Anak Tidak Menang? Tenang Sahaja
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Suatu hari saya dijemput untuk menyampaikan perkongsian hikmah sempena sambutan ulang tahun sebuah syarikat. Secara kebetulan, pada hari yang sama turut diadakan musabaqah atau pertandingan untuk kanak-kanak. Antara acara yang dipertandingkan adalah pertandingan melukis dan mewarna, serta pertandingan hafazan dan tahsin al-Quran. Suasana meriah dengan kehadiran para ibu bapa dan guru yang mengiringi anak-anak serta para pelajar mereka ke lokasi acara.
Oleh kerana mendapat tempat duduk tepat di hadapan pentas pertandingan tahsin dan tahfiz al-Quran, saya berkesempatan menyaksikan terlebih dahulu persembahan beberapa orang peserta. Beberapa orang kanak-kanak telah pun tampil membacakan ayat-ayat al-Quran yang diminta oleh pihak penganjur. Pada pandangan saya, kesemuanya mempersembahkan bacaan yang baik. Fasih dan cukup lancar.
Seperti lazimnya sebuah musabaqah, suasana persaingan cukup terasa. Di sebelah saya, duduk seorang bapa yang tekun memerhati setiap peserta yang bertanding. Beberapa kali beliau memanggil anak perempuannya yang turut serta dalam pertandingan; memberitahu kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh para peserta yang telah mempersembahkan bacaan masing-masing. Beliau juga tidak lupa memberikan tunjuk ajar tentang cara bacaan yang betul dan baik. Kelihatan si ayah sangat serius, dan berkali-kali membimbing anak perempuannya yang masih di sekolah rendah; perlu begini, jangan begitu — beliau terus-menerus memberi panduan. Sehinggalah beliau memanggil isterinya untuk menyemak bacaan dan hafazan anak mereka di surau berhampiran tempat pertandingan. Saya yang duduk berhampiran hanya menggelengkan kepala; “Serius sungguh ayah ini,” detik hati saya.
Ya, setiap ibu bapa atau guru yang mengiringi anak-anak ke pertandingan pastinya bersikap serius, kerana memang menggembirakan apabila melihat anak-anak kita meraih kejuaraan. Ada suatu rasa bangga dan kepuasan tersendiri apabila menyaksikan kejayaan mereka.
Namun, mari kita renungkan sejenak, siapakah sebenarnya yang merasa bangga dan puas itu? Ibu bapa atau anak-anak kita? Benarkah anak-anak kita benar-benar menikmati setiap detik perjalanan menuju pertandingan? Inilah bahagian yang ingin saya ‘jentik’ atau tegur secara lembut kepada para ibu bapa sekalian.
Ibu bapa yang dirahmati Allah sekalian, sejak sekian lama, para pakar pendidikan anak telah berdebat tentang kesan positif dan negatif sesebuah pertandingan atau persaingan terhadap kanak-kanak. Memang benar, persaingan seolah-olah tidak dapat dielakkan dalam kehidupan kita mahupun kehidupan anak-anak. Di rumah, kita sering bertanya: “Siapa anak ayah/mama yang mandi dahulu?” atau “Siapa yang pergi solat berjemaah di masjid?”
Di sekolah pula, pelbagai bentuk pertandingan dianjurkan oleh para guru dan pihak sekolah daripada anugerah pelajar terbaik dalam kelas, pelajar cemerlang keseluruhan, kebersihan kelas terbaik, pertandingan tilawah al-Quran, dan sebagainya. Persaingan seakan-akan menjadi hukum alam, atau sunnatullah.
Secara fitrah dan menurut sunnatullah, Allah SWT memang memberikan ruang kepada setiap manusia untuk bersaing, termasuk dalam melakukan amal kebajikan. Kita sering mendengar kisah bagaimana Saidina Umar bin al-Khattab RA sentiasa berusaha untuk menyaingi amal soleh yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA. Allah SWT juga mendorong kita agar berlumba-lumba dalam meraih syurga-Nya.
Firman Allah:
Engkau dapat melihat pada wajah mereka keceriaan penuh kenikmatan. Mereka diberi minum daripada arak yang suci lagi murni, yang bekasnya masih berbalut. “Balutannya pula daripada kasturi. Dan untuk mencapai kenikmatan itu, manusia hendaklah berlumba-lumba (mendapatkannya).” [TMQ Al-Muthaffifin (83): 26]
Persaingan mendorong kita untuk menjadi lebih kreatif, bekerja keras dan melatih daya juang. Perasaan gembira, bangga dan puas itu pasti hadir apabila kita berjaya muncul sebagai pemenang. Persaingan juga boleh menjadi satu bentuk hiburan bagi mereka yang terlibat. Sebagai contoh, Rasulullah SAW sendiri suka menghiburkan diri dan ahli keluarganya dengan mengadakan pertandingan. Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, kita dapati bahawa baginda pernah bergurau mesra dengan Aisyah RA dengan berlumba lari bersama beliau.
Namun begitu, persaingan yang positif bagi kanak-kanak adalah persaingan yang berlangsung dalam suasana yang sihat iaitu dalam suasana yang ceria, di mana semua peserta diberikan dorongan dan pujian. Dengan cara ini, tiada siapa pun yang akan merasa kecewa atau sedih walaupun tidak memenangi pertandingan tersebut.
Sayangnya, tidak semua ibu bapa – atau guru di sekolah dan juga pihak penganjur pertandingan – benar-benar memahami psikologi kanak-kanak. Dari sudut ibu bapa, ada yang terperangkap dalam tingkah laku yang bersifat ‘obsesif-kompulsif’. Dalam bahasa mudahnya, ada ibu bapa yang terlalu ghairah dan bernafsu mahu menjadikan anak mereka sebagai juara dan cemerlang dalam segala hal. Apa pun caranya, anak mereka mesti menjadi yang terbaik. Apabila anak menang, pujian diberikan bertalu-talu; namun apabila kalah, anak dicela atau kurang diberikan penghargaan.
Sedangkan bagi seorang anak, menerima kekalahan bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan, ramai dalam kalangan orang dewasa sendiri pun masih sukar untuk menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Bagi anak-anak yang mengalami kekalahan – apatah lagi jika ia berlaku berulang kali – ia boleh menimbulkan fikiran yang negatif dalam diri mereka; seperti perasaan bahawa “aku tidak berbakat”, “aku bodoh”, “aku tidak cukup baik”, dan seumpamanya. Keadaan ini menjadi lebih buruk sekiranya ibu bapanya mempunyai kecenderungan obsesif-kompulsif. Inilah antara sisi negatif sebuah pertandingan.
Di kaca televisyen, kita sering menyaksikan kanak-kanak yang ‘kalah’ dalam pertandingan menangis atau diam terpukul. Biasanya, mereka akan menundukkan kepala dan merapatkan diri kepada ibu bapa masing-masing. Kejadian sebegini juga berlaku dalam pertandingan keagamaan seperti menghafaz al-Quran atau pertandingan dai cilik. Beban mental yang dihadapi menjadi semakin berat apabila mereka sedar bahawa kekalahan itu disaksikan oleh jutaan penonton. Inilah risiko yang wujud dalam persaingan, yang menghasilkan dua kelompok iaitu si pemenang dan si kalah.
Kanak-kanak yang menang pula tidak terlepas daripada kesan negatif persaingan. Mereka mungkin hilang kawalan diri. Bukan lagi menjadi yakin diri, tetapi berubah menjadi sombong. Mereka mula memandang rendah rakan-rakan mereka dan berlagak. Jangankan kanak-kanak, malah orang dewasa juga boleh lupa diri apabila sentiasa menang dan menerima pujian yang berlebihan.
Bahagian inilah yang perlu disedari oleh golongan dewasa, khususnya para ibu bapa. Tidak semua anak gembira apabila dijadikan peserta pertandingan, dan tidak semua pertandingan itu mampu memberikan keseronokan. Cuba bayangkan, jika ibu bapa sendiri yang terlibat dalam sesuatu pertandingan, adakah ibu bapa tidak merasa tegang? Apatah lagi apabila sentiasa diberi arahan perlu begini dan begitu, adakah tidak timbul rasa gelisah?
Contohnya, jika ibu bapa menyertai pertandingan: IBU BAPA TERBAIK BAGI ANAK, adakah ibu bapa akan berasa sedih sekiranya dinyatakan kalah? Jika jawapannya ya, maka lebih-lebih lagi anak-anak kita. Mental mereka tidak sekuat atau sebegitu matang seperti orang dewasa.
Oleh itu, jangan terlalu bersemangat untuk memasukkan anak anda ke dalam pelbagai pertandingan. Tidak semua orang yang memenangi pertandingan sentiasa yang terbaik. Ramai orang yang berjaya bukanlah lahir daripada persaingan semata-mata. Contohnya, Syeikh Misyari Rasyid al-‘Afasy dan Syeikh Abdullah As-Sudais yang tilawah al-Quran mereka merdu dan digemari ramai, bukanlah pemenang dalam sebarang pertandingan tilawah al-Quran. Ustaz Arifin Ilham atau Aa Gym juga bukan juara ketika di bangku sekolah dan bergelar pelajar, tetapi mereka mampu tampil sebagai kisah teladan.
Begitu juga, ramai saintis genius seperti Albert Einstein atau Thomas Alva Edison tidak selalu menjadi yang teratas dalam kelas mereka semasa di sekolah dan kolej. Malah, Thomas Alva Edison pernah berhenti sekolah, namun beliau menjadi seorang penemu/pencipta yang luar biasa.
Tenang sahaja sekiranya anak kita tidak mahu menyertai pertandingan, atau tidak mempunyai walau satu pun piala di bilik tidurnya. Setiap individu memiliki minat dan kemahiran yang berbeza-beza. Mungkin anak kita tidak mahir dalam matematik atau bahasa Inggeris, namun dia mesra dalam pergaulan dan mempunyai ramai kawan. Mungkin juga anak kita bukan juara dalam membaca dan menghafaz al-Quran, tetapi dia rajin menunaikan solat berjemaah lima waktu di masjid, serta tidak pernah ketinggalan dalam aktiviti dakwah. Bukankah itu juga satu bentuk pencapaian yang bermakna bagi anak-anak kita?
Apa yang lebih penting bagi kita adalah membentuk anak-anak yang berjiwa juara; yang tidak mudah berputus asa, rajin dalam beramal soleh, dan bijak menghargai perasaan orang lain. Jadikanlah mereka juara di jalan Islam, di sisi Allah SWT. Itulah kejayaan yang sebenar – lebih penting dan lebih bernilai daripada apa jua pertandingan di dunia ini.
#parenting #pendidikananak
#menang #kalah #baqa #anakjuara