Penuhi Hak-Hak Anak Sebelum Dia Menjadi Derhaka
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Dalam sebuah kisah menceritakan seorang bapa datang mengadu kepada Umar bin al-Khattab RA yang ketika itu merupakan seorang Khalifah. Seorang Khalifah sentiasa mempunyai masa untuk membincangkan isu keibubapaan (parenting) serta mendengar aduan daripada para bapa dan ibu. Hari ini, ibu bapa tidak mempunyai ruang untuk mengadukan kenakalan anak mereka kepada ketua negara, begitu juga si anak yang tiada ruang untuk mengadukan kezaliman bapanya. Oleh sebab itu, isu antara ibu bapa dan anak di negara ini tidak pernah selesai kerana pemimpinnya tidak hadir untuk memberikan solusi.
Seorang ayah telah merasakan bahawa anaknya telah derhaka kepadanya, tidak menghormatinya, tidak berbakti kepadanya, malah bersikap kasar dan membencinya. Umar lalu menjemput bapa dan anak lelaki itu duduk bersama. Beliau tidak menerima aduan si bapa secara membuta tuli, sebagai seorang Khalifah, Umar mesti bersikap adil dan membuat semakan (cross-check) agar maklumat yang diterima adalah seimbang, sahih, serta benar.
“Mengapa engkau derhaka kepada bapamu?” tanya Umar kepada anak itu. Sebuah soalan untuk mendalami punca masalah dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku antara bapa dan anak ini. Soalan Umar bukannya berbunyi begini: “Sebagai seorang anak, engkau tidak boleh derhaka kepada bapamu.” Kerana soalan sedemikian menunjukkan keberpihakan kepada salah satu pihak, sedangkan belum tentu si anak yang bersalah.
Anak itu lalu bertanya kembali kepada Umar, “Wahai Amirul Mukminin, bukankah seorang anak itu mempunyai hak-hak yang perlu ditunaikan oleh bapanya?” Umar menjawab, “Ya.” Sang bapa bertanya lagi kepada Umar, “Apakah hak-hak tersebut, wahai Amirul Mukminin?” Umar menjawab: “Memilih ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarkannya Kitab Suci (Al-Quran).” Anak itu lalu berkata: “Wahai Amirul Mukminin, bapaku tidak pernah melaksanakan satu pun daripada perkara tersebut. Adapun ibuku, dia merupakan seorang hamba berkulit hitam yang berasal daripada kaum Majusi. Bapaku menamakan aku Ja’l (yang bermaksud kumbang), dan dia tidak pernah mengajarku walau satu huruf pun daripada Al-Quran.”
Umar lalu berpaling kepada lelaki itu dan berkata: “Engkau datang kepadaku untuk mengadukan penderhakaan anakmu, sedangkan engkau telah pun derhaka kepadanya sebelum dia menderhakaimu, dan engkau telah bersikap buruk kepadanya sebelum dia bersikap buruk kepadamu.”
Muawiyah pernah marah kepada anaknya, Yazid, lalu beliau mengutus Al-Ahnaf bin Qais untuk meminta pandangannya mengenai anak lelaki. Al-Ahnaf berkata: “Anak-anak adalah buah hati kita dan tiang penyangga kita, kita adalah tanah yang merendah dan langit yang menaungi mereka. Jika mereka meminta, berikanlah, dan jika mereka marah, puaskanlah hati mereka, kerana mereka akan menyayangimu dan mencintaimu sedalam kemampuan mereka. Janganlah engkau menjadi beban kepada mereka, agar mereka tidak berasa bosan dengan kewujudanmu, lalu mengharapkan kematianmu.”
Daripada kisah ini, kita dapat belajar bahawa tingkah laku anak-anak kita pada hari ini merupakan cerminan daripada corak asuhan dan corak didikan kita terhadap mereka. Maka, marilah kita bermuhasabah sama ada kita telah memenuhi segenap hak anak-anak kita atau belum.
#HakAnak #IslamicParenting #KeluargaMuslimIdeal