Membentuk Generasi Pemimpin Berwibawa Melalui Pengukuhan Tsaqafah Islam (Bahagian 4)
Penulis : Asma
Komponen-komponen Tsaqafah Islam dalam Pendidikan Kepimpinan
Peranan pendidikan dalam membentuk pemimpin yang berwibawa tidak boleh dipandang remeh. Matlamat utama pendidikan Islam ialah melahirkan individu berkeperibadian Islami, iaitu individu yang memiliki pola fikir serta pola jiwa yang selaras dengan ajaran Islam. Oleh itu, jika generasi muda tidak diberikan pendidikan Islam yang menyeluruh, mendalam dan bersifat praktikal, mereka akan mudah terpengaruh dengan nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam dan seterusnya gagal memahami konsep kepimpinan sebagai satu amanah.
Untuk memastikan generasi muda mampu menjadi pemimpin berwibawa, tsaqafah Islam perlu disemai sejak usia awal. Mendidik generasi pemimpin dengan tsaqafah Islam bermakna memahamkan mereka bahawa segala yang diambil sebagai panduan hidup mesti bersumberkan Islam. Proses pembinaan ini perlu dijalankan secara berperingkat mengikut tahap usia kerana membentuk seorang pemimpin yang tangguh bukanlah usaha jangka pendek.
Sebagaimana pesanan Khalifah Umar al-Khattab RA, “Belajarlah sebelum kamu diangkat menjadi pemimpin”. Pesanan ini menekankan betapa pentingnya pendidikan sebagai asas sebelum seseorang diberikan amanah kepimpinan. Malah, selepas memegang jawatan, seorang pemimpin hendaklah terus menuntut ilmu, menghadiri majlis ilmu dan mendapatkan bimbingan para ulama agar tidak tersasar daripada prinsip Islam. Rasulullah SAW sendiri adalah contoh pemimpin yang sentiasa mendidik para sahabat dengan tsaqafah Islam, membina mentaliti kepemimpinan yang berwawasan serta menjadikan ilmu (wahyu) dan iman sebagai tunjang perjuangannya.
Ilmu Islam boleh dikategorikan kepada tiga bidang utama: akidah, syariah, dan ilmu alat seperti bahasa Arab, usul fiqh dan lain-lain. Semua aspek ini saling melengkapi dalam pembentukan pemimpin Islam yang memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam. Oleh itu, artikel ini akan mengemukakan beberapa komponen tsaqafah Islam yang perlu diberi penekanan dalam pendidikan kepemimpinan.
- Akidah
Antara bidang tsaqafah Islam yang wajib dikuasai oleh seorang pemimpin Islam, khususnya generasi muda yang bakal memimpin umat pada masa hadapan, ialah ilmu akidah. Akidah berperanan untuk untuk memantapkan keimanan serta mengukuhkan keteguhan jiwa. Ia merupakan asas utama dalam kehidupan seorang Muslim dan mempunyai kepentingan yang lebih besar bagi seorang pemimpin kerana pemimpin merupakan teladan utama kepada rakyat.
Seorang pemimpin yang memiliki akidah yang kukuh akan sentiasa berpandukan wahyu dan berpegang teguh kepada hukum Allah SWT dalam setiap keputusan dan tindakannya. Kepentingan akidah dalam kepimpinan Islam antara lain ialah untuk mengelakkan pengaruh ideologi asing seperti sekularisme, liberalisme, atau nasionalisme, yang boleh menjejaskan hala tuju pemerintahan Islam. Pemimpin yang berpegang teguh pada tauhid akan mengutamakan keadilan dan amanah dalam kepimpinannya, bukannya bertindak atas kepentingan peribadi atau tekanan politik.
Akidah juga membina ketahanan dalaman seorang pemimpin dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Ia menjadikan mereka tetap berpegang kepada prinsip Islam dalam apa jua keadaan. Contohnya dapat dilihat melalui keteguhan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA yang terus mempertahankan Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW meskipun berdepan ancaman murtad dan pemberontakan di seluruh Tanah Arab.
Maka, pembinaan akidah dalam diri anak-anak sejak awal sangat penting untuk melahirkan peribadi yang bertakwa. Ia perlu dimulakan dengan memperkenalkan mereka kepada kalam Ilahi iaitu al-Quran, dan sabda Nabi SAW iaitu hadis. Fitrah anak-anak yang bersih dan cenderung kepada kebenaran akan lebih mudah menerima pendidikan agama jika ia ditanamkan sejak kecil. Apabila mereka terbiasa dengan nilai-nilai Islam sejak awal, mereka akan lebih bersedia menepis serangan pemikiran yang merosakkan, dan seterusnya menjadikan dakwah sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.
Dalam hal ini, al-Quran dan hadis merupakan sumber utama dalam membina dan mengukuhkan akidah. Sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat pada zaman Rasulullah SAW, generasi muda ketika itu menghafal dan mempelajari al-Quran sebagai panduan hidup mereka, bukan sekadar dari sudut hafazan tetapi juga penghayatan terhadap ajaran-ajarannya. Sabda Nabi SAW, “Sebaik-baik orang di antara kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran lalu mengajarkannya.” [HR Bukhari].
Syariat juga memuliakan golongan yang mahir dalam al-Quran, seperti yang disebut dalam hadis, “Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling pandai membaca Kitab Allah di antara mereka. Jika kemampuan mereka sama dalam membaca, maka yang paling mengetahui sunnah di antara mereka.” [HR Muslim]
Sumber kedua iaitu hadis Nabi SAW, juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akidah. Ia tidak sahaja menjelaskan ayat-ayat al-Quran, bahkan menjadi contoh praktikal dalam memahami dan mengamalkan nilai-nilai tauhid, keimanan, serta prinsip-prinsip akhlak dalam kehidupan seorang Muslim. Melalui hadis, seseorang pemimpin belajar bagaimana Rasulullah SAW berpegang teguh kepada keimanan dalam menghadapi ujian dan bagaimana baginda membimbing umat dengan penuh hikmah dan keteladanan.
Oleh itu, pemahaman terhadap al-Quran dan hadis bukanlah bertujuan untuk menguasai ilmu-ilmu ini secara teknikal semata-mata, tetapi sebagai jalan untuk memperkukuh akidah Islam dan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas dalam membina keperibadian pemimpin yang bertakwa, berprinsip dan tidak mudah goyah dalam memikul tanggungjawab besar terhadap umat.
- Ilmu Syariat
Ilmu syariat merupakan antara komponen utama dalam tsaqafah Islam yang wajib dikuasai oleh setiap pemimpin Muslim. Ia merangkumi hukum-hakam syarak yang menjadi panduan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim, termasuk aspek ibadah, muamalah, jenayah, pemerintahan, sosial, dan pendidikan. Seorang pemimpin bukan sahaja perlu bijak dalam membuat keputusan, tetapi mestilah memastikan setiap keputusan yang diambil adalah sesuai dengan ketetapan syarak.
Di sisi lain, Islam memelihara masyarakat melalui aktiviti amar ma’ruf dan nahi munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Untuk melaksanakan amanah ini, masyarakat perlu mempunyai satu piawaian yang jelas, iaitu hukum-hukum yang bersumber daripada wahyu. Pemimpin sebagai pelaksana tertinggi syariat perlu memahami hukum-hakam ini secara mendalam agar mereka dapat mengurus rakyat dengan adil dan saksama.
Contoh yang boleh diambil ialah tindakan tegas Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA dalam menangani golongan yang enggan membayar zakat selepas kewafatan Rasulullah SAW. Beliau berijtihad bahawa golongan tersebut telah keluar daripada Islam dan mesti diperangi, bukan sekadar dianggap pemberontak. Keputusan beliau yang tegas ini lahir daripada kefahaman yang mendalam terhadap hukum Islam dan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga kewajipan agama.
Sehubungan dengan itu, pendidikan ilmu syariat kepada generasi muda adalah sangat penting. Mereka perlu diajar dan dibentuk untuk memahami peraturan-peraturan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan agar dapat tumbuh sebagai pemimpin yang tidak hanya memahami cabaran dunia moden, tetapi juga berupaya memberi penyelesaian berpandukan hukum Allah SWT.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa pemimpin ialah pelindung dan penjaga rakyat. “Seorang imam adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap rakyat di bawah pimpinannya.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Ini menunjukkan bahawa pemimpin bukan sekadar penguasa kepada rakyat, malah bertanggungjawab menjaga hak dan kebajikan rakyat berpandukan hukum-hakam Islam. Oleh itu, pengetahuan tentang ilmu-ilmu syariat termasuk kaedah berijtihad sangat diperlukan agar pemimpin dapat menilai isu-isu kontemporari dengan cermat dan mengeluarkan keputusan berdasarkan hukum syarak, bukan semata-mata logik akalnya atau tekanan politik.
Kefahaman tentang syariat juga membolehkan pemimpin memahami hak-hak rakyat dalam Islam. Sayyidina Umar al-Khattab RA merupakan contoh terbaik dalam hal ini. Beliau dikenali sebagai pemimpin yang adil, berwibawa, dan sangat berhati-hati dalam menetapkan hukum berdasarkan kefahaman mendalam terhadap al-Quran dan Sunnah. Pemerintahannya membuktikan bahawa kepimpinan yang dibina atas dasar ilmu dan taqwa akan melahirkan masyarakat yang aman dan makmur.
Dalam sejarah Islam juga terdapat pemimpin yang asalnya bukan daripada kalangan tokoh masyarakat, tetapi dibentuk melalui pendidikan syariat yang kukuh. Antara contohnya ialah Saifuddin Qutuz, seorang hamba berketurunan Turki yang dibeli dan dilatih sebagai pemimpin tentera Mamluk. Hasil didikan yang mantap, beliau akhirnya menjadi pemimpin agung yang berjaya menewaskan pasukan Mongol dalam Perang Ain Jalut, satu peristiwa penting yang menyelamatkan dunia Islam daripada kehancuran.
Kesemua ini menunjukkan bahawa ilmu syariat bukan sekadar keperluan untuk para ulama’, tetapi juga ilmu asas penting bagi setiap pemimpin Islam. Tanpa kefahaman syarak, pemimpin akan mudah terjebak dalam kezaliman, ketidakadilan, atau kecuaian terhadap hak-hak rakyat. Sebaliknya, pemimpin yang menguasai ilmu ini mampu mentadbir dengan amanah, bijaksana dan berpaksikan nilai-nilai Islam yang luhur.
- Sirah Rasulullah SAW dan Sejarah Islam
Sirah Rasulullah SAW dan sejarah Islam merupakan komponen penting dalam tsaqafah Islam yang perlu ditekankan dalam pendidikan kepimpinan. Ini kerana sirah bukan sahaja merakamkan peristiwa kehidupan Rasulullah SAW, malah menampilkan prinsip-prinsip kepimpinan Islam yang sebenar iaitu berpaksikan wahyu, berteraskan keimanan, serta mengutamakan keadilan, hikmah dan kebajikan umat.
Generasi muda mesti ditanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW serta mengenali baginda melalui sirahnya. Tanpa pengetahuan ini, mustahil untuk timbul sikap membela sunnah dan meneladani kepimpinan baginda. Sebagaimana kata Imam Ibn al-Jawzi, “Aku berpendapat bahawa menyibukkan diri dengan ilmu fiqh dan menyemak hadis tidak mencukupi untuk memperbaiki hati, kecuali ia dipadukan dengan ar-raqa’iq (ilmu yang melembutkan hati) dan memberi perhatian kepada sejarah salafus soleh; dan sebaik-baik sejarah adalah sirah Nabi SAW.”
Malangnya, sebahagian besar generasi muda hari ini kurang berminat terhadap sejarah Islam kerana pendekatan pengajarannya terlalu berfokus kepada fakta, tarikh, dan peristiwa tanpa menghubungkaitkan nilai-nilai kepimpinan, semangat perjuangan dan jati diri. Sebaliknya, pendidikan sejarah Islam harus menekankan ‘ibrah (pengajaran dan nilai) yang terkandung dalam perjalanan hidup Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
Sirah Rasulullah SAW merupakan rujukan terbaik dalam memahami pelbagai aspek pentadbiran, strategi, hubungan diplomatik, ketenteraan, pendidikan, serta pembangunan masyarakat. Para sahabat pula adalah contoh generasi yang dibentuk secara langsung oleh baginda melalui tarbiah yang bersumberkan wahyu. Kisah seperti hijrah, perjanjian Hudaibiyah, Ghazwah Badar, serta pelantikan Usamah bin Zaid sebagai panglima perang pada usia muda membuktikan bahawa Rasulullah SAW menanamkan nilai kepimpinan sejak awal usia para pemuda.
Lebih luas daripada itu, sejarah Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW turut memberi gambaran tentang kekuatan dan kelemahan kepimpinan dalam pelbagai zaman. Tokoh seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz RA, Salahuddin al-Ayyubi, dan Sultan Muhammad al-Fatih menjadi bukti bahawa tsaqafah Islam mampu melahirkan pemimpin besar yang membina peradaban. Sebaliknya, sejarah kejatuhan empayar Abbasiyah dan Uthmaniyah pula memperlihatkan bagaimana kelemahan kepimpinan, perpecahan umat dan pengabaian terhadap hukum Allah SWT boleh membawa kepada keruntuhan tamadun.
Menurut Ustaz Pompy Syaiful Rizal, mempelajari sejarah adalah kewajipan kerana ia berkait rapat dengan isi kandungan al-Quran. Sekitar satu pertiga daripada ayat al-Quran mengisahkan peristiwa sejarah, antaranya kisah Nabi Yusuf AS, Firaun dan Nabi Musa AS, Nabi Ibrahim AS, serta pemuda Ashabul Kahfi. Firman Allah SWT, “Dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat)” [TMQ al-Hasyr (59): 18].
Ayat ini mengingatkan kita tentang keperluan bermuhasabah terhadap sejarah masa lalu untuk mempersiapkan masa depan yang lebih baik. Dalam konteks pendidikan kepimpinan, ia memberi makna bahawa sejarah adalah cermin masa depan, dan pemimpin yang berwibawa ialah mereka yang menjadikan sejarah sebagai ‘ibrah.
Sejarah Islam bukan sekadar catatan kejayaan semata-mata. Ia juga mengandungi pelajaran penting tentang bagaimana kelemahan dalam kepimpinan boleh membawa kehancuran. Justeru, generasi muda mesti diajar untuk mengkaji sejarah secara kritikal dan membina, agar mereka dapat memahami peranan mereka dalam meneruskan perjuangan Islam.
Penaklukan wilayah seperti India, Afrika Utara, Andalus (Sepanyol), dan pembebasan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi adalah contoh kejayaan umat Islam yang berpaksikan tsaqafah Islam yang mantap. Salahuddin sendiri sering mengingatkan tenteranya akan perjuangan Rasulullah SAW, menjadikan sirah sebagai inspirasi utama dalam menyusun strategi dan membangkitkan semangat umat.
Langkah awal yang paling berkesan dalam mendidik generasi muda ialah dengan memperkenalkan mereka kepada sirah Nabawiyyah, iaitu sejarah hidup Rasulullah SAW dari sebelum kenabian hingga kewafatan baginda. Penghayatan terhadap sirah ini membuka pintu untuk memahami nilai-nilai kenabian serta bagaimana peradaban Islam dibina melalui proses tarbiah dan kepimpinan yang berpandukan wahyu.
Ringkasnya, sirah dan sejarah Islam bukan sekadar ilmu pengetahuan, tetapi asas pembentukan visi dan jati diri kepimpinan Islam. Dengan menghayatinya, generasi muda akan sedar bahawa mereka adalah penyambung mata rantai perjuangan Islam, dan mereka akan lebih bersedia memikul amanah besar sebagai pemimpin umat pada masa hadapan.
- Ilmu Politik Islam
Ilmu politik Islam merupakan salah satu cabang tsaqafah Islam yang sangat penting dalam pembinaan kepimpinan. Ini kerana politik dalam Islam bukan sekadar soal kuasa atau pentadbiran, tetapi merangkumi pengurusan urusan umat berdasarkan hukum Allah SWT, sama ada dalam negeri mahupun luar negeri. Seorang pemimpin yang ingin memimpin dengan adil dan berwibawa perlu memahami bahawa politik adalah alat untuk melaksanakan syariat dan memastikan kesejahteraan ummah.
Islam tidak memisahkan agama daripada urusan pemerintahan. Sebaliknya, ia mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk sistem pemerintahan, dasar pendidikan, hubungan diplomatik, polisi ekonomi, sistem kehakiman dan pengurusan sosial, agar semua urusan manusia berjalan mengikut kehendak Allah SWT. Maka, memahami politik menurut acuan Islam adalah sebahagian daripada tuntutan agama, lebih-lebih lagi bagi mereka yang akan memikul amanah kepimpinan.
Malangnya, dalam sistem pendidikan moden hari ini, politik sering diajarkan dalam kerangka sekular yang memisahkan agama daripada pemerintahan. Hal ini menyebabkan ramai generasi muda gagal melihat politik sebagai sebahagian daripada ibadah dan tanggungjawab syar‘i. Akibatnya, mereka mudah terpengaruh dengan sistem-sistem politik asing seperti demokrasi liberal yang tidak meletakkan Allah SWT sebagai sumber kebenaran mutlak.
Sedangkan dalam Islam, kuasa politik bukanlah untuk kepentingan diri atau kelompok tertentu, tetapi sebagai amanah untuk menegakkan syariat Allah SWT. Sebagaimana tujuan hidup manusia adalah untuk meraih keredaan Allah, maka politik sepatutnya menjadi alat untuk membantu manusia melaksanakan perintah Allah SWT dalam kehidupan bernegara.
Sebuah sistem pemerintahan Islam yang ideal seperti Khilafah dibina atas asas ini, iaitu untuk memastikan pelaksanaan syariat secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Dalam sistem ini, pemimpin (khalifah) tidak berfungsi sebagai simbol kuasa semata-mata, tetapi sebagai pelaksana syariat dan penjaga urusan umat. Sistem ini terbukti berjaya selama berabad-abad dalam memayungi dunia Islam dengan keadilan dan ketertiban.
Justeru, pendidikan politik Islam kepada generasi muda adalah penting supaya mereka memahami peranan sebenar pemimpin menurut perspektif Islam. Mereka perlu dididik untuk sedar bahawa tanggungjawab mereka bukan sekadar menjaga pentadbiran, tetapi memastikan sistem kehidupan umat berlandaskan hukum Allah SWT.
Kesedaran politik ini harus dibina sejak awal, walaupun pendedahan kepada isu-isu kompleks boleh dilakukan secara berperingkat. Nilai seperti keprihatinan terhadap umat, amanah, pemikiran kritis, keberanian menyatakan kebenaran, dan kesediaan untuk memperjuangkan keadilan, semuanya perlu diasah sejak usia muda. Bahkan, setiap Muslim perlu mengambil peduli terhadap penderitaan dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam, sama ada di negara sendiri atau di peringkat global.
Peranan institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat amat penting dalam memupuk kesedaran ini. Anak-anak perlu dididik untuk tidak hanya memikirkan kejayaan peribadi, tetapi juga memikul tanggungjawab sosial dan visi ummah. Mereka perlu dibimbing untuk memahami bahawa hanya Islam yang mampu menawarkan penyelesaian tuntas terhadap krisis dunia hari ini, termasuk kezaliman pemerintah, ketidaksamarataan ekonomi, dan keruntuhan nilai kemanusiaan.
Sejarah telah membuktikan bahawa apabila umat Islam dipimpin oleh pemimpin yang memahami dan mengamalkan politik Islam seperti Umar bin al-Khattab, Umar bin Abdul Aziz, dan Sultan Abdul Hamid II, maka keadilan dan kesejahteraan dapat ditegakkan. Sebaliknya, kejatuhan pemerintahan Islam sering kali berpunca daripada pemimpin yang lalai terhadap amanah politik syarak, atau tunduk kepada tekanan ideologi asing.
Oleh itu, pendidikan tsaqafah Islam yang merangkumi politik Islam perlu diberi perhatian dalam membina generasi pemimpin masa hadapan. Tanpa kefahaman ini, umat akan terus terperangkap dalam sistem yang menindas dan terpisah daripada wahyu. Sebaliknya, dengan penguasaan terhadap ilmu politik Islam, generasi muda akan bangkit sebagai pemimpin yang mampu membawa perubahan yang hakiki, yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah, bukan retorik atau janji palsu.
Kesimpulan
Generasi muda hari ini berdepan pelbagai cabaran besar dalam mempertahankan identiti Islam di tengah-tengah arus sekularisme dan liberalisme global. Kelemahan dalam penguasaan tsaqafah Islam menjadi antara punca utama krisis kepimpinan dalam kalangan umat kerana ramai yang gagal memahami bahawa kuasa adalah amanah yang wajib dipertanggungjawabkan, bukan keistimewaan yang boleh disalahgunakan.
Oleh itu, pendidikan Islam yang menyeluruh perlu diperkukuhkan bermula daripada pembinaan akidah yang mantap, penguasaan ilmu syariah, pemahaman terhadap sirah dan sejarah Islam, serta pengetahuan dalam politik Islam, hingga terbentuk kemampuan untuk memimpin dengan adil berpandukan syariat. Kejayaan umat Islam terdahulu dalam menegakkan keadilan dan membina tamadun yang gemilang adalah bukti bahawa tsaqafah Islam merupakan kunci utama dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa.
Usaha membina generasi pemimpin masa hadapan mestilah dilakukan secara serius dan kolektif. Ia mesti disertai dengan ikhtiar untuk membaiki sistem yang rosak dan menggantikannya dengan sistem Islam yang benar dan mensejahterakan, iaitu sistem Khilafah. Pembentukan sistem Khilafah yang mendukung tsaqafah Islam menjadi amat penting sebagai institusi untuk melahirkan kepimpinan yang mampu menjalankan amanah Allah dengan jujur dan benar. Allah SWT telah berfirman,
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan kebajikan, bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa.” [TMQ an-Nur (24): 55].
Wallahua’lam.