Kekuatan Prasangka dalam Mendidik Anak
Oleh : Ustaz Iwan Januar
Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis qudsi daripada jalur Abu Hurairah RA,
« أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى إِنْ ظَنَّ بِى خَيْراً فَلَهُ وَإِنْ ظَنَّ شَرًّا فَلَهُ »
“Bahawasanya Allah Azza wa Jalla berfirman, ‘Aku adalah mengikut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Apabila dia bersangka baik kepada-Ku, maka kebaikan baginya, dan apabila dia bersangka buruk, maka keburukan baginya.'”
Dalam hadis yang agung ini, dijelaskan bahawa janganlah difahami Allah itu lemah atau kekuatan-Nya bergantung pada prasangka hamba-hamba-Nya. Sebaliknya, firman Allah SWT ini mendidik agar kita sentiasa berhati-hati dalam berprasangka. Hal ini kerana prasangka merupakan sikap hati seorang manusia terhadap keadaan yang bakal menimpanya.
Jika dia berprasangka buruk terhadap Allah, bermakna dia telah menuduh Allah akan menimpakan keburukan sahaja kepadanya. Sikap hati sedemikian adalah tercela dan berdosa. Oleh itu, adalah wajar jika Allah menimpakan keburukan kepada orang tersebut.
Namun, jika sebaliknya, kita percaya bahawa Allah SWT tidak akan pernah menzalimi makhluk-Nya, sentiasa mengasihi, dan tiada musibah yang menimpa kita melainkan sekadar ujian yang akan berakhir dengan kebaikan, maka kebaikanlah yang akan datang kepada kita.
Orang-orang soleh terdahulu seperti para sahabat tidak pernah berfikir tentang Allah SWT melainkan tentang kebaikan-Nya semata-mata, terutamanya apabila mereka diuji dengan ujian yang besar. Ketika Perang Ahzab, hati para sahabat bergetar dan kerongkong mereka terasa tersekat menyaksikan jumlah bala tentera kaum kafir yang dihimpunkan oleh kaum musyrik Quraisy untuk mengepung Madinah. Di dalam surah Al-Ahzab, Allah menggambarkan rasa takut yang mencengkam para sahabat laksana “hatimu menyesak sampai ke kerongkong.”
Bagaimanapun, Allah SWT mengetahui bahawa kaum mukmin tetap berprasangka baik kepada-Nya. Allah berfirman: “Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.” [TMQ al-Ahzab (33): 22].
Akhirnya, Allah SWT memberikan pertolongan dan kemenangan kepada kaum mukmin, mencerai-beraikan bala tentera kaum kafir, menyudutkan orang-orang munafik, dan seterusnya menghancurkan pengkhianatan kaum Yahudi.
Malangnya, kita kerap terlupa akan perintah untuk “berprasangka baik kepada Allah”. Tipisnya iman kita menyebabkan kefahaman tentang berprasangka baik kepada Allah itu terhad kepada urusan rezeki, iaitu wang, wang, dan wang semata-mata. Sesungguhnya, perintah husnuzan (bersangka baik) kepada Allah ini berlaku dalam setiap perkara, termasuklah dalam aspek pengasuhan dan pendidikan anak-anak kita.
Pernahkah kita berasa putus harapan dalam mendidik anak-anak ke arah kebaikan? Apabila diberitahu mereka melawan, apabila diajar mereka membangkang, dan apabila dinasihati mereka mengabaikannya. Akhirnya, anak-anak pula yang kita persalahkan. Tertanam dalam hati ibu bapa bahawa anak mereka culas, pembohong, nakal, suka mencuri, malas belajar, dan pelbagai perwatakan negatif lain.
Ayah dan ibu, anak-anak tetap anak-anak. Antara sifat mereka adalah kerap mengulangi kesalahan. Peribadi mereka belum matang. Tindakan mereka lebih banyak didorong oleh emosi dan gerak hati berbanding akal yang sihat. Cuba kita berfikir dengan jernih, orang dewasa mana yang masih mahu berebut mainan atau makanan dengan adiknya? Sudah tentu tiada, bukan? Namun, perkara itulah yang lazim berlaku dalam kalangan anak-anak.
Selepas membaca hadis qudsi di atas, adakah terlintas dalam fikiran bahawa boleh jadi tingkah laku negatif anak-anak itu sebenarnya ‘dicipta’ oleh kita, ibu bapa mereka sendiri? Apabila kita berprasangka buruk kepada Allah bahawa anak-anak kita berperwatakan negatif atau nakal, maka pada saat itulah Allah “mengabulkan” segala prasangka kita.
Apabila kita berterusan curiga bahawa anak kita suka mencuri, mengganggu adiknya, pemalas, dan sebagainya, maka Allah akan “mewujudkan” perkara tersebut pada anak-anak kita. Semaklah baik-baik firman Allah SWT tadi: “Apabila dia bersangka baik kepada-Ku, maka kebaikan baginya, dan bila bersangka buruk, maka keburukan baginya.”
Saya teringat akan cerita seorang kerabat saya semasa anak-anaknya masih kecil. Dia memberitahu bahawa bapanya—iaitu datuk kepada anak-anaknya—pernah berkata: “Insya-Allah, anak yang seorang ini akan menjadi seorang doktor.”
Masya-Allah, kata-kata itu akhirnya menjadi kenyataan. Anak yang dimaksudkan itu benar-benar menjadi doktor, malah berkahwin pula dengan seorang doktor. Inilah kebesaran Allah SWT.
Ayah dan ibu, apabila kita merasakan anak-anak kita bermasalah, kita mestilah melakukan muhasabah diri. Pasti ada sesuatu yang silap dalam diri kita. Salah satunya mungkin disebabkan kita menyimpan pelbagai prasangka buruk kepada Allah SWT tentang anak kita.
Sikap ibu bapa ketika anak mereka bermasalah sepatutnya adalah dengan sentiasa mempunyai keyakinan bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya—apalagi anak yang belum menanggung dosa—berada dalam kezaliman dan kesesatan. Yakinlah bahawa suatu hari nanti anak kita akan memahami pelbagai nasihat, arahan, dan kesedihan ibu bapa mereka. Oleh itu, janganlah lelah dan berputus asa dalam membimbing anak-anak agar sentiasa berada dalam kebaikan dengan menggunakan cara dan bahasa yang baik juga.
Kemudian, panjatkanlah doa kepada Allah. Mohonlah agar Allah SWT sentiasa melipatgandakan kesabaran kita dalam mendidik anak-anak, serta memberikan hidayah kepada kita, anak-anak, dan cucu cicit kita.
Berhati-hatilah dalam berprasangka kepada Allah tentang anak-anak kita. Jangan biarkan syaitan merosakkan prasangka dan keyakinan baik kita kepada Allah. Mohonlah perlindungan daripada Allah SWT apabila kita menghadapi ujian yang datang daripada anak-anak kita.
لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Janganlah salah seorang di antara kamu mati melainkan dia tetap berprasangka baik kepada Allah Azza wa Jalla.” [HR Muslim].
#PendidikanAnak #PrasangkaPadaAllah