Mendidik Anak Melalui “Jalur Langit”
Oleh : Ustaz M Taufik NT
Jarak bukanlah alasan ibu bapa untuk melalaikan tugas mendidik dan mengingatkan anak-anaknya, terutamanya urusan solat mereka. Ketiadaan telefon, telegram apalagi gajet, tidak menghalang para sahabat Nabi untuk ‘berkomunikasi’ jarak jauh ‘hanya’ untuk mengingatkan mereka agar jangan meninggalkan solat.
Abu Qirshafah, Jandarah bin Khaisyanah al-Kinani RA adalah seorang sahabat yang pernah Rasulullah SAW pakaikan burnus (sejenis jubah yang dilengkapi penutup kepala) kepadanya, ramai orang yang datang meminta doa keberkahan kepadanya. Beliau memiliki seorang putera yang bernama Qirshafah. Ketika puteranya ini sedang berjihad di Rom, manakala beliau pula berada di Asqalan, jika masuk waktu sahur, beliau menyeru dengan suaranya yang nyaring:
يَا قِرْصَافَةُ الصَّلَاةُ
“Wahai Qirshafah, solat”
Dengan izin Allah, Qirshafah yang sedang berada di Rom mendengar dan berkata:
لَبَّيْكَ يَا أَبَتَاهُ
“Aku sambut seruanmu wahai ayahku”
Teman-teman anaknya berkata kehairanan:
وَيْحَكَ لِمَنْ تُنَادِي ؟
“’Celaka engkau’, engkau bercakap dengan siapa?”
Qirshafah menjawab:
لِأَبِي وَرَبِّ الْكَعْبَةِ يُوقِظُنِي لِلصَّلَاةِ
“Aku menyambut seruan bapaku dan Tuhannya Kaa’bah yang telah membangunkanku untuk solat.”[1]
Kadang-kadang ramai ibu bapa yang meremehkan hal-hal tidak langsung seperti ini. Mereka sibuk mengajar anak secara langsung, seolah-olah kebaikan itu datang dari diri makhluk seperti diri mereka dan guru-guru mereka sahaja. Sementara mereka terlalai untuk memohon dan merayu kepada Allah SWT, sebaik-baik Zat yang boleh mendidik dengan caraNya sendiri. Bukan hanya dengan kata-kata dari mulut mereka sahaja, generasi terdahulu telah menambah dengan amalannya, dan ‘mengaitkan’ amal soleh tersebut sebagai wasilah tidak langsung dalam mendidik anak mereka. Sa’id bin Al-Musayyib, seorang tabi’in, berkata kepada anaknya:
لَأَزِيدَنَّ فِي صَلَاتِي مِنْ أَجْلِكَ، رَجَاءَ أَنْ أُحْفَظَ فِيكَ
“Sungguh aku menambah solat (sunat) ku kerana engkau, berharap dirimu akan dijaga Allah (disebabkan amal yang kulakukan).” [2]
Oleh sebab itu, janganlah kita melupakan anak-anak dan keturunan kita saat beramal soleh, ‘sertakan’ mereka ketika kita berdakwah, muthala’ah, halaqah, mengaji, solat, puasa, safar, dan pelbagai amal soleh lain. Ya, tinggal hubungkan sahaja mereka dalam hati kita, memohon dan merayu kepada Allah SWT agar Dia dapat menjaga mereka. Sudah tentu, itu sahaja tidak mencukupi, ia perlu diiringi dengan aktiviti langsung yang bersifat praktikal; iaitu pendidikan secara langsung. Bukan hanya anak-anak dan keturunan kita, sesiapa sahaja yang kita inginkan kebaikan atasnya, boleh kita perlakukan yang sama. Allâhu A’lam.
[1] Abu al-Syaikh al-Ashbahâni, Thabaqât Al-Muhadditsîn Bi Ashbahân, Cet. II. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 1992), Juz 3, hlm. 434.
[2] Ibnu Rajab al-Hanbali, Jâmi’ Al-’Ulum Wa Al-Hikam, Cet. VII. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2001), juz 1, hlm. 467.
#PendidikanAnak #IlmuAgama