Tangani Masalah Penularan HIV/AIDS dengan Pengurusan Nafsu
Oleh: Syamsiyah Jamil
Homoseksual memang diketahui umum sebagai amalan seksual songsang yang melanggar fitrah penciptaan manusia, sekaligus membuktikan lemahnya manusia dalam mengurus dan mengawal nafsu dalam diri. Perbuatan ini sangat berbahaya kepada individu, terutamanya golongan muda, dan masyarakat kerana ia mampu menularkan penyakit HIV/AIDS yang sehingga ke hari ini masih belum ada ubatnya. Maka tindakan yang tepat dan menyeluruh perlu diambil.
Professor Perubatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar mengatakan bahawa pengetahuan agama tentang pengurusan nafsu diperlukan untuk menangani penularan HIV dalam kalangan anak muda.
“Abstinence (menahan diri, mengelak) sangat berkesan kalau kita bagi dengan satu kaedah dan kempen yang sangat, yang kita kata, bersungguh-sungguh. Macam mana pengurusan nafsu. Macam mana, apa nama tu kita kata, untuk menjaga supaya tidak terlibat dengan pornografi. Pandangan zina, sentuhan-sentuhan yang tidak boleh, apa yang boleh dan tidak boleh lihat, ” katanya dalam program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk Lelaki Homoseksual, Penghidap HIV Tertinggi, Apa Sudah Jadi Dengan Malaysia?, di saluran Youtube The Merdeka Times, Isnin (17/2/2025).
Beliau berkata demikian susulan Laporan Pemantauan AIDS Global (Malaysia) yang dikeluarkan pada 2024 mendedahkan bahawa 90 peratus daripada 85,283 penghidap HIV di Malaysia merupakan golongan lelaki dan didapati berpunca daripada hubungan seks sesama lelaki (homoseksual). (Utusan Malaysia Online, 3/2/2025)
Angka sebenar penghidap HIV mungkin lebih besar kerana ada yang tidak mahu tampil mendapatkan rawatan kerana takut dengan persepsi negatif masyarakat. Realiti ini amat membimbangkan.
Pengurusan Nafsu Individu
Tepat sekali bila dikatakan bahawa pengetahuan agama dalam pengurusan nafsu sangat penting kerana agama berfungsi sebagai panduan bagi manusia untuk menjalani kehidupannya sesuai dengan aturan Allah SWT. Segala keperluan biologi dan kecenderungan nalurinya dipenuhi sesuai dengan fitrah penciptaannya sebagai manusia.
Allah SWT juga mengurniakan potensi akal kepada manusia untuk membezakan antara perkara yang benar dan batil. Ada 13 tempat di dalam al-Quran di mana Allah bertanya ‘Afalaa Ta’qiluun’ yang bermaksud ‘tidakkah kamu menggunakan akal kamu?’.
Contohnya firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun ayat 79-80, “Dan Dialah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNya kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu menggunakan akal kamu?”.
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa peranan akal itu penting untuk berfikir tentang ciptaan Allah SWT termasuk manusia, kehidupan dan alam semesta. Manusia perlu diajak berfikir tentang tiga persoalan utama dalam hidup seorang manusia iaitu dari mana dia diciptakan, untuk apa dia diciptakan di dunia dan ke mana dia selepas mati.
Dengan memahami bahawa Allah SWT yang telah menciptakannya ke dunia, untuk taat kepada perintah dan laranganNya dan segala amalannya di dunia akan dihisab di akhirat, manusia pasti akan sentiasa berpegang teguh kepada aturan agama Islam. Dia akan mengelak segala perbuatan haram dan keji seperti khalwat, zina, homoseksual (gay, lesbian), transgender serta perkara-perkara yang boleh menggoncang nafsu syahwatnya seperti menonton pornografi. Firman Allah SWT tentang perbuatan homoseksual kaum Nabi Luth,
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)” [TMQ an-Naml (27): 55].
Manusia yang memahami ayat ini akan menolak perbuatan tersebut kerana hukumnya haram dan dia takut kepada azab Allah SWT. Dia akan menerima hukum itu tanpa alasan dan berdolak dalih. Firman Allah SWT,
“Hanya ucapan orang-orang mukmin, yang apabila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul memutuskan (perkara) di antara mereka, mereka berkata, “Kami mendengar, dan kami taat.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ An-Nur (24): 51]
Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar juga ada mengatakan, “Pada saya, kita combinekan dua-dua. Memang anak-anak kita kena tahu tentang penetrasi zakar ke dalam dubur itu berisiko tinggi, mereka kena tahu apa itu HIV, apa itu AIDS dan penyakit-penyakit lain. Dan mereka juga kena tahu kenapa agama melarang. Mereka juga kena tahu macam mana nak jaga supaya kita tak terjebak, apa yang dikatakan dosa. Balik kepada basic, perkara ni Allah tak suka dan sangat dosa. Bila Allah tak bagi tu sebab Allah sayang kita”.
Maka, pengetahuan agama bagi setiap individu adalah sangat penting untuk mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat dan sekaligus mencegahnya daripada dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya.
Tanggungjawab Negara dalam Pengurusan Nafsu Individu
Walau bagaimanapun, pengurusan nafsu dalam diri individu sahaja tidak akan berjaya mengekang penularan HIV/AIDS kerana ia bukan sekadar masalah perilaku individu. Gejala homoseksual ini merupakan masalah yang bersarang dalam masyarakat akibat pemikiran yang mengagungkan fahaman kebebasan individu, kebebasan bertingkah laku dan hak asasi manusia.
Maka, negara sebagai pengurus rakyat wajib melindungi rakyatnya daripada bahaya pemikiran-pemikiran ini dan akibat daripadanya. Negara wajib menjaga agama setiap individu rakyatnya supaya sentiasa dalam ketakwaan kepada Allah SWT. Untuk memastikan setiap individu mampu mengurusi nafsunya, beberapa tindakan wajib dilakukan oleh negara.
Pertama, negara wajib melakukan proses mendidik rakyatnya supaya memahami syariat Islam dengan benar supaya mereka menjadikan syariat Islam sebagai pegangan hidup. Kedua, negara wajib mengatur pergaulan antara lelaki dan perempuan dengan sempurna supaya naluri kasih sayang (termasuk nafsu syahwat) dapat disalurkan dengan benar sesuai dengan tuntunan syariat.
Ketiga, negara wajib menguasai media dengan menyekat segala media cetak atau elektronik yang memaparkan bahan-bahan pornografi atau apa sahaja yang boleh merosakkan pemikiran dan mempengaruhi tingkah laku rakyatnya. Keempat, negara wajib mengenakan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang melanggar syariat Allah SWT termasuk pelaku homoseksual supaya menjadi pengajaran bagi orang lain dan tidak berleluasa dalam masyarakat.
Khatimah
Walaupun penyakit HIV/AIDS tidak ada ubatnya sehingga ke hari ini, tetapi Allah SWT telah jelas mengatur agama Islam untuk dijadikan panduan hidup manusia yang mampu mencegah manusia daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar seperti homoseksual. Jika Islam dilaksanakan dengan benar, kita tidak perlu bimbang lagi dengan penularan penyakit tersebut kerana Islam telah mencegah punca penularannya daripada awal lagi dengan mekanisme pengurusan nafsu oleh individu dan tindakan tegas oleh negara.
Wallahua’lam.