MENCARI NAFKAH: KEWAJIPAN MULIA YANG BERLIMPAH PAHALA
Oleh: Ustaz Arief B Iskandar
Mencari nafkah merupakan salah satu kewajipan penting bagi setiap Muslim, terutamanya bagi seorang suami atau ayah. Usaha bekerja keras demi memenuhi keperluan keluarga bukan hanya menjadi tanggungjawab, tetapi ia juga merupakan ibadah yang mendatangkan ganjaran pahala yang besar jika ia dilakukan dengan niat yang ikhlas serta melalui cara yang halal.
Al-Quran, al-Hadis serta contoh tauladan para Sahabat dan ulama salaf menegaskan betapa mulianya usaha mencari nafkah dalam Islam.
Al-Quran Memerintahkan Mencari Nafkah
Allah SWT berfirman:
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Kewajipan ayah adalah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang wajar.” [TMQ al-Baqarah (2): 233].
Ayat ini menjelaskan bahawa seorang ayah mempunyai kewajipan untuk menyediakan keperluan asas keluarganya, seperti makanan dan pakaian, dengan cara yang baik dan sesuai.
Tanggung Jawab Suami Berdasarkan Hadis Nabi Muhammad SAW
Rasulullah SAW menegaskan tanggungjawab seorang suami sebagai pemimpin keluarga dalam sebuah hadis yang menyebut:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas yang dia pimpin. Seorang lelaki (ayah/suami) adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan dipertanggungjawabkan atas mereka” [HR al-Bukhari, no. 893; Muslim, no. 1829].
Hadis ini mengingatkan bahawa seorang suami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keluarganya, termasuklah memastikan setiap keperluan mereka dipenuhi dengan cara yang mulia dan halal.
Nafkah adalah Sedekah
Menariknya, setiap usaha seorang lelaki untuk menafkahi keluarganya dianggap sebagai sedekah di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى أَهْلِهِ نَفَقَةً يَحْتَسِبُهَا فَهِيَ لَهُ صَدَقَةٌ
“Jika seseorang menafkahi keluarganya dengan mengharap pahala, maka itu adalah sedekah bagi dirinya” [HR Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, no. 535].
Baginda juga bersabda:
وَإِنَّ الرَّجُلَ إِذَا رَفَعَ اللُّقْمَةَ إِلَى فِي امْرَأَتِهِ فَلَهُ أَجْرٌ
“Sesungguhnya seseorang yang memberikan sesuap makanan ke mulut isterinya akan mendapatkan pahala” [HR Muslim, Sahih Muslim, no. 1002].
Bayangkan, tindakan yang kecil seperti memberikan sesuap makanan kepada isteri menjadi satu amalan mulia dan bernilai sedekah di sisi Allah. Betapa besar pahala yang dijanjikan kepada mereka yang berusaha mencari nafkah untuk keluarga!
Dosa yang Hanya Terhapus dengan Kerja Keras
Rasulullah SAW juga menyebutkan bahawa terdapat dosa yang hanya dapat dihapus dengan usaha mencari nafkah:
مِنَ الذُّنُوبِ ذُنُوبٌ لَا يُكَفِّرُهَا إِلَّا الْهَمُّ فِي طَلَبِ الْمَعِيشَةِ
“Daripada sekian dosa, ada dosa yang tidak dapat dihapus kecuali dengan usaha keras dalam mencari penghidupan” [At-Thabarani, Al-Mu‘jam Al-Awsath, no. 3989].
Meskipun hadis ini dianggap dha‘if (lemah) oleh sebahagian ulama, mesej yang terkandung di dalamnya jelas: kerja keras untuk keluarga boleh menjadi salah satu cara untuk menebus dosa.
Teladan Umar bin al-Khattab RA
Umar bin al-Khattab RA, Sahabat Rasulullah SAW, sangat menghargai individu yang gigih bekerja. Beliau pernah berkata:
إِنِّي لَأَرَى الرَّجُلَ فَيُعْجِبُنِي، فَأَسْأَلُ: هَلْ لَهُ صِنَاعَةٌ؟ فَإِنْ قَالُوا: لَا، سَقَطَ مِنْ عَيْنِي
“Aku melihat seseorang dan aku menyukainya. Lalu aku bertanya, ‘Adakah dia mempunyai pekerjaan?’ Jika mereka menjawab, ‘Tidak,’ maka jatuhlah martabatnya di mataku” [Az-Zahabi, Siyar A‘lām an-Nubalā’, 2/589].
Umar juga memberi peringatan agar tidak bersikap malas:
لَا تَقْعُدُوا عَنْ طَلَبِ الرِّزْقِ وَتَقُولُوا: اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا، فَإِنَّ السَّمَاءَ لَا تُمْطِرُ ذَهَبًا وَلَا فِضَّةً
“Janganlah kamu sekadar duduk-duduk tanpa berusaha mencari rezeki sambil berkata, ‘Ya Allah, berikan kami rezeki,’ kerana langit tidak menurunkan hujan emas dan perak” [Ibnu Kathir, Al-Bidāyah wa An-Nihāyah, 7/28].
Pandangan Abdullah bin Mas‘ud RA
Abdullah bin Mas‘ud RA juga mengecam kemalasan dengan berkata:
إِنِّي لَأَمْقُتُ الرَّجُلَ أَرَاهُ فَارِغًا، لَا فِي عَمَلٍ لِدُنْيَاهُ وَلَا لِآخِرَتِهِ
“Aku membenci seseorang yang aku lihat menganggur. Dia tidak bekerja untuk dunianya mahupun beramal untuk akhiratnya” [Abu Nu‘aim al-Asbahani, Hilyah Al-Awliyā’, 1/130].
Semangat Imam al-Hasan al-Bashri
Imam al-Hasan al-Bashri lebih memilih untuk bekerja mencari rezeki daripada menjadi lemah dalam ibadah. Beliau berkata:
طَلَبُ الْحَلَالِ فِي الدُّنْيَا أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَكُونَ ضَعِيفًا فِي عِبَادَتِي
“Mencari harta halal di dunia lebih aku sukai daripada aku menjadi lemah dalam ibadahku” [Az-Zahabi, Siyar A‘lām An-Nubalā’, 4/563].
Imam Ibnu al-Mubarak dan Harta untuk Agama
Imam Ibnu al-Mubarak memberikan teladan bagaimana harta halal diusahakan oleh generasi salafus-soleh untuk menyokong agama:
إِنَّ الصَّالِحِينَ كَانُوا يَطْلُبُونَ الْحَلَالَ فِي الدُّنْيَا وَيَجْعَلُونَ مَا يَكْتَسِبُونَهُ وَسِيلَةً لِنُصْرَةِ دِينِهِمْ
“Sesungguhnya orang-orang soleh dahulu mencari harta halal di dunia dan menjadikan harta yang mereka peroleh sebagai salah satu cara untuk menolong agama mereka”[Abu Nu‘aim al-Asbahani, Hilyah Al-Awliyā’, 8/162].
Sa‘id bin al-Musayyib tentang Harta Halal
Sa‘id bin Al-Musayyib menekankan pentingnya harta halal:
لَا خَيْرَ فِي مَنْ لَا يُحِبُّ جَمْعَ الْمَالِ مِنَ الْحَلَالِ يَصُونُ بِهِ عِرْضَهُ وَيَقْضِي بِهِ دَيْنَهُ وَيَصِلُ بِهِ رَحِمَهُ
“Tidak ada kebaikan pada seseorang yang tidak suka mengumpulkan harta dari jalan halal, yang dengannya dia menjaga harga dirinya, melunaskan hutangnya dan menyambung tali silaturrahim”.[Az-Zahabi, Siyar A‘lām an-Nubalā’, 4/233].
Imam as-Syafie dan Akhlak Mulia
Imam as-Syafie berpendapat bahawa meninggalkan usaha mencari nafkah bukanlah termasuk akhlak mulia:
لَيْسَ مِنَ الْأَخْلَاقِ الْكَرِيمَةِ تَرْكُ التِّجَارَةِ أَوْ طَلَبِ الْمَعِيشَةِ
“Bukan termasuk akhlak mulia meninggalkan perdagangan atau usaha mencari nafkah” [Al-Baihaqi, Manāqib as-Syāfi‘ī, 2/176].
Teladan Sahabat: Abdurrahman bin Auf RA
Abdurrahman bin Auf adalah contoh kerja keras yang nyata. Ketika berhijrah ke Madinah, beliau meninggalkan semua hartanya di Mekah. Apabila dipersaudarakan dengan Sa‘ad bin ar-Rabi‘ yang menawarkan bantuan, beliau menolak dan hanya meminta ditunjukkan ke pasar. Dengan kepakaran dalam perniagaan, beliau akhirnya menjadi salah seorang sahabat terkaya [Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, no. 3916; Az-Zahabi, Siyar A‘lām an-Nubalā’, 1/86–88].
Ulama Salaf Pun Bekerja Keras Mencari Nafkah
Ramai ulama salaf yang menunjukkan teladan mereka dalam usaha mencari nafkah. Antaranya ialah Imam Abu Hanifah. Selain sebagai ulama besar, beliau juga adalah pedagang kain yang berjaya. Dinyatakan:
كَانَ أَبُو حَنِيفَةَ تَاجِرًا فِي الْخَزِّ وَالثِّيَابِ، وَكَانَ يَكْتَسِبُ مَالًا حَلَالًا يُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ الْعِلْمِ وَالدِّينِ
“Abu Hanifah adalah seorang pedagang kain dan pakaian, memperoleh harta halal yang digunakannya untuk ilmu dan agama” [Az-Zahabi, Tazkirah al-Huffāz, 1/168].
Contoh lain ialah Imam Ahmad bin Hanbal, yang juga berdagang kain bagi menjaga kemandirian dirinya. Dinyatakan:
كَانَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ يَتَّجِرُ فِي الثِّيَابِ لِيَكْتَسِبَ الْحَلَالَ وَيَصُونَ نَفْسَهُ عَنِ الْحَاجَةِ إِلَى النَّاسِ
“Ahmad bin Hanbal berdagang kain untuk memperoleh rezeki yang halal dan menjaga dirinya agar tidak bergantung kepada orang lain” [Az-Zahabi, Siyar A‘lām An-Nubalā’, 11/177].
Imam Malik, guru kepada Imam Syafie, juga mengusahakan kebun bagi memenuhi keperluannya. Dinyatakan:
كَانَ مَالِكُ بْنُ أَنَسٍ يَعْمَلُ فِي زِرَاعَةٍ وَلَهُ بُسْتَانٌ يَكْتَسِبُ مِنْهُ مَعِيشَتَهُ
“Malik bin Anas bekerja di bidang pertanian dan memiliki kebun untuk memenuhi keperluannya” [Ibnu Saad, Tabaqāt al-Fuqahā’, 5/332].
Begitu juga Imam as-Syafie, murid kepada Imam Malik. Selain sebagai ulama, beliau juga bekerja sebagai pemanah dan menyertai ekspedisi ketenteraan. Dinyatakan:
كَانَ الشَّافِعِيُّ رَامِيًا مَاهِرًا وَاشْتَرَكَ فِي بَعْضِ الْغَزَوَاتِ لِيَعِيلَ أَهْلَهُ
“As-Syafie adalah seorang pemanah yang mahir dan menyertai beberapa ekspedisi ketenteraan untuk menyara keluarganya” [Al-Baihaqi, Manāqib as-Syāfi‘ī, 1/245].
Berikutnya Imam al-Bukhari
Selain mendedikasikan diri dalam bidang hadis hingga menyusun Kitab Sahih al-Bukhari, beliau juga terlibat dalam aktiviti perniagaan. Dinyatakan:
كَانَ الْبُخَارِيُّ يَتَّجِرُ فِي أَسْفَارِهِ لِيَكْتَسِبَ الْحَلَالَ مَعَ جَمْعِ الْحَدِيثِ
“Al-Bukhari biasa berniaga dalam perjalanan-perjalanannya untuk memperoleh rezeki yang halal sambil mengumpulkan hadis” [Ibnu Hajar al-Asqalani, Manāqib Al-Bukhārī, hal. 34].
Berikutnya adalah Sufyan as-Tsauri
Ulama besar ini juga biasa berdagang kain dan menjaga kehormatan melalui bekerja. Dinyatakan:
كَانَ سُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ تَاجِرًا فِي الثِّيَابِ، وَقَالَ: إِنَّ الْعَمَلَ مِنْ صِيَانَةِ الْعِرْضِ
“Sufyan as-Tsauri adalah seorang pedagang kain dan beliau berkata, ‘Bekerja adalah cara menjaga kehormatan” [Ibnu Kathir, Al-Bidāyah wa An-Nihāyah, 10/124].
Pesanan untuk Para Pemikul Dakwah
Mencari nafkah bukan sekadar kewajipan, tetapi juga sebuah ibadah yang mulia. Dari ayat al-Quran, hadis Rasulullah SAW, hingga teladan para Sahabat dan ulama salaf, kita dapat belajar bahawa bekerja keras dalam mencari nafkah untuk keluarga adalah jalan meraih pahala dan kehormatan.
Oleh itu, di tengah-tengah kesibukan kita berdakwah untuk menolong agama Allah SWT, janganlah kita melupakan kewajipan kita untuk menafkahi keluarga. Ini kerana dakwah adalah satu hal, sementara mencari nafkah adalah hal lain. Keduanya sama-sama wajib. Jangan sampai kesibukan dalam dakwah menjadikan kita menzalimi keluarga kita kerana meninggalkan usaha mencari nafkah untuk keperluan mereka.
Marilah kita mencontohi perjalanan hidup para Sahabat dan ulama generasi salafus-soleh. Sudah pasti mereka jauh lebih sibuk dengan aktiviti dakwah mereka, begitu juga dengan aktiviti keilmuan mereka (seperti belajar, mengajar, menulis kitab dan lain-lain). Namun, mereka tidak pernah menjadikan kesibukan ini sebagai alasan untuk mengabaikan usaha mencari nafkah demi kehidupan keluarga mereka.
Justeru, mari kita sibukkan diri dengan aktiviti dakwah, tetapi jangan sesekali melupakan usaha mencari nafkah. Mencari nafkah merupakan salah satu cara kita menjaga maruah (harga diri) sebagai pembawa dakwah. Memang benar, Allah SWT pasti akan menolong kita apabila kita bersungguh-sungguh menolong agamaNya. Allah SWT tidak akan membiarkan kita hidup dalam kesulitan tanpa pertolonganNya. Namun demikian, jangan lupa bahawa kewajipan menolong agama Allah SWT tidak bermakna kita boleh melupakan kewajipan mencari nafkah untuk menyara keluarga. Ini kerana Allah SWT telah mewajibkan kita untuk mencari nafkah, sebagaimana Allah SWT juga telah mewajibkan kita untuk berdakwah. Meninggalkan salah satu daripada kewajipan ini adalah satu kesalahan daripada segi pemahaman agama.
Wa mā tawfīqī illā billāh.
#nafkah #sedekah #keluargamuslim #keluargadakwah
#perananayah #tanggungjawabayah #keluargamuslim