis. Tujuan tarbiyah jinsiyah dalam kaitannya dengan etika berhias adalah agar kecantikan tidak digunakan untuk perbuatan maksiat.
- Fahamkan anak tentang ihtilam dan haid
Ihtilam adalah tanda anak lelaki sudah mula memasuki usia baligh. Bagi haid pula, ia dialami oleh anak perempuan. Memperkenalkan anak tentang ihtilam dan haid bukan sahaja untuk memahami anak-anak dari pendekatan fisiologi dan psikologi semata-mata. Jika berlaku ihtilam dan haid, Islam telah mengatur beberapa ketentuan yang berkaitan dengan masalah tersebut.
- Tanamkan iman yang kuat pada anak
Perkara yang paling asas yang perlu kita lakukan ialah menanamkan iman yang kuat dalam diri anak sejak dari kecil. Pupuk anak agar mencintai Allah dan Rasul-Nya sehingga dia takut jika bermaksiat, dia akan berusaha menjaga kesucian dan kemuliaannya kerana Allah. Apabila anak hampir baligh/sudah baligh, tanamkan dalam dirinya kefahaman bahawa apabila dia telah baligh, dia sudah mempunyai tanggungjawab di hadapan Allah SWT, maka dia mestilah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan syariat Islam seperti solat, menutup aurat, mengaji dan berdakwah, temasuk menjaga pergaulan dengan lawan jenis. Selain itu, ajaklah mereka untuk banyak beribadah, solat ke masjid, qiyamullail, solat dhuha, membaca Kitabullah, belajar Islam, dsb. Galakkan juga mereka dengan kegiatan fizikal seperti olahraga, sukan bela diri, hiking, aktiviti sosial, dsb
- Berikan ruang bagi anak untuk berbincang dan menjadikan ibu bapa sebagai tempat yang paling selesa untuk anak bercerita
Beri ruang kepada anak untuk bertanya, luangkan masa berbincang tentang tarbiyah jinsiyah bersama anak, menyampaikan bahan mengikut tahap umur anak, jawab dengan jujur, baik dan benar, bersikap terbuka, santai, tidak keterlaluan, menggunakan bahasa atau perumpamaan yang dapat difahami oleh anak. Jadikan diri kita sebagai ibu bapa, tempat yang selesa untuk anak-anak bercerita, jadilah ibu bapa yang memiliki hubungan rapat yang baik dengan anak, sayangilah mereka dengan cara yang tepat, tunjukkan kasih sayang kita kepada mereka. Nyatakan bahawa kita menyukai anak kita yang jujur, tidak berbohong. Maka dari sini mereka akan bersikap terbuka dan kita boleh memahami apa sahaja yang berlaku kepada anak-anak kita.
Demikianlah beberapa perkara yang dapat dilakukan untuk mendidik dan melindungi anak-anak. Semoga bermanfaat untuk kita semua. Semoga Allah melindungi kita dan keluarga dari segala keburukan, melindungi generasi Islam daripada perkara yang menghancurkannya. Agar mereka kelak menjadi pemain dalam perjuangan menjayakan Islam kembali sebagaimana janji Allah dan Rasul-Nya. Wallahu alam bishawab
Sumber:
FB Dunia Parenting