Membina Kesedaran Anak Mendirikan Solat
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Solat adalah tiang agama. Solat juga adalah amalan pertama yang dihisab oleh Allah SWT dan juga pembeza antara iman dan kekufuran. Muslim yang mengaku beriman lalu sengaja meninggalkan solat akan mendapat ancaman yang keras dari Allah yakni dimasukkan ke dalam neraka. Terdapat banyak dalil terkait hal ini, diantaranya:
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – ، قَالَ : قاَلَ رَسُولُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( إنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ ، فَإنْ صَلُحَتْ ، فَقَدْ أفْلَحَ وأَنْجَحَ ، وَإنْ فَسَدَتْ ، فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ ، قَالَ الرَّبُ – عَزَّ وَجَلَّ – : اُنْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ ، فَيُكَمَّلُ مِنْهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الفَرِيضَةِ ؟ ثُمَّ تَكُونُ سَائِرُ أعْمَالِهِ عَلَى هَذَا )) رَوَاهُ التِّرمِذِيُّ ، وَقَالَ : (( حَدِيثٌ حَسَنٌ ))
Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amal yang pertama kali dihisab pada seorang hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Maka, jika solatnya baik, sungguh dia telah beruntung dan berjaya. Dan jika solatnya rosak, sungguh dia telah gagal dan rugi. Jika berkurang sedikit dari solat wajibnya, maka Allah Taala berfirman, ‘Lihatlah adakah hamba-Ku memiliki solat sunnah.’ Maka disempurnakanlah apa yang kurang dari solat wajibnya. Kemudian begitu pula dengan seluruh amalnya.” (HR. Tirmidzi, dia mengatakan hadis tersebut hasan.) [HR. Tirmidzi, no. 413 dan An-Nasa’i, no. 466. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadis ini sahih.]
خمس صلوات كتبهن الله على العباد، فمن جاء بهن، لم يضع منهن، شئ استخفافاً بحقهن، كان له عند الله عهد أن يدخله الجنة، ومن لم يأتي بهن فليس له عند الله عهد، إن شاء عذبه، وإن شاء أدخله الجنة
“Solat lima waktu telah difardhukan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Barang siapa yang mengerjakannya, dengan tidak mensia-siakan hak-hak solat sedikitpun, maka Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga, dan barang siapa yang tidak mengerjakannya maka tidak ada janji Allah baginya. Jika Allah berkehendak maka Dia akan menyiksanya, dan jika Allah berkehendak maka Dia akan memasukkannya ke dalam syurga”.
بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ
“(Pembatas) antara seorang muslim dan kesyirikan serta kekafiran adalah meninggalkan solat.” (HR. Muslim no. 257).
Wajar jika ibu bapa sangat khuatir jika anaknya malas solat, sentiasa banyak alasan dan lalai. Kesedihan semakin memuncak jika menyaksikan anak yang telah berusia 11 tahun, namun masih perlu diingatkan, perlu disuruh dan belum ada kesedaran sendiri untuk menunaikan solat. Ada juga ibu bapa merasa bangga jika anaknya yang berusia 2 tahun sudah rajin solat bahkan rajin ke masjid meski belum sempurna, namun tiba-tiba di usia 4 tahun atau 5 tahun anak tidak solat, bangun subuh pun liat, asyik bermain dan lupa menunaikan solat.
Kerana dorongan untuk membina ketaatan anak dalam solat, ibu bapa biasanya hanya memerintah, menyuruh sambil membebel dan mengancam tanpa membina sebuah kesedaran dalam diri anak bahawa solat adalah konsekuensi dari keimanan. Maka seringkali anak salah faham tentang solat dan anak melakukannya dengan rasa berat, banyak alasan seperti mengantuk, menunda solat atau melewat-lewatkan solat.
Pendidikan solat dalam Islam berdasarkan hadis berikut:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ»
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perintahkanlah anak-anakmu melakukan solat di waktu dia berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka kalau sudah berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka (maksudnya antara anak lelaki dan perempuan)”. (HR. Abu Daud)
Dalam hadis tersebut dijelaskan bahawa mendidik anak tentang solat disamping berlandaskan akidah Islam, mempunyai elemen ibu bapa dan elemen usia. Strategi membina kesedaran anak mendirikan solat hendaklah dimulai dari memperhatikan perkembangan akal dan naluri anak. Dari sini, kurikulum dan program yang sesuai akan dibuat untuk membina kesedaran anak dan yang lebih kuat lagi untuk mendorong anak supaya mereka mampu melaksanakan solat berdasarkan kesedaran rasional bukan dari kesedaran emosional.
Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi membina kesedaran anak dalam melaksanakan solat:
- Bermula dari keteladanan ibu bapa, ibu bapa mesti rajin solat dan memilih waktu-waktu utama, ayah rajin ke masjid dan mengajak semua anak-anaknya untuk melaksanakan solat, tidak perlu banyak menyuruh atau mengarah, namun, ibu ayah hendaklah menciptakan suasana bahawa solat adalah bahagian dari pola hidup seorang muslim dan bahagian ibadah utama keluarga.
- Sejak usia kecil 0-6 tahun, bina asas akidah Islam yang kuat pada diri anak, sempurnakan perbahasan terkait rukun Iman di usia ini secara berperingkat. Asas akidah yang kuat akan mendorong anak untuk taat kepada Allah. Akal anak di usia ini masih belum sempurna dan kesedaran anak lebih kepada kesedaran emosional, maka konsep pembelajarannya di usia ini adalah memberikan stimulus-stimulus berfikir tentang tsaqafah Islam dan khususnya terkait solat dan stimulus-stimulus naluri beragama (gharizah tadayyun). Anak melaksanakan solat kerana dorongan dirinya bukan kerana dipaksa. Jika anak tidak mahu melaksanakan solat di usia ini tidak mengapa, namun stimulusnya perlu tetap berjalan.
- Perintahkan anak solat secara rutin dan disiplin di usianya 7 tahun kerana dorongan iman. Usia anak 7 tahun adalah usia di mana akal anak sudah sempurna (‘aqil), anak sudah memahami konsekuensi solat apabila melaksanakannya akan Allah masukkan ke dalam syurga-Nya dan jika meninggalkan solat, maka ancamannya adalah dosa yakni neraka. Pada usia ini kesedaran rasional anak berjalan dengan baik, maka berikan tsaqafah Islam yang lebih rinci yakni tentang fikh solat agar solat anak semakin baik. Anak juga perlukan kebiasaan dan disiplin yang ketat. Selain itu, berikan juga tsaqafah lainnya agar asas akidah Islam anak menjadi semakin kukuh.
- Jika anak sudah menginjak usia 10 tahun diharapkan ibu bapa sudah tidak memiliki masalah lagi tentang kesedaran anak dalam melaksanakan solat kerana usia ini diharapkan keperibadian Islam anak sudah terbentuk. Namun jika di usia ini anak masih tidak solat, maka pukullah dengan pukulan dalam rangka ta’dib bukan dalam rangka emosi yang membuat anak terluka. Namun, ibu bapa perlulah adil, pukulan itu mestilah dilakukan setelah ibu bapa memberikan pendidikan yang sempurna tentang solat kepada anak.
- Ibu bapa hendaklah sentiasa berdoa agar anak diberikan kemudahan dalam menunaikan ibadah solat dalam kehidupannya. Doanya adalah seperti berikut:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang sentiasa mendirikan solat, Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (TMQ Ibrahim: 40)
Wallaahu’a’lam bishshawab